Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Md Isa, Nizar terajui kerajaan Perlis, Perak

Written By JOM JALAN on 18/03/08 | Selasa, Mac 18, 2008

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Adha Ghazali dan Shaarani Ismail


GANTI SHAHIDAN: Md Isa menerima watikah pelantikan daripada Tuanku Syed Sirajuddin sebagai Menteri Besar Perlis di Istana Arau, semalam.

Hanya pelantikan MB Terengganu belum muktamad

KUALA LUMPUR: Ketika Menteri Besar Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu dan Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin, secara rasmi mengangkat sumpah jawatan masing-masing semalam, persoalan berhubung pemilihan Menteri Besar Terengganu pula masih belum terjawab.

Sehingga malam tadi, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu dikatakan belum menerima sebarang jemputan untuk menghadiri majlis angkat sumpah Menteri Besar.

Seorang wakil rakyat yang enggan namanya didedahkan, ketika dihubungi berkata jemputan rasmi biasanya diedarkan pihak istana atau Bahagian Protokol Negeri berhubung acara rasmi yang dihadiri Sultan atau Pemangku Raja, tetapi sehingga semalam tiada jemputan diterima.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong, yang ditanya mengenai majlis angkat sumpah Menteri Besar pula enggan mengulas kerana menganggap isu itu sensitif.

Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Pameran Keunggulan Jawi di Muzium Negeri, Kuala Terengganu semalam, bagaimanapun berkata pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah meskipun pelantikan Menteri Besar masih belum dilaksanakan.


GALAS TANGGUNGJAWAB: Raja Nazrin menyerahkan watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Perak kepada Mohammad Nizar di Istana Iskandariah, semalam.

Di KANGAR, perebutan jawatan Menteri Besar Perlis akhirnya selesai apabila Md Isa mengangkat sumpah jawatan di Istana Diraja Arau, petang semalam.

Semua Adun hadir pada majlis itu, kecuali Adun Tambun Tulang yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim. Hadir sama Adun Simpang Empat, Rus'seli Eizan, satu-satunya wakil rakyat Pas yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

Upacara angkat sumpah berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada jam 5.30 petang.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Md Isa berharap isu siapa yang lebih berhak menjadi Menteri Besar Perlis tidak timbul lagi.

Sebelum ini, Shahidan dikatakan menerima surat sokongan menjadi Menteri Besar Perlis oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, manakala Md Isa mendapat watikah daripada Raja Perlis.

Md Isa berharap rakyat Perlis tanpa mengira aliran politik, akan kembali bersatu bagi sama-sama membangun dan memajukan negeri ini.

Ditanya sama ada beliau berminat untuk menduduki kediaman rasmi Menteri Besar yang kini sedang dikosongkan oleh Shahidan, Md Isa berkata, beliau lebih berminat untuk terus menetap di kediaman peribadinya di Taman Guru Jaya di sini.

Md Isa berkata, beliau akan mula memasuki pejabat Menteri Besar beberapa hari lagi kerana hari ini beliau akan ke Putrajaya bagi menemui Perdana Menteri berkaitan pembentukan barisan Exco negeri.

Sementara itu, Shahidan ketika dihubungi menjelaskan beliau bukan

memboikot majlis angkat sumpah Menteri Besar Perlis yang baru, tetapi tidak mendapat maklumat mengenainya.

"Saya memang mendengar saya dijemput ke majlis itu tetapi sekembali ke Perlis dari Kuala Lumpur petang semalam (kelmarin), saya tidak ke pejabat dan mungkin jemputan rasmi itu ada di sana. Saya benar-benar sibuk mengemas barangan keluarga yang banyak di kediaman kami kerana sudah 12 tahun kami mendiami rumah itu.

"Saya hanya tahu mengenai jemputan ke majlis itu apabila Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Datuk Sulaiman Shafie memaklumkannya pada jam 6 petang tadi (semalam)," katanya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Md Isa. Shahidan berkata, "Saya tidak ada masalah untuk bekerja dengan sesiapa saja. Saya menghormati Perlembagaan tetapi sebelum keputusan dibuat, saya perlu perjuangkan (kekal sebagai Menteri Besar) berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum lalu."

Di KUALA KANGSAR, Mohammad Nizar yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perak mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru pada hari lahirnya yang ke-51, semalam.

Istiadat pelantikan dan angkat sumpah itu yang berlangsung di Istana Iskandariah pada jam 11.40 pagi di hadapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah.

Hadir sama, Raja Di Hilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim dan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria.

Turut hadir Penasihat DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa, Pesuruhjaya Pas Perak Ahmad Awang dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak Zulkifli Ibrahim.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali yang menyepi diri sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu, turut hadir dan kelihatan ceria bersalaman serta mengucapkan tahniah kepada Mohammad Nizar selepas selesai upacara itu.

Tajol Rosli turut kelihatan bersalaman dan berbual dengan Lim, Pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham dan Setiausaha Publisiti DAP Perak Nga Kor Ming sebelum upacara perlantikan dan angkat sumpah bermula.

INFO

MD ISA SABU


  • Usia: 61
  • Tempat Lahir: Kampung Kechor, Kangar
  • Isteri: Datin Asiah Asmuni
  • Anak: Enam orang
  • Kerjaya Politik:
  • Mula menjadi wakil rakyat pada 1986 di DUN Bintong, mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 1990 dan dilantik Exco Kerajaan Negeri Perlis memegang portfolio Pertanian.
  • Pada Pilihan Raya Umum 1995, bertanding di Parlimen Kangar dan menjadi Ahli Parlimen Kangar untuk tempoh sepenggal.
  • Pada 1999, kembali bertanding dan menang di kerusi DUN Bintong, dilantik Exco Kerajaan Negeri memegang portfolio Pelancongan dan Alam Sekitar.
  • Tidak bertanding pada 2004. Menang semula di DUN Bintong pada Pilihan Raya Umum 2008.

    MOHAMMAD NIZAR

  • Umur: 51
  • Isteri: Fatimah Taat
  • Anak: Lima lelaki dan tiga perempuan
  • Kerjaya: Jurutera Perunding sektor pembinaan
  • Kerjaya politik:
  • Setiausaha Pas Perak
  • Menang kerusi Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang pada Pilihan Raya Umum 2008.
  • Sumber: Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, ArticleCentral dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.