Manusia tidak terbahagi dua
Oleh Abdul Rahman Abdul Rahim
Terdapat kecenderungan di kalangan orang Islam untuk melihat umat manusia sebagai dua puak besar: Umat Islam dan umat bukan Islam.
Maka apabila mereka melihat dunia, maka diandaikan bahawa umat Islam itu adalah baik, dan umat bukan Islam itu jahat. Umat Islam beriman dan umat bukan Islam adalah kafir. Umat Islam akan masuk syurga dan orang bukan Islam masuk neraka.
Adakah pandangan seperti ini merupakan pengajaran Rasulullah s.a.w.?
Dalam tradisi Islam, apabila disebut umat Muhammad, ia tidak merujuk kepada orang Islam semata-mata. Umat Muhammad tidak dirujuk kepada pengikut Rasulullah s.a.w. saja.
Jika disebut umat Nabi Musa a.s., ia merujuk kepada semua manusia yang ada pada zaman baginda sehingga muncul rasul selanjutnya. Ini kerana risalah Nabi Musa adalah untuk mereka. Begitu juga apabila disebut umat Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Isa a.s., ia merujuk kepada manusia yang hidup pada zaman mereka dan sebelum kemunculan rasul berikutnya. Mereka tidak semestinya menjadi pengikut nabi-nabi itu.
Dalam tradisi Islam juga disebut bahawa umat Muhammad adalah paling banyak berbanding dengan umat-umat nabi terdahulu. Ini kerana Rasulullah s.a.w. adalah nabi terakhir. Maka dari sejak kemunculan baginda sebagai rasul sehingga hari kiamat, manusia yang ada merupakan umat Muhammad, tidak kira mereka menerima kerasulan baginda atau tidak.
Justeru, Rasulullah s.a.w. adalah nabi untuk semua manusia dan Islam adalah tamadun untuk semua. Islam tidak membahagikan manusia kepada umat Islam atau tidak. Keprihatinan dan kebajikan yang dicurahkan oleh orang Islam seharusnya tidak tertumpu pada orang Islam semata-mata.
Islam adalah tamadun inklusif dan bukannya eksklusif. Maka jika seseorang Islam mahu menghulurkan sedekah, ia tidak wajar menyalurkan hanya pada orang Islam tetapi diberikan kepada sesiapa yang memerlukan tanpa mengira anutan agama mereka.
Maka dalam keadaan begini, tidak wajar untuk dinyatakan bahawa umat Islam masuk syurga dan bukan umat Islam masuk neraka. Ini kerana hanya Allah s.w.t. yang menentukan natijah akhir hidup seseorang. Bukannya manusia.
Memang benar bahawa pada zaman Rasulullah s.a.w. berlaku peperangan antara pihak Islam dan kafir. Tetapi pertembungan itu bukan antara umat Islam dengan bukan Islam. Ini kerana di pihak Islam terdapat penganut agama lain tetapi menerima kepimpinan baginda. Sementara kafir itu merujuk kepada mereka yang menentang Rasulullah s.a.w.
Justeru, kaca mata Islam ketika melihat dunia tidak harus diwarnai dalam bentuk perbezaan lslam/bukan Islam. Rahmat Islam adalah untuk semua.
Bukan Islam tidak secara automatik musuh Islam. Musuh Islam ialah kezaliman, kepalsuan dan kejahatan.
e-mel: abdulrahman_abdulrahim@yahoo.com