Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

‘Aku letih, aku nak rehat panjang’

Written By Syafrein Effendiuz on 26/07/06 | Rabu, Julai 26, 2006

Oleh Wan Mohd Hafiz Wan Hamzah

KUALA LUMPUR 25 Julai
– ‘’Letih sangat rasanya, lepas ni aku nak rehat panjang,’’ begitulah luahan terakhir Allahyarham Hani Mohsin Hanafi kepada rakan karibnya, Abdul Halem Mat Som, 40, ketika sedang menikmati makan tengah hari di sebuah restoran kepunyaan selebriti Linda Onn, di Ampang Point, Ampang, semalam.

Abdul Halem, yang bertugas sebagai Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berkata, sepanjang pertemuan mereka tengah hari itu, Allahyarham berulang kali mengadu keletihan akibat sibuk dengan penggambaran drama.

“Mungkin inilah yang Allahyarham maksudkan dengan ‘rehat yang panjang’. Ketika itu, saya tidaklah ambil berat luahan Allahyarham sebab dia memang bercadang mahu bercuti dengan anaknya, Hani Karmila ke Langkawi,’’ katanya ketika ditemui di rumah Allahyarham Hani Mohsin di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, di sini hari ini.

Menurut Abdul Halem, dia pada mulanya tidak percaya apabila mendapat tahu kematian Allahyarham hari ini kerana baru semalam mereka bergurau serta bergelak ketawa.

Katanya, ketika bertemu Allahyarham semalam, beliau perasan riak wajah Allahyarham agak berbeza berbanding sebelum ini.

“Semalam, saya lihat wajah Allahyarham agak berseri-seri. Saya katakan padanya, mengapa wajahnya nampak berseri-seri, tetapi beliau hanya tersenyum,’’ ujarnya. [UM]
Rabu, Julai 26, 2006 | 0 ulasan

Anak lihat ayah rebah

Tiara bersama Effendy Norwawi dan dua anaknya, Hani Karmila dan Eridani memberi perhormatan terakhir kepada Allahyarham Hani Mohsin di Hospital Serdang, semalam.

KUALA LUMPUR 25 Julai – “Ayah jatuh” demikian kata Hani Karmila yang menghubungi ibunya Datin Seri Tiara Jacquelina tanpa mengetahui bahawa bapanya, Hani Mohsin sudah meninggal dunia.

Menurut Hani Karmila, 9, dia menghubungi ibunya menggunakan telefon bimbit bapanya, Hani Mohsin yang rebah di kaunter pendaftaran AirAsia, Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang hari ini.

Ketika itu, Allahyarham Hani Mohsin Hanafi, 41, dan Hani Karmila baru selesai mendaftar masuk untuk penerbangan ke Alor Star kira-kira pukul 9.50 pagi.

Menurut Hani Karmila, dia terkejut dengan kejadian itu tambahan pula apabila pengawal keselamatan Malaysia Airport Berhad (MAB) dan petugas AirAsia bertungkus-lumus memberi bantuan pernafasan kepada bapanya.

Katanya, bapanya kemudian dikejarkan ke klinik berdekatan Akademi AirAsia, tetapi disahkan sudah meninggal dunia.

Menceritakan detik-detik akhir kejadian itu, Hani Karmila berkata, dia dan bapanya tiba lewat di LCCT dan berada dalam tergesa-gesa menuju ke kaunter pendaftaran.

“Cepat. Kita sudah terlambat,” merupakan kata-kata terakhir yang diucapkan oleh Hani Mohsin kepada Hani Karmila.

Menurut Hani Karmila, dia dan bapanya dalam perjalanan untuk bercuti ke Pulau Langkawi dan Pulau Pinang selama seminggu dan akan pulang pada 1 Ogos ini.

Hani Karmila merupakan anak tunggal Hani Mohsin bersama Tiara Jacquelina hasil perkahwinan mereka pada 11 September 1993. Bagaimanapun pasangan itu bercerai pada 16 Februari 1998.

Tiara Jacquelina kini merupakan isteri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi.

Sementara itu, menurut Tiara Jacquelina, dia menerima panggilan telefon daripada Hani Mohsin kelmarin yang memaklumkan kegembiraannya dapat bercuti panjang bersama anak mereka itu.

