Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Tiada lagi DEB - Antara langkah awal kerajaan DAP, PKR Pulau Pinang

Written By JOM JALAN on 12/03/08 | Rabu, Mac 12, 2008

Lim Guan Eng (kanan) dan bapanya, Lim Kit Siang meninjau bandar Georgetown dari tingkap pejabat Ketua Menteri di tingkat 28 Bangunan Komtar, Pulau Pinang selepas mengangkat sumpah semalam. – Gambar Zhafaran Nasib.


PULAU PINANG 11 Mac – Kerajaan negeri yang baru ditubuhkan hasil gabungan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membebaskan pentadbiran Pulau Pinang daripada pelaksanaan amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa, DEB menjadi punca kronisme, rasuah dan tidak efisien.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan sistem baru yang memberikan keutamaan kepada semua kaum.

Menurut Guan Eng, buat permulaan, kerajaan negeri akan melaksanakan sistem pemberian tender secara terbuka untuk semua kontrak dan pemerolehan kerajaan.

“Kita akan mengamalkan pentadbiran telus. Selain memudahkan orang awam mendapat maklumat mengenai tender-tender tersebut, satu portal Internet akan diwujudkan.

“Kontraktor tempatan yang berpusat di Pulau Pinang akan diberi keutamaan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, ekonomi di Pulau Pinang adalah untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama serta berdasarkan prinsip perkongsian kemakmuran dalam cara yang saksama.

Pada sidang akhbar hari ini, Guan Eng, 48, menjelaskan agenda-agenda pemerintahan baru kerajaan negeri DAP-PKR dengan langkah ke arah bebas DEB menjadi fokusnya.

DEB adalah dasar yang dimulakan pada tahun 1971 untuk membasmi kemiskinan dan menstrukturkan semula ekonomi Malaysia dengan matlamat menghapuskan pengenalan etnik berasaskan fungsi ekonomi.

Dasar itu, yang pada prinsipnya telah pun berakhir pada 1991, mengandungi polisi affirmative untuk kaum Melayu dan bumiputera bertunjangkan semangat kontrak sosial dan usaha untuk membaiki kedudukan ekonomi bumiputera yang ketinggalan.

Berikutan kenyataan Guan Eng pada sidang akhbar itu, beliau ditanya mengenai hak-hak orang Melayu.

Beliau menjawab: “Nasib semua bangsa dan untung nasib mereka adalah sama.

“Saya tidak mahu cakap tentang nasib golongan itu atau golongan ini kerana nasib kita semua adalah sama dan hala tuju kita juga adalah sama.”

Sebelum itu, Guan Eng mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di kediaman rasminya di Seri Mutiara di sini.

Pada istiadat itu, Guan Eng menerima surat pelantikan, diikuti dengan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Ketua Menteri.

Beliau yang pernah menjalani hukuman penjara mengetuai kerajaan negeri pakatan DAP dengan PKR setelah parti pembangkang memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu lepas.

Mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) pula, beliau berkata, ia adalah projek Kerajaan Pusat, justeru beliau akan menumpukan kepada projek-projek di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Sambil menekankan mengenai pembinaan Pulau Pinang yang dinamik untuk semua, katanya, beliau akan mengaturkan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan orang ramai pada pilihan raya umum yang baru berlangsung Sabtu lepas.

“Saya akan mencadangkan supaya hasil Petronas digunakan bagi membiayai sepenuhnya dana untuk pembinaan projek Jambatan Pulau Pinang kedua. Saya harap Kerajaan Persekutuan tidak akan memberhentikan pembiayaan kepada negeri ini.

“Kita percaya bahawa Perdana Menteri yang berasal dari Pulau Pinang tidak mahu penduduk Pulau Pinang sengsara hanya kerana mereka mengundi untuk perubahan,” tambah beliau.

Mengenai demokrasi dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) pula, Guan Eng memberitahu, usaha mewujudkan pilihan raya PBT akan dilakukan mengikut Artikel 113(4) Perlembagaan selain mengkaji semula pelantikan ahli-ahli majlis di kalangan parti-parti politik.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan melantik profesional dan wakil daripada industri serta badan bukan kerajaan (NGO) sebagai ahli majlis PBT mengikut Seksyen 10(2) Akta Kerajaan Tempatan.

Katanya, Ketua Menteri, anggota Exco kerajaan negeri, speaker serta timbalannya dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) serta Majlis Perbandaran Seberang Jaya (MPSP) akan diwajibkan mengisytiharkan aset peribadi mereka.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, ArticleCentral dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.