SUBANG JAYA 1 April – Pelakon veteran, Yusni Jaafar meninggal dunia kerana menghidap penyakit hati di Hospital Selayang di sini awal pagi ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.30 pagi pada usia 62 tahun.
Anak kedua Allahyarham, Raja Ema Raja Ibrahim berkata, arwah ibunya itu pernah menyuarakan hasrat untuk berbulan madu dengan suaminya, Raja Ibrahim Raja Mansor sempena ulang tahun perkahwinannya yang ke-42 pada tahun ini.
“Arwah ibu kata, dia mahu berbulan madu dengan ayah tidak kira di mana juga. Dia kemudiannya memilih salah sebuah pusat peranginan di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Mungkin tempat itu dekat dan mudah untuk ibu bergerak. Maklumlah ibu sudah uzur dan dia pula sudah tidak mampu berjalan jauh. Tetapi hajatnya itu tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui selepas jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Darul Ehsan di sini, hari ini.
Allahyarham yang dilahirkan di Tumpat, Kelantan dimasukkan ke Hospital Selayang sejak 10 Mac lalu dan koma kerana hatinya tidak berfungsi sebelum meninggal dunia di sisi lima anaknya.
Selain Raja Ema, Allahyarham turut dikurniakan empat lagi anak iaitu Raja Iskandar, Raja Izat, Raja Emi dan Raja Erna.
Sementara itu, adik Yusni yang juga pelakon popular tahun 1980-an, Sukarni Jaafar, 55, berkata, Allahyarham bersyukur kerana semua anaknya berada di sisi ketika saat pemergiannya.
“Sebelum ini pun beliau pernah berkata bahawa kasih sayang anak-anaknya masih dekat dengan dirinya,” ujarnya.
Allahyarham yang pernah menerima Anugerah Pelakon Komedi Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-8 mula mencipta nama dalam dunia hiburan pada awal tahun 1970-an.
Antara filem lakonan beliau berjudul Panglima Badul (1978), Setinggan (1981), Sikit Punya Gila (1982), Hantu Siang (1986), Balik Kampung (1986), Gila-Gila Remaja (1986), Guru Badul (1988), Dendang Remaja (1988), Antara Dua Hati (1989) dan banyak lagi.
Kali terakhir Allahyarham berlakon filem menerusi filem Cuci pada tahun lalu yang diarahkan oleh Hans Isaac.
Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21, Subang Jaya kira-kira pukul 12 tengah hari.
Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, ArticleCentral dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.