“Arwah betul-betul gembira kerana dapat mengatur percutian bersama Mila (Hani Karmila) setelah sekian lama sibuk bekerja,” jelas Tiara.

Katanya, pemergian Hani Mohsin merupakan satu kehilangan kepada industri hiburan tanah air kerana beliau adalah seorang pelakon yang hebat selain amat berdedikasi dengan apa sahaja kerja dilakukannya. [UM]
Rabu, Julai 26, 2006 | 0 ulasan

Actor Hani Mohsin dies

Written By Syafrein Effendiuz on 25/07/06 | Selasa, Julai 25, 2006

KUALA LUMPUR: Actor Hani Mohsin Hanafi (pic), 43, collapsed and died at the low-cost carrier terminal in Sepang at 9.30am while waiting to board a flight to Alor Setar on Tuesday.

Mohsin was traveling with his nine-year-old daughter Hani Karmila -- from his previous marriage to Datin Seri Tiara Jacquelina -- when he complained of chest pains before collapsing.

Hani Karmila immediately called her mother, who rushed to the airport with husband Datuk Seri Effendi Norwawi.

Mohsin's remains have been brought to hospital for an autopsy.

Mohsin was the host of popular TV game show Roda Impian before his death.

[The Star]
Selasa, Julai 25, 2006 | 0 ulasan

Adik sultan mati ditikam -- Disyaki dilakukan anak lelaki yang kemudian meninggal dunia

Almarhumah Tengku Puteri Kamariah Sultan Abu Bakar
Oleh ARSHAD KHAN dan ALI MAHMOOD


KUANTAN 24 Julai – Adinda Sultan Pahang, Tengku Puteri Kamariah Sultan Abu Bakar, 65, ditemui mati berlumuran darah dengan kesan tikaman dan tetakan senjata tajam disyaki dilakukan oleh anak lelakinya yang mengamuk di rumah mereka di Villa Ismaputri, Lorong Kubang Buaya 54, di sini hari ini.

Tengku Puteri Kamariah dipercayai ditikam beberapa kali oleh anaknya menggunakan pisau Rambo dan pemutar skru dalam kejadian pada pukul 1.20 tengah hari.

Pemuda berusia 21 tahun itu yang turut cedera parah dalam kejadian tersebut dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan meninggal dunia pukul 7.30 malam ketika dirawat.

Setakat ini punca kematian anak mangsa bagaimanapun belum dapat disahkan dan bedah siasat akan dilakukan esok.

Turut cedera dalam kejadian itu ialah suami mangsa, Datuk Tunku Ismail Tunku Sulaiman, 68, yang luka parah di bahagian perut dan hadapan badan sehingga terpaksa menjalani pembedahan di HTAA.

SULTAN Ahmad Shah yang ditemani anakandanya, Tengku Abdullah menatap jenazah adindanya, Tengku Puteri Kamariah Sultan Abu Bakar yang meninggal dunia selepas disyaki ditikam oleh anak lelakinya dalam kejadian di rumah mangsa di Taman Kubang Buaya, Kuantan, Pahang semalam

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Razak Bukhari ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu, Tengku Puteri Kamariah ditemui terbaring di bahagian dapur rumah oleh jirannya dan dia disahkan mati di tempat kejadian.

‘‘Polis masih menyiasat motif kejadian dan kita menemui dua senjata dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut iaitu pemutar skru dan sebilah pisau Rambo di rumah mangsa,’’ katanya.

Beberapa saksi yang ditemui di tempat kejadian berkata, mangsa yang disifatkan oleh jirannya sebagai wanita yang peramah dan baik hati telah ditetak dengan pisau Rambo di bahagian belakang badan dan ditikam bertubi-tubi dengan pemutar skru.

Selain mangsa dan suaminya serta suspek, turut berada di tempat kejadian ialah orang gaji mereka, warganegara Indonesia yang hanya dikenali sebagai Elis.

Dalam pada itu, salah seorang saksi yang juga saudara serta jiran mangsa, Tengku Ahmad Faizal Tengku Abdul Jamil, 40, mendakwa, semasa kejadian, suspek dilihat terjun dari beranda tingkat atas rumah berkenaan dan meluru ke rumah jiran.

