Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Persediaan kepulangan pekerja tanpa izin

Written By JOM JALAN on 3/08/04 | Selasa, Ogos 03, 2004

E-Mel Dari Jakarta Oleh Zulkefli Hamzah
PEKERJA asing tanpa izin Indonesia di Malaysia bukan sahaja
mendatangkan masalah kepada negara jiran itu tetapi juga pemerintah
republik ini yang sering dikecam kerana gagal mengurus sistem tenaga
kerja mereka.

Dua tahun lalu semasa Malaysia membuat operasi penangkapan pekerja
tanpa izin, Indonesia paling terasa bahangnya. Pemerintah dikecam
kerana gagal mengurus pemulangan ribuan rakyat mereka yang bekerja
secara haram di negara orang.

Ribuan pekerja tanpa izin terlantar di sempadan Indonesia-Malaysia.
Walaupun pemerintah menyediakan peruntukan tetapi ia didakwa tidak
mencukupi dan sebahagiannya `bocor' di tengah jalan. Tahun ini, sekali
lagi peristiwa buruk di Nunukan misalnya akan berulang semula jika
pemerintah Indonesia tidak bersungguh-sungguh untuk menangani
pemulangan kira-kira 700,000 rakyat mereka.

Dan bagi mengelak ia berulang, pemerintah kali ini kelihatan serius
melakukan persiapan agar pekerja tanpa izin berkenaan dapat pulang
dengan selesa dan tidak kembali lagi.

Langkah Malaysia untuk memulangkan pekerja tanpa izin itu termasuk
dari Indonesia dengan bantuan tenaga Ikatan Relawan Malaysia (Rela)
mendapat liputan meluas media di Indonesia.

Pemerintahan Presiden Megawati Sukarnoputri segera memberi reaksi
dengan menubuhkan pasukan khas untuk menangani pemulangan tenaga kerja
berkenaan termasuk mengelola dana yang diperuntukkan.

Rabu minggu lalu pada mesyuarat beberapa buah kementerian berkaitan,
mereka meminta Malaysia memulangkan pekerja tanpa izin Indonesia itu
secara berperingkat selepas 20 September iaitu tarikh pilihan raya
umum Presiden pusingan kedua.

Tiga pelabuhan iaitu Tanjung Priok, Tanjung Perak dan Tanjung Pinang
disediakan untuk pemulangan pekerja tanpa izin dengan bantuan empat
buah kapal laut Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Menurut Menteri Sosial, Bachtiar Chamsyah kos pemulangan yang
ditanggung oleh Indonesia untuk seorang pekerja ialah Rp302,000
(RM131) manakala Malaysia pula bersedia memberikan bantuan antara
RM120 dan RM140 seorang. Setakat ini respons daripada pemerintah
Indonesia terhadap rancangan Malaysia itu diterima baik kecuali
Menteri Transmigrasi dan Tenaga Kerja, Jacob Nuwawea dan beberapa
organisasi buruh yang bersikap curiga.

Mereka bimbang langkah Malaysia menggunakan tenaga sukarelawan Rela
dalam operasi berkenaan kerana dianggap bukan tergolong sebagai pihak
berkuasa dan boleh menyalah guna kuasa.

``Tindakan itu tidak menjamin pekerja yang dipulangkan dilindungi
tetapi berpotensi berlakunya pemerasan, pelecehan seksual dan
kontrak-kontrak baru dengan tekong yang memerlukan tenaga kerja itu,''
kata Ketua PenAgurus Pusat Perhimpunan Tenaga Kerja Indonesia Luar
Negeri (PTKILN), Sirra Prayunnya.

Mereka mencadangkan agar Malaysia menyelesaikan masalah pekerja asing
tanpa izin menggunakan prosedur undang-undang yang sesuai dan hanya
menggunakan tenaga pihak berkuasa yang sah.

``Ini merupakan pelecehan besar kepada Indonesia. Oleh itu perwakilan
Indonesia di Malaysia harus memprotesnya,'' tegas Sirra seperti
dipetik oleh akhbar Pembaruan.

Permintaan supaya tenaga kerja tanpa izin dilayani dengan `mesra'
bukanlah hal baru dari organisasi buruh migran di Indonesia. Jika ada
perkara yang tidak kena mereka sanggup turun ke jalan berdemonstrasi.

Soalnya, apakah peranan mereka dalam menghalang rakyat negara ini
untuk terus memasuki negara lain secara haram? Jika mereka boleh
menyuruh Malaysia berbuat apa yang mereka kehendaki tentulah mereka
juga mampu meminta rakyat negara ini menggunakan saluran yang betul
untuk memasuki negara lain.

Jacob pula seperti lazimnya menggunakan pendekatan menyalahkan pihak
lain terhadap masalah yang timbul. Malah beliau menyebutkan kos
sebesar RM65 juta untuk membiayai pemulangan tenaga kerja berkenaan.

``Ini kita minta Malaysia harus bertanggungjawab kerana kita tahu
pekerja tanpa izin ini tidak satu pihak, kalau pengusaha-pengusaha
Malaysia tidak mahu mengambil mereka bekerja yang tanpa izin tidak
mungkin mahu bekerja di sana,'' kata Jacob.

Jumlah kos yang disebut oleh Jacob itu bagaimanapun dinafikan oleh
Menteri Kesejahteraan Rakyat.

Jacob yang cuba mempertahankan kewibawaannya menyatakan bahawa
pihaknya telah membuat persiapan untuk menerima pemulangan pekerja
tanpa izin itu dengan syarat ia dilakukan secara
berperingkat-peringkat.

``Kita tidak perlu khuatir kerana kita sangat siap. Paling penting
Malaysia mengirim secara berperingkat jangan pulangkan sekian banyak.
Mengirim secara berperingkat di tempat-tempat yang telah kita
tentukan,'' jelas Jacob.

Beliau turut menolak Nunukan dijadikan pusat pemulangan kerana ia
terlalu dekat dengan sempadan Malaysia. Tempat yang dicadangkan oleh
Jacob ialah Parepare, Entikong, Dumai, Kuala Tungkal, Tanjung Pinang
dan Belawan.

Isu pekerja tanpa izin Indonesia nampaknya sukar untuk diselesaikan.
Dua tahun lalu ia menimbulkan kekecohan sehingga Malaysia turut
terkena tempiasnya dengan tuduhan bersikap kejam terhadap rakyat
Indonesia.

Setakat ini belum ada kesepakatan yang tetap antara kedua-dua buah
negara untuk menangani masalah pekerja tanpa izin Indonesia ini.
Mungkin sudah tiba masanya isu itu dibincangkan secara serius.

Memulangkan rakyat negara lain yang memasuki Malaysia tanpa izin
sebenarnya bukanlah isu besar tetapi apabila ia melibatkan jumlah yang
ramai, ia menjadi satu masalah rumit. - Utusan

1 ulasan:

JOM JALAN berkata...

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2004&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm