Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Bisnes Omar Ali bertahan lebih setengah abad

Written By JOM JALAN on 3/06/06 | Sabtu, Jun 03, 2006

AzizahMEMULAKAN perniagaan tidak sesukar untuk mempertahankannya. Sesiapa sahaja boleh bergelar ahli perniagaan asalkan mempunyai modal dan produk yang hendak dijual. Namun, untuk mempertahankannya hingga menjadi warisan keluarga kepada anak cucu, adalah tugas berat yang perlu dilaksanakan.

Beberapa bulan lalu ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan di Kampung Baru yang kebetulan cucu kepada Allahyarham Omar Ali, membuka lembaran perkenalan dengan perniagaan warisan keluarga yang telah bertapak selama 71 tahun lamanya. Bermula ketika negara berada di ambang peperangan (Perang Dunia Kedua meletus pada 1942) dan menghadapi frasa berbeza selepas negara mencapai kemerdekaan, jenama Omar Ali masih mampu bertahan.

Kini, Omar Ali Holdings Sdn. Bhd. yang beribu pejabat di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru, Kuala Lumpur diuruskan oleh Azizah Omar, 42, yang bertindak sebagai Pengarah Urusan.

Beliau merupakan anak bongsu daripada 11 adik-beradik dan berkelulusan dalam bidang Ekonomi dari Northern Illinois University, Amerika Syarikat.

Akui beliau, kepercayaan yang diberikan adalah satu tugas berat yang harus dipikul bagi memastikan warisan ini dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

Ikuti wawancara bersama wanita muda yang low profile ini dengan wartawan Zunaidah Zainon dan jurugambar, Nazeri Abu Bakar, baru-baru ini.

Bolehkah anda terangkan serba ringkas mengenai latar belakang Omar Ali Holdings Sdn. Bhd.?

AZIZAH: Omar Ali Holdings Sdn. Bhd. diasaskan oleh ayah saya, Omar Ali sejak 1935. Pada mulanya, beliau membuka kedai di Bazar Melayu (sekarang terletaknya Wisma Yakin di Jalan Masjid India) bersama-sama dengan dua orang pekerja. Beliau memberi tumpuan kepada pakaian tradisional terutamanya baju Melayu.

Memandangkan perniagaan ini bermula pada 1940-an, secara tidak langsung ia turut menerima tempahan daripada baju-baju lain seperti sut. Malah arwah ayah saya pernah mendalami bidang jahitan dengan seorang guru dari Jepun. Selain di Wisma Yakin, Butik Omar Ali juga terdapat di Alamanda, Putrajaya yang dibuka pada Oktober 2004. Ia diuruskan oleh kakak saya, Normadiati Omar.

Selain daripada anda, siapakah adik-beradik anda yang turut terlibat dalam perniagaan ini?

Omar Ali Holdings Sdn. Bhd. adalah warisan daripada keluarga dan saya diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab ini sekembalinya dari Amerika Syarikat pada 1991. Kami mempunyai 11 adik-beradik kesemuanya dan tujuh daripadanya terlibat dalam Omar Ali Holdings Sdn. Bhd. manakala empat lagi, sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bagi. Adik-beradik lain yang terlibat ialah Bahtiar Afandi Omar sebagai Pengerusi Eksekutif, Shaharir Omar, (Pengarah Projek), Dahnar Omar, (Pengarah Pemasaran), Sukmawati Omar (Pengarah Kewangan dan Pentadbiran) dan Muhammad Sohaimi Omar (Projek Konsultan).

Apakah rahsia kejayaan Omar Ali Holdings Sdn. Bhd.?

Kami mampu bertahan kerana hubungan kekeluargaan yang erat dan tekad untuk memajukan perniagaan berdasarkan kepada pengalaman dan pengetahuan yang diraih dalam tempoh lebih 50 tahun ini. Selain itu, kami juga mendapat sokongan dan kepercayaan daripada pembekal termasuklah dari dalam dan luar negara yang banyak membantu kejayaan syarikat ini.

Kebanyakan pengedar datangnya dari Korea, Jepun, Indonesia, China dan Pakistan yang mempunyai agen di Malaysia dan Singapura. Mereka bukan sahaja membekalkan barang-barang jahitan seperti jarum dan benang tetapi mesin jahit hinggalah kepada tekstil dalam pelbagai warna dan tekstur.

Faktor lain juga datangnya dari agensi kerajaan dan swasta seperti bank, hotel dan kilang. Semua faktor ini menjadikan jenama Omar Ali bertahan hingga sekarang.

Sepanjang 71 tahun bertahan dalam dunia perniagaan dan merupakan warisan keluarga, bagaimana jenama Omar Ali meraih kesetiaan pelanggan?

