KUALA LUMPUR 10 Mac — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, yang merupakan mesyuarat pertama MT selepas pilihan raya umum Sabtu lepas.
Abdullah yang baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini tiba di ibu pejabat UMNO pada pukul 1.05 tengah hari.
Ketibaan Presiden UMNO itu yang memakai baju Melayu berwarna hitam disambut Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak serta laungan “Kami Sayang Pak Lah” oleh sekumpulan penyokong UMNO yang menunggu di perkarangan ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Mesyuarat MT kali ini dijangka membincangkan keputusan pilihan raya umum yang baru berakhir, yang menyaksikan Barisan Nasional kembali berkuasa dengan mandat majoriti mudah setelah memperoleh 140 daripada 222 kerusi Parlimen.
Petang ini, Abdullah yang juga Pengerusi BN akan mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, yang dijangka membincangkan mengenai pelantikan anggota Kabinet.
Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, ArticleCentral dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.