‘‘Suspek merayau-rayau di hadapan rumah dan meracau-racau mengatakan dia sedang ketakutan sebelum masuk kembali ke rumahnya,’’ ujar beliau.

Tengku Ahmad berkata, apabila suspek masuk semula ke rumah, tidak berapa lama selepas itu beliau mendengar jeritan meminta tolong dari mangsa dan suaminya.

‘‘Saya bergegas ke rumah Tengku Puteri dan mendapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah di bahagian dapur, saya meletakkan kepalanya di pangkuan saya dan dia sempat berpesan ‘belajarlah agama dan kalau nak jual kereta itu, juallah,” katanya sambil memberitahu beliau tidak faham maksud pesanan Allahyarham itu.

Menurut Tengku Ahmad, suami mangsa pula ditemui dalam keadaan ‘terduduk’ di atas sebuah kerusi di luar rumah dengan seluruh badannya berlumuran darah, manakala suspek kelihatan sedang dalam keadaan keliru.

Katanya, pada masa itu, seorang lagi saksi kejadian yang sedang berkerja sebagai tukang kebun di rumah jiran mangsa datang untuk memberi bantuan.

‘‘Kami berdua selepas itu menahan suspek dan mengikatnya sebelum polis tiba,” katanya.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Tengku Abdul I’lal Tengku Sulaiman ketika ditemui pula memberitahu, suspek adalah anak ketujuh dari lapan beradik dan mempunyai seorang saudara kembar.

‘‘Abang saya ada menghubungi kami pukul 10.50 pagi ini meminta mencarikan seorang bomoh bagi merawat anaknya,” kata beliau.

Tengku Abdul l’lal juga tidak menolak kemungkinan suspek berada di bawah pengaruh dadah semasa kejadian.

Sementara itu, Sultan Ahmad Shah yang berada di Cameron Highlands petang ini, tiba di kediaman adindanya di Villa Ismaputri, sebaik sahaja jenazah dibawa pulang dari HTAA kira-kira pukul 5.20 petang, manakala seorang lagi adinda mangsa, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, tiba pukul 6.30 petang.

Baginda yang berada dalam keadaan terkejut dan sugul kelihatan mengeluarkan sapu tangan dan mengesat air mata ketika melihat kawasan kejadian.

Turut melawat tempat kejadian ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Makam Diraja Pekan, esok [UM]
Selasa, Julai 25, 2006 | 0 ulasan

Rasa kosong selepas kehilangan bapa - Mawi

Written By Syafrein Effendiuz on 3/07/06 | Isnin, Julai 03, 2006

MAWI menyiram air ke atas pusara bapanya, Allahyarham Ani Ahmad di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, Kulai, semalam.

KULAI 2 Julai - Juara Akademi Fantasi 3, Asmawi Ani merasa dirinya kosong berikutan kembalinya ke rahmatullah bapa beliau, Ani Ahmad di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur semalam.

Ani, 66, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi IJN pada pukul 9.55 malam tadi selepas bertarung dengan komplikasi jantung selama dua bulan.

‘‘Saya merupakan antara anak yang paling rapat dengan Allahyarham. Terdapat perasaan kosong, kehilangan dalam diri saya kerana saya selalu bergurau dengan beliau,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Felda Taib Andak di sini hari ini, sebelum majlis pengkebumian jenazah bapanya.

Kira-kira 2,000 pengunjung turut mengiring jenazah Ani yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak pada kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Ujian

Mawi berkata, walaupun sedih dengan kematian bapanya tetapi beliau redha dengan ketentuan Ilahi bahawa setiap yang hidup akan menemui ajal dan akan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Menurutnya, apa yang berlaku adalah satu ujian terhadapnya dan keluarga.

‘‘Ini merupakan suatu ujian, kita perlu banyak bersabar kerana apa yang telah terjadi itu telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Apa yang boleh saya buat adalah meneruskan kehidupan,” katanya.

Artis itu berkata, beliau akan berehat daripada menghadiri atur cara nyanyiannya antara satu dan dua minggu untuk menenangkan fikiran serta bersama-sama keluarga di rumahnya di Felda Taib Andak.

