Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Rafidah menangis

Written By JOM JALAN on 20/07/05 | Rabu, Julai 20, 2005

Oleh Norfatimah Ahmad dan Nurul Hazren Masitom

SEBAK: Rafidah menangis ketika membaca perenggan terakhir surat yang diserahkan kepada Dr Mahathir pada sidang akhbar
di PWTC, semalam.


KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, semalam tidak dapat menahan kesedihan ketika menjelaskan hubungannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dianggap seperti bapa.

Rafidah yang sebelum itu ceria dan bersemangat menjelaskan isu permit import (AP) kereta yang mencetuskan kontroversi selepas dibangkitkan bekas Perdana Menteri, sebak dan menangis ketika membaca perenggan terakhir surat yang diserahkan kepada Dr Mahathir.

“Saya mengakhiri surat saya dengan menyatakan... sekianlah dari saya dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-80 kepada Yang Berbahagia Tun, semoga Tun dan Tun Dr Siti Hasmah... (terhenti kerana sebak dan menangis) berada dalam keadaan sihat dan sejahtera,” katanya dalam keadaan teresak-esak.

Berikutan itu, suasana sidang akhbarnya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Wanita Umno di tingkat 38, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, menjadi sayu dengan Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang duduk di sebelah kanan Rafidah, kelihatan tergamam.

Beberapa Exco Wanita termasuk Penolong Setiausaha pergerakan itu, Datuk Faridah Abu Hassan, turut sebak.

Ditanya mengapa beliau menangis, Rafidah dalam keadaan tersedu mengatakan beliau terlalu sedih kerana dituduh biadap, sedangkan beliaulah orang pertama menghalang Dr Mahathir daripada meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Rafidah sebelum itu ditanya wartawan berhubung desakan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, supaya beliau meminta maaf daripada Dr Mahathir kerana isu berkenaan dikatakan amat menyinggung perasaan bekas Perdana Menteri.

“Saya tak tahu kenapa Zam cakap macam tu, sebenarnya saya tidak bersalah dengan sesiapa bahkan Tun pun bukan mengata saya. Tun hanya menyatakan beberapa perkara yang saya telah pun beri jawapan secara terhormat dalam surat kepada beliau.

“Hubungan saya dengan Tun tidak pernah berubah, isu ini bukan mengenai hubungan saya tetapi menjelaskan kedudukan sebenar. Saya fikir penting untuk Tun mengetahui fakta dan angka sebenar kerana saya bimbang beliau mengetahuinya daripada orang lain.

“Sekiranya Tun mendapat maklumat atau ada orang lain yang memberitahu beliau tetapi ia tidak tepat dan menganggapnya sebagai betul, maka saya akan sedih kerana saya perlu memberitahu perkara sebenar supaya beliau tidak menyatakan perkara tidak betul kepada mana-mana pihak,” katanya.

Rafidah berkata, beliau bersedia bersemuka dengan Dr Mahathir jika diminta berbuat demikian selepas bekas Perdana Menteri itu pulang daripada bercuti di luar negara.

“Ada salah faham di sini yang mengatakan saya bersikap biadab dengan Tun sebaliknya jauh daripada itu, hubungan saya dengan Tun diibarat seperti saya tidak boleh bersikap seperti itu dengan beliau yang dianggap sebagai bapa.

“Jangan sesiapa sesekali beranggapan bahawa saya biadap dengan Tun kerana orang berkenaan sememangnya tidak memahami perasaan saya,” katanya.

Beliau turut menceritakan satu kisah ketika perjumpaan Kabinet yang mana Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana memakai tali leher yang dihadiahkan sempena hari lahirnya.

“Saya bertanya kepada Samy Vellu, apa yang beliau maksudkan dengan tie saya dan beliau menjelaskan tie itu dihadiahkan kepada Tun sempena hari lahirnya.

“Saya terperanjat kerana Samy Vellu memberi Tun hadiah dan Tun terus mengatakan ‘Rafidah anda adalah satu-satunya menteri yang tidak pernah memberi saya hadiah hari lahir’. Saya terkejut dan meminta maaf kepada Tun melalui surat.

“Saya katakan, saya memang tidak pernah beri Tun hadiah hari lahir tetapi hadiah saya ialah selalu mendoakan Tun terus sihat dan sejahtera,” katanya.

Ditanya sama ada perasaan beliau kini lega, Rafidah berkata: “Anda lihat al-Quran di depan saya dan saya sedar apa yang saya lakukan. Saya berharap media tidak memainkan perkara ini dengan sewenang-wenangnya kerana anda seperti menjirus minyak ke dalam api dan mencetuskan banyak salah faham.”