Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Bangunkan semula Aceh

Written By JOM JALAN on 9/01/05 | Ahad, Januari 09, 2005

Bangunkan semula Aceh
Oleh Zulkiflee Bakar


DALAM sejarah Republik Indonesia, Aceh sentiasa sahaja dirundung malang, malah suatu ketika Aceh pernah dianggap sebagai wilayah berdarah berikutan pelaksanaan pemerintahan tentera yang menyaksikan ramai penduduknya terbunuh.

Malah ketika peristiwa berdarah itu masih meninggalkan kesan yang mendalam kepada penduduk kini mereka ditimpa lagi bencana iaitu tsunami yang menghapuskan beratus-ratus generasi penduduk.

Sememangnya tsunami akan tercatat dalam sejarah Indonesia memandangkan ia dianggap tragedi bencana alam paling buruk yang pernah dialami oleh negara itu.

Sementara menanti sejarah itu akan dikenang sepanjang hayat, kini pemerintah Indonesia bertungkus-lumus memikirkan apakah usaha yang boleh dilakukan bagi membangunkan semula Serambi Mekah itu.

Mungkin buat seketika pemerintah Indonesia boleh menarik nafas lega apabila mereka menerima bantuan tanpa henti dari pelbagai negara termasuk pertubuhan sukarela.

Bantuan seumpama ini sudah tentulah akan mengurangkan beban pemerintah yang sudah pasti tidak menduga sama sekali bahawa tsunami hampir melenyapkan sebuah wilayahnya.

Itulah yang dialami oleh Aceh apabila tiga kali lipatan ombak besar telah meranapkan daerah Meulaboh dan melumpuhkan aktiviti ekonomi serta kehidupan di Banda Acheh.

Sesiapa juga menyaksikan kemusnahan yang dialami Aceh akan menganggap usaha membangunkan semula wilayah itu bakal memakan masa yang cukup panjang apatah lagi jika terdapat terlalu banyak kerenah birokrasi dalam usaha itu.

Berdasarkan kepada keadaan itulah, majoriti rakyat Aceh meletakkan sasaran bahawa wilayah itu hanya akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun.

``Itu pun jika semua proses pembahagian kontrak kepada pihak-pihak berkenaan dilakukan terus kepada rakyat Aceh, kalau ia diberikan kepada orang luar melalui pegawai kerajaan, percayalah masa yang diperlukan lebih lama,'' kata Mohamed Yunus salah seorang ahli perniagaan di Aceh.

Walaupun pemerintah Indonesia meletakkan tempoh lima tahun untuk membangunkan semula Aceh namun bagi kalangan penduduk wilayah itu mereka tidak yakin ia menjadi kenyataan.

Apatah lagi selama ini pemerintah Indonesia sejak zaman Suharto hinggalah kepada Megawati Sukarnoputri dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk membangunkan Aceh dan kini di bawah pemerintahan Susilo Bambang Yudhoyono mereka tidak mengharapkan apa-apa komitmen.

Ini kerana mereka melihat jika pemerintah Indonesia serius sudah pasti sejak awal lagi mereka akan membangunkan Aceh yang kaya dengan hasil minyaknya.

Oleh itu musibah ini dianggap sebagai ujian sebenar kepada pemerintah Indonesia sama ada membangunkan semula Aceh atau membiarkan ia dalam keadaan sekarang.

Jika dilihat dari segi komitmen yang diberikan oleh Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN serta Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Aceh hakikatnya tidak sukar dibangunkan semula.

Selain itu, pemerintah juga diharapkan lebih mengutamakan bantuan yang hendak dihulurkan oleh negara-negara rantau ini atau mana-mana negara Islam.

Kenyataan ini dibuat kerana sudah ada ura-ura bahawa Amerika Syarikat (AS) akan menghantar lebih 13,000 tenteranya ke Aceh bagi melaksanakan kerja-kerja pemulihan seperti membuang sisa-sisa runtuhan.

``Kita bimbang jika perkara ini menjadi kenyataan, pertolongan yang dihulurkan oleh AS itu mempunyai motif tersendiri bak kata orang ada udang di sebalik batu,'' kata seorang pegawai kanan diplomatik dari sebuah negara Islam.

Justeru, apa yang berlaku di Aceh ini dan dengan imej wilayah itu yang terkenal dengan ciri-ciri masyarakatnya yang teguh berpegang kepada ajaran Islam, ramai pihak melihat ia adalah kesempatan terbaik kepada negara-negara Islam terutamanya Malaysia memainkan peranannya.

``Inilah masanya untuk kita membantu rakyat Aceh kerana mereka amat menghargai dan menyukai Malaysia,'' kata Konsul Jeneral Mohd. Yusoff A.Bakar kepada penulis ketika ditemui di Banda Acheh.

Kenyataan Mohd. Yusoff itu seharusnya diambil perhatian oleh pihak-pihak berkenaan memandangkan rakyat Aceh sememangnya menghormati Malaysia malah mereka melihat Malaysia sebagai negara Islam contoh.

Atas sebab itulah ketibaan pasukan bantuan dari Malaysia terutamanya NGO seperti Yayasan Salam mendapat sambutan hangat daripada mangsa-mangsa tsunami.

Mereka memahami bahawa Malaysia datang membantu dengan ikhlas atas dasar persaudaraan Islam dan tidak mempunyai apa-apa agenda tersembunyi di masa depan.

Kuasa-kuasa besar jika menurut pandangan rakyat Indonesia walaupun dialu-alukan kehadiran mereka ketika saat-saat kecemasan terutamanya dalam usaha menyelamat namun untuk jangka panjang ia mempunyai kesan tersendiri kepada negara itu.

``Kita bukannya ingin mempertikaikan keikhlasan mereka tetapi kita hanya berhati-hati kerana sejarah telah membuktikan bahawa Indonesia pernah diperdaya oleh negara asing,'' kata seorang penganalisis politik Indonesia kepada sebuah akhbar tempatan.

Namun semua ini hanya menjadi kenyataan jika pemerintah Indonesia benar-benar inginkan Malaysia membantu membangunkan semula Aceh. Tambahan pula Malaysia seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai kepakaran sama ada dalam bidang kejuruteraan mahupun kemanusiaan.

Seperkara lagi, bencana yang menimpa Aceh juga menjadi medan ujian kepada negara-negara Islam untuk bersatu dalam OIC bagi menyumbangkan segala kepakaran yang mereka ada.

Setakat ini sudah ada komitmen oleh negara-negara Islam berkenaan dan apa yang perlu ia diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan. Peristiwa tsunami bukan sahaja memaksa Aceh menderita malah ia seolah-olah meruntuhkan segala sistem kehidupan penduduknya.

Mereka bukan sahaja memerlukan bangunan dan kediaman malah bantuan dari segi kemanusiaan terutamanya trauma yang dialami oleh mangsa-mangsa tsunami.

Malah apa yang lebih penting daripada itu ialah menyelamatkan masa depan lebih 38,000 kanak-kanak Aceh yang kini sebatang kara. Nasib kanak-kanak ini harus menjadi perhitungan utama sama pentingnya dengan soal pembangunan kepada Aceh. Ini memandangkan jika negara-negara Islam tidak berhati-hati kanak-kanak itu boleh `terperangkap' dengan pihak-pihak yang boleh merosakkan masa depan mereka.

Walaupun pemerintah Indonesia memberi jaminan bahawa langkah segera akan dilakukan bagi membantu kanak-kanak tersebut namun keterbatasan dari segi kewangan dan menyediakan kemudahan boleh menyebabkan masa depan mereka terjejas.

Oleh itu, negara-negara Islam seperti Malaysia boleh mengambil kesempatan dengan melaksanakan program anak angkat tanpa memerlukan kanak-kanak itu meninggalkan tanah kelahiran mereka.

Negara-negara Islam mungkin boleh menyalurkan pelbagai bantuan termasuk menjadi penaja dan membiaya rumah-rumah anak yatim yang sekali gus akan memastikan masa depan kanak-kanak itu terjamin.

Namun apa pun andaian dan harapan kita, apa yang pasti Aceh memerlukan komitmen sepenuhnya daripada pemerintah Indonesia untuk dibangunkan semula, negara-negara lain boleh menawarkan apa juga bantuan tetapi kesudahannya keputusan ada di tangan pemerintah Indonesia.

Kita harap pemerintah Indonesia benar-benar serius kali ini. Aceh sudah lama menderita, berilah peluang kepada mereka untuk menikmati pembangunan kekayaan Aceh.

Kini semua pihak sedang menanti sejauh manakah kesungguhan pemerintah Indonesia untuk membantu Aceh kerana mereka hakikatnya tidak lagi mempunyai masalah berdasarkan ikrar untuk membantu oleh negara-negara luar.

Apa yang pasti jika Aceh terus dibiarkan tidak dibangunkan semula Serambi Mekah yang kehilangan lebih 100,000 penduduk akan terus berkabung dan menderita dalam segala aspek terutamanya ekonomi dan pembangunan manusia.