Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Akhbar Iran anjur lukis kartun -- Mengenai Holocaust uji kebebasan bersuara Barat

Written By JOM JALAN on 8/02/06 | Rabu, Februari 08, 2006

Join a NEW INCOME program!

TEHERAN 7 Feb. - Sebuah akhbar terkemuka di Iran akan menganjurkan pertandingan kartun mengenai Holocaust untuk menguji sama ada Barat akan menggunakan prinsip kebebasan bersuara yang sama terhadap peristiwa pembunuhan Yahudi di tangan Nazi itu.

Akhbar-akhbar di Eropah telah mempertahankan hak mereka untuk menyiarkan kartun yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. itu atas nama kebebasan bersuara.

Hamshahri, antara lima akhbar terlaris di Iran, menjelaskan bahawa pertandingan itu sebagai reaksi terhadap tindakan akhbar Eropah menyiarkan semula kartun yang pada mulanya muncul dalam sebuah akhbar Denmark.

Tindakan mereka telah mencetuskan tunjuk perasaan, boikot produk Eropah dan serangan terhadap kedutaan Eropah di seluruh dunia Islam.

Menurut Hamshahri, pertandingan itu akan dilancarkan pada 13 Februari ini dan dianjurkan bersama-sama Dewan Karikatur, iaitu sebuah pusat pameran kartun di Teheran.

Hamshahri dan pusat kartun tersebut dimiliki oleh Dewan Bandar Raya Teheran yang dikuasai oleh sekutu Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Mahmoud tahun lepas mencetuskan bantahan keras Barat apabila beliau berkata, Israel patut dilenyapkan daripada peta dunia dan peristiwa Holocaust hanyalah satu mitos.

Hamshahri mempelawa kartunis asing menyertai pertandingan itu sambil menyatakan pihaknya ingin melihat sejauh mana Barat bersikap terbuka terhadap kartun tentang Holocaust.

``Adakah Barat memperluaskan kebebasan bersuara untuk menyuarakan jenayah yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel atau untuk mempersendakan peristiwa seperti Holocaust? Atau adakah kebebasan bersuaranya hanya untuk menghina tokoh-tokoh agama?'' tulis Hamshahri dengan merujuk kepada kartun menghina Nabi Muhammad itu.

Sementara itu, akhbar Denmark, Jyllands-Posten yang membangkitkan kemarahan penduduk Islam seluruh dunia kerana penyiaran karikatur menghina Nabi Muhammad, sekali lagi mencetuskan kontroversi hari ini apabila pihak pengurusan akhbar berkenaan enggan menyiarkan karikatur Nabi Isa.

Menurut akhbar tersebut, keputusan untuk tidak menyiarkan karikatur Nabi Isa dibuat tiga tahun lepas apabila mereka bimbang penyiaran itu boleh membangkitkan sensitiviti dan kemarahan penganut Kristian.

Beberapa siri karikatur Nabi Isa telah dihantar oleh seorang pelukis ilustrasi Denmark, Christoffer-Zieler kepada editor Jyllands-Posten edisi Ahad, Jens Kaiser pada April 2003 untuk tujuan penyiaran namun idea itu ditolak.

Ekoran pendedahan kontroversi itu, seorang jurucakap Jawatankuasa Memuliakan Nabi Muhammad di Eropah, Ahmed Akkari menyifatkan ia sebagai satu keputusan yang berat sebelah dan membayangkan sikap hipokrit media Barat.

``Bagaimana Jyllands-Posten boleh membezakan kedua-dua kes itu? Seharusnya, mereka (Jyllands-Posten) perlu memahami hakikat sebenar isu itu,'' katanya. - Agensi
Rabu, Februari 08, 2006 | 0 ulasan