Written By JOM JALAN on 5/04/05 | Selasa, April 05, 2005
Warga emas mudah nyanyuk jika hidup sendirian
Oleh Halina Mohd Noor
WARGA emas yang hidup bersendirian, kurang bersosial serta tidak aktif secara fizikal dan mental lebih berisiko tinggi mengalami penyakit nyanyuk atau dalam istilah perubatannya dikenali sebagai dimentia.
Dimentia berlaku apabila sel otak mengecut akibat proses penuaan. Lazimnya sel otak mula mati mati ketika individu berusia 18 tahun dan sel-sel itu akan terus mati secara berperingkat sehingga akhir hayat seseorang. Bagaimanapun sel ini akan terus mati secara lebih cepat apabila otak kurang aktif atau tidak banyak aktiviti dilakukan membabitkan bahagian berkenaan.
Pakar Neurologi, Dr Julia Shahnaz Merican, berkata selain gaya hidup aktif, warga emas perlu menyertai jaringan sosial dalam masyarakat untuk memastikan kemampuan berterusan dari segi pemikiran. Mereka yang hidup di sekeliling masyarakat yang kuat dari segi sosial dan kejiranan lebih terlindung daripada dimentia.
Sebaiknya warga emas tidak hidup terpinggir dan keseorangan kerana ia boleh menyebabkan proses pengecutan otak berlaku lebih cepat dan seterusnya menyebabkan dimentia. Banyak aktiviti membabitkan mental dan fizikal boleh mengelakkan dimentia dari berlaku antaranya dengan bersenam aerobik, berjalan pantas dan sebagainya. Gaya hidup aktif merangsang salur darah dalam otak terbuka. Ia baik untuk pengaliran darah dan seterusnya menyebabkan otak lebih cergas, katanya.
Dr Julia pada ceramah umum bertajuk Memori dan Penuaan di Pusat Perubatan Pantai menasihatkan warga emas mengelakkan diri dari tekanan untuk mencegah berlaku dimentia selain mengamalkan pemakanan sihat. Diet rendah kolesterol boleh mengawal risiko dimentia terutama di kalangan mereka yang menghidap tekanan darah tinggi.
Tekanan darah tinggi antara faktor yang boleh menjadi punca dimentia kerana ia menyebabkan sel otak rosak. Ia sering dikaitkan dengan Alzhemier iaitu sejenis penyakit dimentia. Selain itu pesakit strok juga turut terdedah kepada dimentia kerana strok membabitkan bahagian dalam otak, katanya.
Dimentia perlu dikenal pasti lebih awal agar dapat dirawat sebelum ia menjadi lebih teruk. Antara gejala dimentia yang boleh dikenal pasti ialah sering terlupa mengenai tempat sesuatu barang diletakkan, terlupa nama, terpaksa menggunakan senarai untuk mengingat, terlupa mengenai perbualan terbaru atau terlupa maklumat penting seperti tarikh lahir, alamat dan sebagainya.
Ramai sering menganggap adalah perkara normal bagi orang yang berusia jika sering terlupa. Ini tidak benar dan tahap lupa itu perlu di kenal pasti agar tidak menjadi lebih teruk sehingga menyusahkan.
Lupa yang tidak normal sering disertai dengan masalah lain seperti sukar mengingat sesuatu perkara walaupun ia masih baru. Tanda-tanda pesakit dimentia dapat dikesan melalui ujian memori, ujian psikologi dan Mini Mental State Exam (MMSE) yang merangkumi ujian orientasi (soalan mengenai tarikh, hari, bulan, tahun dan tempat tinggal), ingatan, pemerhatian, kira-kira dan bahasa. Pada masa depan penggunaan skan CT dan imbasan imejan magnetik (MRI) mungkin digunakan untuk melihat keadaan dalam otak, katanya.
Perunding Psikiatri, Dr Brian Ho pada ceramah sama berkata, selain dimentia, warga emas turut terdedah kepada penyakit kemurungan yang berkesudahan dengan bunuh diri. Ia adalah masalah jiwa yang sering ditemui di kalangan warga emas tetapi jarang dikenal pasti lebih awal untuk dirawat.
Fenomena membunuh diri seperti terjun dari bangunan tinggi semakin meningkat di Jepun dan Singapura. Di Utara Amerika, 1304 warga emas atau 0.8 peratus mengalami kemurungan manakala dua peratus mengalami kemurungan sederhana. Di Jepun, 0.7 peratus sehingga 1.9 peratus mengalami kemurungan.
Jiran terdekat iaitu Singapura mungkin boleh menjadi ukuran untuk keadaan di Malaysia iaitu 6 peratus mereka yang berusia 65 tahun mengalami kemurungan iaitu membabitkan 5.5 peratus lelaki dan 6.1 peratus wanita, katanya.
Katanya kemurungan berlaku akibat trauma yang dihadapi seperti kemalangan yang membabitkan kematian ahli keluarga, penyakit dihadapi, perceraian, hidup bersendirian kerana tidak pernah berkahwin atau tidak mempunyai keluarga.
Kemurungan sering gagal dikenal pasti sehingga pesakit meninggal dunia tanpa mendapat rawatan sewajarnya. Ini disebabkan pesakit tidak mengetahui gejala manakala doktor tidak dapat mengesannya kerana lebih menumpukan kepada kesakitan fizikal pesakit. Ini seterusnya menyebabkan tiada pemeriksaan lanjut dijalankan untuk masalah kemurungan, katanya.
Tanda kemurungan berlaku secara tiba-tiba berbanding dimentia antaranya berasa sedih dan kecewa, sukar memberikan tumpuan dan sering memberi alasan saya terlupa. Berbeza dengan dimentia, kemurungan lebih mudah dirawat.
Tujuan rawatan ialah untuk meningkatkan kualiti hidup warga emas, meningkatkan tahap kesihatan, mencegah dari berulang semula dan memanjangkan tempoh jangka hayat. Rawatan anti kemurungan dan secara psikologi dibuat tanpa mengambil kira latar belakang sosio ekonomi pesakit, katanya.