Bapa penyanyi terkenal yang kini dilanda kontroversi berikutan keputusan untuk memutuskan pertunangannya, mula dimasukkan ke IJN sejak dua bulan lepas dan menjalani pembedahan jantung tidak lama selepas itu.

Mengenai kontroversi yang menyelubungi beliau dan tunangnya Nor Diana Mohd Naim, Mawi berkata beliau tidak mahu mengulas lanjut dan menyerahkan kepada keluarga untuk menentukannya.

Mawi tidak berada di sisi bapanya ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya malam tadi kerana menghadiri acara perasmian Bulan Citrarasa anjuran Kementerian Pelancongan di Danga Bay, Johor Bahru.

Beliau bergegas ke IJN selepas diberitahu tentang keadaan bapanya.

Bernama/UM
Isnin, Julai 03, 2006 | 0 ulasan

Bapa Mawi selamat dikebumikan

JOHOR BAHRU 2 Julai - Jenazah bapa penyanyi popular Mawi, Allahyarham Ani Ahmad, 66, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak dengan dihadiri oleh kira-kira 200 penduduk, jiran sekampung dan saudara-mara penyanyi tersebut di Kulai, dekat sini hari ini.

Jenazah tiba di rumah keluarga angkat Mawi bersebelahan rumah asal keluarganya yang kini dalam proses pembinaan, kira-kira pukul 4 pagi ini.

Kira-kira pukul 7 pagi, penduduk kampung, sanak saudara serta segelintir peminat Mawi mula menziarahi jenazah Allahyarham Ani atau nama gelarannya Pak Atan untuk memberikan penghormatan terakhir.

Mawi yang kelihatan tenang dengan pemergian bapanya itu, menyambut ketibaan tetamu yang datang untuk menziarahi Allahyarham Ani.

Allahyarham yang meninggal dunia kira-kira pukul 9.55 malam tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, akibat komplikasi jantung, dibawa keluar kira-kira pukul 12 tengah malam menuju ke rumah keluarga Mawi di Felda Taib Andak, di sini.

Mawi atau Hasmawi Ani, 23, yang berada di Johor Bahru selepas membuat persembahan di Danga Bay sempena pelancaran Bulan Citarasa Malaysia menerima panggilan mengenai kematian itu kira-kira pukul 10.15 malam semalam dan bergegas pulang ke rumahnya.

Pada pukul 9.40 pagi ini kenderaan jenazah tiba di perkarangan rumah tersebut untuk membawa jenazah ke Masjid Jamek Nurussa‘adah untuk disembahyangkan.

Mawi yang setia berada di sisi bapanya itu turut mengiringi jenazah sehingga ke dalam kenderaan tersebut sambil diikuti oleh beberapa saudara serta jiran kampung.

Selepas disembahyangkan kira-kira pukul 10.20 pagi, jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak di sini untuk dikebumikan.

Allahyarham selamat disemadikan pada pukul 10.35 pagi dan bacaan talkin disampaikan oleh imam dua masjid jamek berkenaan, Mohamed Hanafi Mohd.

Selepas pengkebumian itu, bapa bekas tunang Mawi, Nur Diana iaitu Md. Naim Samijan turut menziarah pusara bapa Mawi bersama rakan-rakannya.

Pegawai Eksekutif Maestro Talent Management Sdn. Bhd., Freddie Fernandez, Penyampai Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Melaka, Isma Halil Hamzah serta kenalan rapat Mawi dan keluarganya turut menziarahi keluarga Mawi.

Mawi ketika ditemui berkata, beliau redha dengan pemergian bapanya setelah menjalani rawatan penyakit jantung di IJN kira-kira dua bulan.

Mengenai langkah seterusnya selepas kematian bapanya, Mawi berkata, buat sementara waktu beliau terpaksa menghentikan aktivitinya dan akan berada di kampung kira-kira seminggu untuk menemani ibu dan ahli keluarganya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana menziarahi jenazah bapanya dan membantu urusan pengkebumian. [Utusan]
Isnin, Julai 03, 2006 | 0 ulasan