Hingga kini masih ada pelanggan yang menempah pakaian daripada kami sejak dari muda hinggalah bergelar datuk termasuklah anak-anak dan cucu-cucunya juga merupakan pelanggan setia. Ini bermakna tiga generasi dari sebuah keluarga menggunakan jenama Omar Ali. Kami amat mengutamakan kualiti jahitan dan mengambil tahu setiap masalah yang dihadapi oleh pelanggan.

Sebagai seorang ahli perniagaan yang berpandangan jauh, ayah saya menghantar tiga anak lelakinya ke luar negara untuk mendalami bidang jahitan iaitu

Shaharir mempunyai kelulusan dari Tailor and Cutter Academy, London pada 1973 dan Paris Academy School of Fashion, London pada 1974. Beliau pernah memegang jawatan sebagai pensyarah Fesyen dan Seni Reka di Institut Kemahiran Mara.

Sementara itu, Bahtiar Afandi berkelulusan dari Tailor and Cutter Academy, London pada 1974 dan Muhammad Sohaimi pula dari Tailoring and Design Centre, London pada 1982.

Ilmu dan kemahiran yang mereka pelajari amat berguna untuk mengembangkan produk Omar Ali dengan rekaan terbaru dan mutu jahitan yang berkualiti. Misalnya, sewaktu mula-mula dulu, kita hanya menumpukan pada baju Melayu sahaja tetapi semakin berkembang kepada penerimaan tempahan untuk sut korporat dan pakaian seragam daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Apakah keistimewaan jenama Omar Ali?

Kami amat mementingkan mutu jahitan yang kemas dan berkualiti sama ada pada baju Melayu, sut korporat ataupun baju uniform. Apa yang penting, dalam setiap jahitan baju Melayu, kami mengutamakan sentuhan tradisi sejak turun-temurun. Hingga kini, kami mempunyai 30 tukang jahit yang mahir dan terlatih. Malah ada yang sudah berkhidmat di sini lebih daripada 30 tahun. Dari segi mutu jahitan, ia sentiasa dipantau oleh ketiga-tiga abang saya termasuklah rekaan baju-baju terbaru koleksi Omar Ali. Selain pakaian lelaki, kami turut menerima tempahan untuk pakaian wanita seperti kebaya dan kurung.

Bagaimana pula pandangan anda mengenai persaingan dalam perniagaan sebegini?

Persaingan tetap ada dalam apa jua cabang perniagaan. Alhamdulillah, hingga ke hari ini masih ada pelanggan yang setia menggunakan jenama Omar Ali walaupun sudah bertahun lamanya. Cuma, apabila kami memasuki frasa baru dalam perniagaan iaitu mengambil tempahan uniform untuk agensi kerajaan dan swasta, maka persaingannya menjadi sengit kerana bukan mudah untuk mendapatkan kontrak atau tender tersebut.

Apakah cabaran yang dihadapi oleh anda dalam menguruskan serta mempertahankan agar perniagaan warisan keluarga mengikuti edaran masa?

Menjadi ahli perniagaan, dapat atau tidak, kita perlu berhadapan dengan cabaran yang kadang-kadang datang tanpa diduga. Kita jangan cepat berputus asa dan cuba sedaya upaya kerana selagi ada kemahuan, di situ ada jalan.

Di antara sebab utama saya boleh bertahan hingga ke hari ini adalah berkat dorongan dan sokongan daripada keluarga. Malah kepercayaan mereka dan kekuatan ikatan kekeluargaan Omar Ali, sentiasa menjadikan perniagaan ini bagai sebuah keluarga yang hidup bersama di bawah satu bumbung.

Kenapakah perlu orang Melayu terlibat dalam perniagaan dan kemudiannya mempertahankannya untuk generasi akan datang?

Perniagaan yang diusahakan bersama-sama keluarga dapat membentuk persefahaman dan secara tidak langsung menyatukan semua ahli keluarga. Apabila saya diberi kepercayaan untuk menguruskan perniagaan ini, saya telah berazam untuk bekerja dengan amanah dan jujur kerana tujuan utama kita ialah mengukuhkan kedudukan syarikat dan seterusnya boleh diwarisi ke anak cucu. Orang tua kita sudah bersusah payah membina empayar perniagaan ini dengan penat lelah dan keringatnya, jadi mengapa kita hendak hancurkan begitu sahaja? Ayah saya seorang yang tekun bekerja beliau melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Oleh itu, adalah penting, kita terlibat dalam perniagaan, sekurang-kurangnya pelapis akan datang akan mengusahakannya dengan lebih baik. [UM]
Sabtu, Jun 03, 2006 | 0 ulasan