Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 28/08/04 | Sabtu, Ogos 28, 2004


Abbas dihukum gantung sampai mati
Oleh: WAN RAHIMAH DERAMAN dan MOHD. FAIRUZ YUSOF

MOHD. ABBAS.
JOHOR BAHRU 27 Ogos - Bekas pengawal keselamatan, Mohd. Abbas Danus Baksan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan membunuh pelajar Nurul Huda Gani, 10, pada 17 Januari lalu.
Abbas, 47, yang berkemeja biru muda dan berdiri di kandang salah kelihatan menundukkan kepala sebaik sahaja jurubahasa mahkamah menerangkan penghakiman dalam bahasa Tamil yang dibaca oleh Pesuruhjaya Kehakiman K.P. Gengadharan.
``Kamu telah mengambil nyawa seorang kanak-kanak yang tidak bersalah hanya kerana untuk memuaskan nafsu.
``Saya dengan ini mendapati kamu bersalah di atas tuduhan dan hanya satu hukuman itu iaitu hukuman mati,'' kata Gengadharan.
Turut berada di mahkamah ialah ahli keluarga Allahyarham Nurul Huda.
Sebaik sahaja sidang mahkamah selesai, ibu Nurul Huda, Zainon A. Bakar, 46, kelihatan menangis lalu ditenangkan anaknya, Nuraien Azlynah dan Norashikin.
Keadaan sedih itu turut dirasai oleh bapa Nurul Huda, Gani Juni, 52, yang berada di ruang legar bangunan mahkamah di Menara Ansar sehingga terpaksa ditenangkan oleh peguam pemerhati bagi keluarga tersebut, Mohamed Zaini Mazlan.
Abbas menghadapi tuduhan membunuh Nurul Huda di pondok pengawal pencawang masuk utama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kampung Pekajang, Tanjung Kupang dalam daerah Johor Bahru, pada 17 Januari lalu, antara pukul 9.20 pagi hingga 1 petang.
Tertuduh dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Abbas diwakili oleh peguam Hanif Hassan manakala pendakwaan dikendalikan oleh timbalan-timbalan pendakwa raya, Abd. Rashid Sudin dan Mohd. Noordin Ismail manakala Mohamed Zaini Mazlan dan Mohamed Harmy Yusof sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.
Dia kini menjalani hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 24 kali setelah mengaku bersalah merogol mangsa di tempat dan pada tarikh yang sama dengan tuduhan kes membunuh itu.
Gengadharan yang menyampaikan penghakiman lisan kira-kira 40 minit berkata, beliau berpuas hati apabila pihak pembela gagal mewujudkan keraguan di dalam perbicaraan tersebut.
Sebelum hukuman dijatuhkan Hanif berkata, tertuduh tidak pernah bersekolah, seorang yang buta huruf, tidak boleh membaca dan tinggal bersendirian setelah ibu bapanya meninggal dunia.
Katanya, Abbas juga tidak pernah terlibat dalam jenayah terancang, kegiatan kongsi gelap dan sebelum ini bekerja sebagai buruh lori balak serta pekerjaan terakhirnya sebagai pengawal keselamatan.
Abd. Rashid pula berkata, hanya ada satu hukuman terhadap Abbas iaitu hukuman mati kerana dia juga mempunyai sembilan kesalahan jenayah termasuk merogol Nurul Huda, rompakan bersenjata, pecah masuk rumah dan mencuri.