Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Dr. Mahathir umum keluar UMNO

Written By Syafrein Effendiuz on 20/05/08 | Selasa, Mei 20, 2008


ALOR STAR 19 Mei – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar daripada UMNO, berkuat kuasa serta-merta.

Bekas presiden UMNO selama 22 tahun antara 1981 dan 2003 itu dan merupakan antara ahli terawal parti itu sejak penubuhannya pada 1946 berkata, beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Saya umum saya keluar parti hari ini,” katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota UMNO Kedah pada forum Nasib Kedudukan Bangsa Melayu di sebuah hotel di sini.

Menurut anggota UMNO seumur hidup itu, beliau hanya akan kembali menyertai UMNO selepas Abdullah yang juga Perdana Menteri meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin negara.

“Saya akan menulis surat kepada UMNO bagi memaklumkan kepada mereka (mengenai langkah keluar daripada UMNO),” katanya.

Sebelum itu, beliau memberi cadangan supaya pemimpin cawangan dan bahagian parti itu meletakkan jawatan masing-masing sebagai isyarat kepada Abdullah supaya meletakkan jawatan dalam parti sebelum pemilihan UMNO Disember ini.

“Saya tidak akan suruh orang lain buat sesuatu (letak jawatan dan keluar UMNO) yang mana saya sendiri tidak berani buat,” kata beliau.

Bekas Perdana Menteri berusia 83 tahun itu berkata, surat pengisytiharan keluar daripada UMNO akan dihantar secara rasmi kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor secepat mungkin.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah itu, Dr. Mahathir dengan wajah kecewa berkata, beliau berpendapat parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu.

Sambil menyatakan rasa tidak puas hatinya, Dr. Mahathir berkata, keputusan keluar parti itu dibuat kerana beliau berpendapat UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO sebenar.

Beliau mendakwa, UMNO kini hanya menjadi sebuah badan untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri “yang mengutamakan keluarganya daripada kepentingan negara.”

“Saya boleh beri senarai perkara yang dibuat olehnya (Abdullah) yang merugikan negara.

“UMNO yang wujud hari ini tidak lagi berpegang kepada hasrat parti yang ditubuhkan 62 tahun lepas. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk keluar daripada UMNO,” katanya.

Sepanjang pembabitan Dr. Mahathir selama enam dekad dalam UMNO, beliau pernah dipecat daripada UMNO pada 1969 kerana melanggar disiplin parti apabila mengkritik kepimpinan UMNO ketika itu, tetapi beliau diterima kembali ke dalam parti itu pada 1972.

Semasa beliau menjadi Perdana Menteri antara 1981-2003, UMNO berpecah pada tahun 1980-an dan 1990-an, dan parti itu melalui saat-saat traumatik apabila ia diharamkan berikutan perebutan kuasa.

Dalam ucapannya hari ini, Dr. Mahathir mengajak anggota UMNO yang sependapat dengannya mengenai kepimpinan parti supaya mengikuti jejaknya dengan bertindak keluar daripada parti itu tetapi bukan untuk menyertai parti pembangkang lain.

“Saya yakin cara ini berkesan. Saya tidak akan menyuruh orang membuat sesuatu yang saya sendiri tidak berani melakukannya,” tambahnya.

Ketika diajukan soalan oleh pemberita mengenai tindakannya itu yang akan membuat orang lain mengikuti jejaknya, Dr. Mahathir memberitahu: “Saya tidak peduli kerana saya pun disekat daripada berjumpa dengan ahli-ahli UMNO.”

Katanya: “Sampai nak adakan perjumpaan, ahli-ahli UMNO dan ketua bahagian tidak dibenarkan berjumpa saya. Apakah ini?”

Beliau berkata, tindakan kepimpinan UMNO itu hanya menyebabkan timbul lebih banyak rasa tidak puas hati dan akhirnya melambangkan UMNO sebagai tidak demokratik.

“Saya beri pengakuan berkenaan diri sendiri, saya tidak peduli sama ada orang nak ikut atau tidak. Kalau mereka harus sokong Abdullah, utamakan Abdullah... itu hak mereka,” ujar beliau.

Dalam nada sinikal, beliau menyatakan keyakinan bahawa tindakannya meninggalkan UMNO tidak akan memberi kesan kepada politik orang Melayu.

“Saya pernah dibuang daripada UMNO, politik UMNO tidak hilang. Kalau nak betulkan (UMNO), (kita) kena berani pelihara perjuangan parti dan orang Melayu harus berani bertindak,” katanya.

Beliau kecewa kerana UMNO kini tidak lagi demokratik.

“Hendak adakan perjumpaan dengan ahli, ketua UMNO tidak boleh hadir.

“Dulu semasa Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) lawan saya, dia bebas pergi berkempen ke mana-mana bahagian, saya tidak larang pun.

“(Almarhum) Tunku Abdul Rahman sokong Ku Li, saya tidak halang. Sekarang ini (kita) tidak boleh kata apa-apa pun kepada parti dan presiden parti,” ujar beliau.

Dr. Mahathir mengulangi pandangannya bahawa Abdullah perlu melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri bagi memastikan survival UMNO selepas BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Jika perlu, kata beliau, anggota UMNO boleh mengadakan undi tidak percaya dalam usaha memaksa Abdullah meletakkan jawatan.

Ditanya adakah tindakan terbarunya itu (keluar UMNO) bertujuan untuk memberi tekanan kepada Abdullah, Dr. Mahathir berkata: “Saya tidak tahu mengenai tekanan kerana orang ini tidak faham apa-apa.”

Mengenai keuntungan politik yang bakal diperoleh pembangkang ekoran keputusannya keluar UMNO, beliau berkata, atas sebab-sebab tertentu parti lawan mahu Abdullah terus memimpin UMNO.

“Parti lawan mahukan Abdullah kerana beliau telah memberi kejayaan besar kepada pembangkang (dalam Pilihan Raya Umum Ke-12),” katanya.

Sebelum itu, dalam ceramahnya, Dr. Mahathir berkata, cadangan supaya pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat cawangan dan bahagian meletakkan jawatan dan keluar UMNO bertujuan menyelamatkan parti itu.

Menurut beliau, tindakan tersebut perlu dilakukan sebelum pemilihan UMNO Disember ini kerana jika ia tidak dilakukan Abdullah akan menang tanpa bertanding sebagai Presiden dalam pemilihan parti.

Dr. Mahathir berkata, walaupun Tengku Razaleigh atau Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu Timbalan Presiden UMNO, mahu bertanding menentang Abdullah, mereka tidak akan mendapat cukup pencalonan.

Katanya, arahan-arahan telah pun dikeluarkan meminta ahli-ahli UMNO tidak menyokong pencalonan lain selain Abdullah untuk pemilihan Presiden parti itu.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.