Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Puasa: Pesakit diabetes perlu peka pada perubahan

Written By JOM JALAN on 22/10/04 | Jumaat, Oktober 22, 2004

PESAKIT diabetes pastinya tertanya-tanya sama ada mereka mampu untuk berpuasa atau tidak pada bulan Ramadan.

Ini kerana, penyakit yang dihidapi memerlukan pengambilan ubat-ubatan secara kerap. Sebarang perubahan tabiat pemakanan pesakit diabetes boleh memberi tekanan kepada kadar metabolisme.

Semuanya kerana larangan makan, minum dan mengambil ubat-ubatan dalam tempoh antara 14 hingga 16 jam.

Bagaimanapun, ada di kalangan pesakit tidak digalakkan berpuasa termasuklah individu yang menghidap diabetes jenis 1 yang tidak menentu.

Selain itu, pesakit diabetes jenis 1 dan 2 yang tidak terkawal dan mereka yang tidak mematuhi nasihat doktor juga tidak digalakkan berpuasa.

Begitu juga dengan pesakit yang tidak mengikut jadual ubat yang betul, tidak melakukan senaman, mempunyai komplikasi serius seperti sakit dada yang tidak menentu dan hipertensi yang tidak terkawal juga tidak digalakkan berpuasa.

Pesakit yang mempunyai sejarah ketoacidosis - satu keadaan di mana penyakit diabetes tidak terkawal yang menyebabkan paras gula meningkat terlalu tinggi.

Ia menyebabkan tubuh mengeluarkan asid lemak berlebihan yang menyebabkan mereka pengsan atau koma.

Ini termasuklah pesakit diabetes yang hamil yang memerlukan insulin bagi mengelakkan kemudaratan kepada kandungan.

Pesakit diabetes yang mempunyai masalah jangkitan yang sukar dikawal, warga tua yang telah nyanyuk serta mereka yang mempunyai sejarah sebanyak dua atau lebih episod hipoglisemia atau hiperglisemia semasa Ramadan tidak digalakkan berpuasa.

Tip pesakit diabetes

Mereka yang ingin berpuasa pada bulan Ramadan digalakkan:

* Berpuasa sunat bagi menyesuaikan ubat-ubatan, pemakanan yang seimbang dan suntikan insulin.

* Menjalani ujian darah

* Dari aspek pemakanan, pesakit dinasihatkan supaya:

a. Mengambil makanan yang mempunyai kandungan serat yang tinggi, rendah lemak, karbohidrat yang kompleks dan rendah garam.

b. Minumlah sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas air setiap hari bagi menggantikan air yang hilang semasa berpuasa

c. Makan sekurang-kurangnya lima hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan.

d. Sebaik-baiknya bersahurlah sebelum waktu imsak dan bukan sebelum tidur untuk mengelakkan waktu berpuasa yang lebih panjang.

* Pesakit dinasihatkan melakukan senaman ringan dan sederhana semasa bulan Ramadan.

* Dari aspek ubat-ubatan yang dimakan, perubahan dos ubat sulphonylurea seperti glibenclamide, gliclazide atau glipizide:

a. Dua kali sehari setengah jam semasa berbuka dan bersahur dapat menurunkan risiko hipoglisemia dan hiperglisemia.

Biasanya dos sebelum waktu sahur perlu dikurangkan daripada biasa untuk mengelakkan hipoglisemia semasa berpuasa.

b. Ubat sulphonylurea perlu diambil 30 minit sebelum makan iaitu sejurus selepas waktu berbuka.

Sementara menunggu, pesakit digalakkan untuk menunaikan solat maghrib dahulu.

c. Bagi mereka yang menggunakan ubat metformin, acarbose atau rosiglitazone, mereka tidak perlu menukar dos, yang biasanya diambil pada waktu tengah hari boleh ditinggalkan.

Terdapat ubat terbaru di pasaran iaitu repaglinide yang boleh dimakan sejurus selepas waktu berbuka. Ubat ini dikenal pasti dapat mengurangkan hipoglisemia semasa berpuasa dan boleh mengawal diabetes lebih baik.

Pakar-pakar perubatan berpendapat, pesakit yang bergantung kepada insulin sama ada diabetes 1 atau diabetes 2 boleh berpuasa dengan selamat.

Ada dua cara suntikan yang telah dikenal pasti selamat digunakan iaitu:

* Suntikan tiga kali sehari.

* Suntikan sebelum berbuka dan bersahur menggunakan suntikan insulin yang bertindak dalam jangka masa pendek

* Suntikan insulin bertindak dalam jangka masa sederhana seperti Monotard, Insulatard atau Humulin N atau L.

Insulin seperti Actrapid atau Humulin R perlu disuntik 30 minit sebelum makan. Mengikut fatwa ulama suntikan ini tidak membatalkan puasa.

Satu pilihan lain ialah menggunakan insulin jenis baru (insulin Lispro) yang disuntik sejurus selepas makan.

Insulin analog ini didapati lebih sesuai digunakan sewaktu berpuasa kerana kurang menyebabkan hipoglisemia.

Mereka juga boleh membuat suntikan dua kali sehari sebelum berbuka dan bersahur dengan menggunakan insulin yang bertindak dalam jangka masa pendek yang dicampur dengan insulin bertindak sederhana seperti Mixtard atau Humulin 30.

Pesakit yang menyuntik insulin perlu memantau paras glukos mereka sebelum dan selepas berbuka dan bersahur bagi memastikan mereka tidak mengalami hipoglisemia. (UM)