Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Syeikh Ahmad al-Fatani bagai permata terbenam

Written By JOM JALAN on 11/11/04 | Khamis, November 11, 2004

Oleh Salbiah Ani


WACANA Syeikh Ahmad Muhammad Zain al-Fatani: Pemikir Agung Melayu berjaya memancing perbahasan menarik mengenai ketokohan Syeikh Ahmad, ulama besar kelahiran Pattani yang hidup pada 1856 hingga 1908 Masihi.



Syeikh Ahmad ditonjolkan sebagai tokoh pemikir Melayu yang ‘dizalimi’ umatnya kerana hanya dibicarakan selepas 100 tahun pemergiannya sedangkan kebijaksanaan tokoh silam itu wajar diteladani oleh pemimpin negara Islam.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, Abdul Rahman Mahmud, sebagai pembahas melihat ‘penzaliman’ Syeikh Ahmad terjadi kerana penguburan sistem tulisan jawi di negara ini hingga mengakibatkan segala khazanah tinggalan beliau terkubur sama.

“Jika kita tidak jaga, kita juga bakal menyaksikan bahasa Melayu turut berkubur kerana sikap pihak tertentu yang terpegun mahupun mengagumi bahasa asing dan sekiranya ini terjadi bangsa Melayu akan mundur 200 tahun lagi,” katanya.

Wacana anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Jumaat lalu, dipengerusikan Dr Fauzi Naim Badaruddin, turut dihadiri pemegang Kursi Pengajian Melayu di Victoria University of Wellington, Prof Dr Ungku Maimunah Mohd Tahir.

Abdul Rahman memaklumkan meskipun Syeikh Ahmad berada di Mesir, beliau tidak pernah terputus hubungan dengan bangsa dan Dunia Melayu serta menyedari ancaman penjajah lalu menekankan kepada raja mahupun rakyat mengenai perkara itu.

Kesungguhan Syeikh Ahmad dan pelajarnya untuk melihat bangsa Melayu bangkit dapat dilihat melalui usaha mereka menubuhkan Maktab Melayu Kuala Kangsar yang bukan saja menawarkan kelas belajar bahasa Inggeris tetapi juga pengajian sekolah agama.

“Masalah sosial yang dihadapi masyarakat hari ini kerana kita menganggap sekolah Arab sebagai tradisional dan tiada nilai tamadun. Kita sepatutnya menekankan kepentingan menguasai pelbagai bahasa tanpa mengetepikan kepentingan agama. ” katanya.

Pensyarah Fakulti Islam UKM, Anwar Zainal Abidin, sebagai pembahas II senada dengan Abdul Rahman apabila menyatakan penekanan sains dan teknologi yang dihebohkan kini pernah disuarakan ulama Muslim Asia Barat.

“Pentingnya penguasaan ilmu sudah diperkatakan ulama Muslim pada pertengahan abad ke-19 dan Syeikh Ahmad antara tokoh rantau Nusantara yang menekankan kepentingan penguasaan ilmu pengetahuan dan reformasi pendidikan,” katanya.

Tokoh itu dikatakan menyedari perlunya membina kekuatan diri bagi menghadapi ancaman dan cabaran luar serta yakin kejayaan Eropah menguasai dan mempengaruhi Dunia Islam kerana mereka terkedepan dalam ilmu terutamanya sains dan teknologi.

“Syeikh Ahmad sendiri membabitkan diri dalam ilmu sains seperti kimia dan perubatan serta menulis mengenainya di samping beliau turut menekankan kepentingan pemerintahan yang adil lagi saksama,” katanya.

Setiausaha Himpunan Pencakna Budaya Kelantan, Zaidi Hassan, sebagai tokoh yang memperkatakan Syeikh Ahmad yakin ulama terbabit menduduki tempat istimewa dalam sejarah bangsa Melayu.

Ini kerana Syeikh Ahmad meninggalkan pelajar yang memainkan peranan besar di seluruh pelosok rantau Melayu dan sesetengahnya muncul sebagai ulama terbilang, penggerak masyarakat yang berjaya dan pentadbir berjasa.

Zaidi ketika memperkatakan Syeikh Ahmad Muhammad Zain al-Fatani: Pemikir Agung Melayu mengemukakan 10 fakta bagi menyokong kenyataannya berhubung sumbangan tokoh terbabit:

1. Memulakan kerja pentashihan dan percetakan kitab warisan Melayu karangan ulama sebelum beliau.

2. Menyediakan kerangka bekerja secara berpersatuan dan beliau memulai dengan menubuhkan Jam’iah al-Fataniyyah di Makkah iaitu organisasi Melayu yang pertama.

3. Membuka jalan berfikir yang subur untuk menerima perubahan dan kemajuan secara luaran dan mengekalkan faham akidah dan pengalaman fikah berdasarkan ajaran klasikal secara dalaman.

4. Menyediakan pemikiran yang strategik dalam menghadapi cabaran dan bukan bergantungan kepada kekuatan atau kekerasan semata-mata.

5. Mendedahkan pelajar Melayu kepada perkembangan di luar lingkungan dengan mengadakan rehlah bersama pelajar ke Syam, Mesir, Istanbul dan mendedahkan mereka kepada akhbar dan majalah, suatu yang tidak pernah dilakukan penuntut ilmu zaman itu.

6. Menjadi tempat rujukan pembesar dan orang awam dari kawasan Melayu.

7. Menitikberatkan kesedaran mengenai kepentingan bahasa dan sejarah bangsa.

8. Mendorong ahli masyarakat bersangka baik dan menerima ajaran tasawuf Islami, termasuk amalan tariqah yang mu’tabarah.

9. Meninggalkan kitab dan karangan bernilai ilmu yang tinggi serta perlu disebarluaskan kepada ahli masyarakat

10. Meniupkan semangat mencintai bangsa dan tanah air di atas dasar tuntutan agama.

Pada sesi soal jawab, dapat dilihat ketrampilan dan ketokohan Syeikh Ahmad yang diabaikan sekian lama diakui dua peneliti Dunia Melayu dan Islam yang hadir sama dan mengikuti wacana dengan penuh minat.

Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Dr Uthman el-Muhammady, meletakkan Syeikh Ahmad sebagai integrated Muslim intelectual kerana beliau bukan saja menguasai ilmu agama tetapi juga dunia.

“Beliau intelektual yang akar umbinya sangat teguh dalam tamadun Melayu dan ada siasah ulama. Beliau sedia belajar, memahami dan ada wibawa sebagai ulama mahupun cendekiawan. Memahami hal semasa, fikah, tasawuf, bahasa dan budaya bangsanya,” katanya.

Bekas Pensyarah Jabatan Persuratan Melayu (JPM), UKM, Dr Shafie Abu Bakar, pula melihat sumbangan Syeikh Ahmad tertimbus kerana beliau berada di luar lingkaran Dunia Melayu.

“Orientalis tidak menggali sumbangan Syeikh Ahmad kerana beliau berada di Makkah sedangkan tradisi Pattani sama hebat dengan Aceh yang ada ramai ulama dan jumlah karya mereka jauh lebih banyak berbanding tokoh Johor Riau, Raja Ali Haji,” katanya.

Kedengaran juga nada curiga Dr Shafie dan Abdul Rahman terhadap orientalis Belanda, CS Hugronje, dalam ‘menenggelamkan’ tokoh Islam tetapi tidak dipersetujui Zaidi kerana beliau pernah meneliti sejumlah surat yang diutuskan ulama Acheh kepada Hugronje mengenai masalah kelakuan masyarakat Islam bandar itu.(http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Sastera/20041104084529/Article/)