Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 5/04/05 | Selasa, April 05, 2005


MELAKA: Seorang nelayan, Abdul Aziz Hussin, 51, menemui enam artifak sejarah iaitu cerek, mangkuk dan pinggan yang dipercayai berusia lebih 500 tahun di perairan Selat Melaka.


Beliau yang tinggal di Muara Sungai Duyong, dekat sini, mengakui semua barang terbabit ditemui di kawasan berlainan sepanjang tempoh empat bulan, sejak akhir tahun lalu.

Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 21 artifak yang kini berada dalam simpanannya.

Abdul Aziz berkata, minat mencari harta karun dan artifak sejarah yang sejak dia berusia 15 tahun memudahkan pencariannya sama ada di kawasan laut dalam atau sebaliknya.

“Kadangkala, saya turun ke laut ditemani anak angkat, Mohd Ali Kadir, 34, menggunakan perahu. Apabila tiba di kawasan lumpur cair, saya mengetuk tempat berkenaan dengan kayu.

“Batu dan bahan sejarah seperti ini mempunyai bunyi berlainan dan selepas itu, saya akan turun ke lumpur mendapatkannya (artifak).

“Bagaimanapun, jika di kawasan laut dalam, saya gunakan pukat bagi mendapatkan artifak yang kadangkala timbul selepas ribut,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, beliau pernah menghantar sebahagian besar daripada penemuannya terutama yang ditemui di kawasan Kota Laksamana kepada muzium di negeri ini dan menerima purata bayaran kira-kira RM100 sebulan.

Malah, katanya, sehingga kini, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) masih mempunyai tunggakan bayaran sebanyak tiga bulan terhadapnya.

Ditanya mengenai rancangan terhadap penemuan artifaknya, beliau mengakui sudah menemui Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam akhir tahun lalu bagi memaklumkannya.

Beliau berkata, daripada pertemuan itu, Ketua Menteri memberi jaminan akan menilai barangan terbabit dan kemungkinan mengambil sebahagian manakala membenarkan sebahagian lain menjadi simpanan Abdul Aziz sebagai penghargaan kepada usahanya.
Artifak 300,000 tahun ditemui
Oleh DJ Dolasoh
LENGGONG: Penyelidikan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) di tapak bengkel manusia prasejarah Zaman Paleolitik di Bukit Jawa, di sini menemui beribu-ribu artifak batu berusia 200,000 hingga 300,000 tahun sejak dua minggu lalu.


Selain penemuan di tapak seluas 300 meter itu, kerja mencari gali oleh 13 penuntut program ijazah pertama USM itu adalah yang pertama dalam sejarah penyelidikan negara kerana membabitkan tiga penuntut warga emas.

Mereka ialah Abdul Karim Yahya, 64; Adnan Ahmad, 57, dan Kapt (B) Toh Choon Hong, 57. Kerja penyelidikan dan cari gali itu diketuai Pensyarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia (PPAM) USM, Prof Madya Mohd Mokhtar Saidin.

Abdul Karim pesara guru besar dari Malim Nawar, Perak; Adnan pesara ketua stesen Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca Perlis dan Toh pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masing-masing mengikuti kursus Sains Kemasyarakatan.

Abdul Karim berkata, beliau terkejut dengan banyak penemuan artifak dalam tanah yang masih dalam bentuk dan berkedudukan asal.

“Ada lubang yang baru digali separuh tetapi sudah menemui beratus-ratus artifak batu pelbagai bentuk yang dipercayai digunakan manusia zaman Paleolitik.

“Berdasarkan kajian, kawasan itu adalah bengkel membuat pelbagai peralatan dan senjata kegunaan harian,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di tapak penyelidikan berkenaan di sini, kelmarin.

Abdul Karim berkata, kerja cari gali terpaksa dilakukan berhati-hati kerana semua artifak itu daripada batu jenis kuarza dan kuarzit yang masih dalam bentuk asal, di samping lapisan atas tanah yang tertimbus.

“Semua artifak akan dibawa balik ke USM untuk kajian lanjut bagi memperoleh fakta lebih terperinci dan tepat mengenai manusia prasejarah zaman Paleolitik.

“Kejayaan kami ini dijadikan sebagai bukti bahawa warga emas juga mampu membuat penyelidikan dan cari gali seperti ini walaupun ia kerja yang sukar,” katanya.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata, Bukit Jawa dikenal pasti sebagai kawasan penempatan awal manusia zaman itu dan tapak berkenaan adalah bengkel atau kilang membuat pelbagai peralatan.

Beliau berkata, dipercayai lebih 20 tukang mahir bekerja di bengkel berkenaan berdasarkan kajian pelbagai sudut dan saintifik. Kawasan setinggi 92 meter dari aras laut dan satu kilometer dari Sungai Perak itu juga strategik.

Bagaimanapun, beliau kesal kerana beberapa tempat musnah akibat pelbagai kegiatan seperti pengorekan tanah untuk dijual selain pembangunan seperti pembinaan jalan baru Lenggong-Grik.

“Saya merayu orang ramai dan pihak berkenaan supaya berhati-hati dan berunding dengan Jabatan Arkeologi sebelum membangunkan kawasan tapak prasejarah itu bagi mengelak ia daripada musnah begitu saja,” katanya. [http://www.bharian.com.my/ m/BHarian/Monday/ Nasional/20050403224615/Article/]