Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Obama hampir capai impian ke White House

Written By JOM JALAN on 3/11/08 | Isnin, November 03, 2008


Obama bersama isterinya, Michelle Obama dan dua anak perempuan mereka, Malia Obama, 10, dan Sasha Obama, 7, melambaikan tangan kepada penyokong semasa mengadakan kempen di Springfield, kelmarin. – AP




WASHINGTON 2 Nov. - Selepas bertarung selama 21 bulan, Barack Obama semakin menghampiri impiannya untuk menjadi presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat (AS).

Pada 10 Februari 2007, Senator Illinois itu yang tidak begitu dikenali, berdiri di hadapan sebuah bangunan kerajaan dalam cuaca sejuk, sambil menggesa ribuan penyokongnya menyertai 'pertarungannya' untuk ke White House.

"Sekiranya anda menyertai saya dalam pertarungan ini, sekiranya anda merasai takdir dan nampak apa yang saya lihat, masa depan yang tidak ada penghujungnya ... jika anda merasai apa yang saya rasa, masa kini menyedarkan kita dari tidur kita dan membaluti perasaan takut kita ...maka saya bersedia untuk bersaing," kata Obama.

Kini, tinjauan pendapat yang diadakan di seluruh negara menunjukkan, beliau akan mengatasi pencabarnya daripada Parti Republikan, John McCain pada pemilihan Presiden Amerika Syarikat pada Selasa ini.

Tinjauan pendapat yang dikeluarkan oleh Reuters/C-SPAN/Zogby hari ini menunjukkan beliau masih selesa mendahului Mccain secara keseluruhannya sebanyak enam mata.

Di kalangan pengundi wanita pula, Obama mendahului Mccain sebanyak lapan mata dan 10 mata di kalangan pengundi atas pagar.

Empat tahun lalu, apabila George W. Bush dan John Kerry bersaing untuk menerajui White House, Obama hanya seorang ahli politik kerdil yang berucap pada Konvensyen Demokrat pada 2004.

Beliau bagaimanapun seperti merasai kekecewaan banyak pihak mengenai tokoh politik terdiri daripada banyak muka lama, selain kebimbangan mereka mengenai krisis ekonomi dan juga peperangan di Iraq.

Berani menentang arus, senator berbangsa Afrika-Amerika berusia 47 tahun ini, bertarung bagi merebut tempat ke White House dengan menggunakan Internet sebagai alat utama untuk mengumpul dana.

Pada September lalu, kempen Obama berjaya mencipta rekod apabila mengumpul dana lebih AS$150 juta (RM533 juta).

Menurut pembantunya, Obama kini mempunyai lebihan sumbangan sebanyak AS$3.1 juta (RM11.03 juta).

"Ia betul-betul menunjukkan struktur masyarakat Amerika yang membiayai dan menyumbang kepada kempen ini secara sukarela," kata pengurus kempen, David Plouffe.

Buat kali pertama dalam tempoh beberapa dekad, negeri yang disifatkan kubu Republikan seperti Virginia dan North Carolina bakal menyaksikan persaingan sengit dan mungkin bertukar kepada Demokrat.

Obama secara terbuka digambarkan sebagai bekas Senator John F. Kennedy semasa mudanya yang cuba memberi tenaga baru kepada bangsanya.

Obama, anak kepada seorang lelaki berasal dari Kenya dan ibunya, wanita kulit putih dari Kansas, berjaya mengharungi pelbagai isu seperti perkauman dan menonjolkan dirinya sebagai calon bagi bangsa Amerika.

"Tidak ada bangsa kulit hitam Amerika, bangsa kulit putih Amerika dan Latin atau Asia Amerika ...yang ada hanya satu bangsa Amerika yang bersatu," katanya.

- Agensi/UM


Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: UsahawanInternet.com, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.