Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Rayuan Lina Joy ditolak

Written By JOM JALAN on 31/05/07 | Khamis, Mei 31, 2007

Oleh Munira Yusoff dan Azrina Ahzan
Kuasa mutlak tangani isu perundangan Islam hak Mahkamah Syariah

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam menolak rayuan Azlina Jailani atau Lina Joy untuk menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya, sekali gus mengakhiri isu pertindihan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah dalam hal berkaitan Islam.

Dalam keputusan majoriti 2-1, Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim (gambar), dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohd Sherif, menolak rayuan itu, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Richard Malanjum, membenarkan permohonan.

Ahmad Fairuz ketika membacakan penghakiman setebal 42 halaman berkata, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mutlak dalam menangani sebarang isu mengenai perundangan Islam.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), katanya, berhak untuk memerintahkan Azlina atau nama Kristiannya, Lina Joy, 42, mendapatkan suatu perakuan murtad dari Mahkamah Syariah sebelum ia boleh menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya.

“Pada peringkat ini, wajar bagi saya untuk menyatakan bahawa apa yang JPN mahu ialah suatu perakuan daripada seseorang yang mempunyai kuasa untuk membuatnya (Mahkamah Syariah) dan jika JPN bertindak mengikut perakuan itu, maka JPN bebas daripada sebarang kesilapan atau disalahkan oleh awam dalam perkara yang begitu mustahak dan penting ini.

“Oleh yang demikian, adalah munasabah bagi JPN mengenakan syarat itu kerana perkara murtad ini adalah suatu persoalan berkaitan dengan undang-undang Islam,” katanya.

Keputusan itu mengakhiri usaha sembilan tahun Lina, wanita Melayu yang mengaku murtad sejak 1998, untuk mendapatkan perintah supaya JPN menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya. Lina memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi apabila permohonannya untuk menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya ditolak oleh JPN pada 1999.

Mahkamah Tinggi pada 23 April 2001 menolak permohonannya dan memutuskan bidang kuasa itu terletak pada Mahkamah Syariah mengikut peruntukan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan. Lina membuat rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ia turut ditolak pada 19 September 2006.

Lina kemudian merayu kepada Mahkamah Persekutuan berdasarkan isu sama ada Ketua Pengarah JPN boleh meminta dokumen daripada Mahkamah Syariah bagi membuktikannya murtad; serta sama ada JPN mentafsirkan kuasanya dengan betul mengikut Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPN) apabila mengarahkan dokumen berkenaan dikemukakan.

Dia menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ketua Pengarah JPN dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Ahmad Fairuz mula membacakan penghakimannya pada jam 10.40 pagi dan mahkamah selesai mendengar penghakiman Hakim Malanjum dan Hakim Alauddin pada 12 tengah hari. Mahkamah penuh sesak dengan peguam, wartawan dan orang awam sejak 8.30 pagi selepas pintu mahkamah dibuka.

Ketua Hakim Negara berkata, tindakan JPN dan Ketua Pengarahnya meminta dokumen sahih bagi membuktikan Lina seorang Kristian, sebagai syarat meluluskan permohonannya untuk menggugurkan perkataan ‘Islam’ itu adalah munasabah.

“Syarat itu tidak melampau, malah munasabah kerana perkara murtad berkait dengan Islam dan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa menentukan isu perundangan syariah. Jika seseorang menganut Islam, sudah tentu dia akan mengikuti undang-undang Islam yang menetapkan cara masuk dan keluar Islam.

“Justeru, saya tidak nampak bagaimana tindakan itu boleh dikatakan bertentangan dengan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang dengan sendirinya memperuntukkan keperluan mematuhi kehendak agama (termasuk murtad).

“Menganuti dan mengamalkan agama Islam sudah tentu bererti mengamalkan bukan saja aspek teologi agama itu, tetapi juga undang-undangnya,” katanya.

Beliau menegaskan, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan beragama, tidak boleh ditafsirkan secara terlalu meluas sehingga membatalkan semua undang-undang berhubung amalan seorang Islam.

“Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berlainan daripada kedudukan agama lain, kerana hanya Islam disebut sebagai agama Persekutuan dalam Perkara 3(1),” katanya.

Ahmad Fairuz berkata, Perlembagaan juga memberi kuasa kepada badan perundangan negeri untuk mengkanunkan hukum syarak dalam pelbagai enakmen dan ia bererti enakmen berkenaan sah serta tidak bertentangan dengan Perlembagaan.

Bagaimanapun, Malanjum yang memberi penghakiman menentang, menyifatkan tindakan JPN sebagai ultra vires (bertindak di luar had kuasa) kerana peruntukan Peraturan Pendaftaran Negara tidak mewajibkan sebarang perisytiharan atau sijil seperti diminta daripada Lina.

“JPN tidak mempunyai kuasa untuk membuat penambahan syarat dalam permohonan seperti yang dikemukakan perayu, atau untuk menentukan sama ada perayu benar-benar murtad atau tidak.

“Perkara itu hanya boleh ditentukan badan keagamaan yang relevan. Berikutan itu, saya mendapati JPN mengambil kira perkara yang tidak relevan ketika menolak permohonan perayu,” katanya.

Peguam Lina, Datuk Cyrus Das, berkata pihaknya mempertimbangkan sama ada memohon semakan semula keputusan itu, di hadapan panel Mahkamah Persekutuan lain.

Peguam, Sulaiman Abdullah mewakili MAIWP, manakala Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi mewakili Kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah JPN.

Turut hadir, peguam pemerhati pelbagai organisasi termasuk Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia, Majlis Peguam dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO). [Berita Harian, 31 Mei, 2007]

Profit Lance?
Read latest Profit Lance review
and Profit Lance Customer Ratings
http://www.productlist.ws

Khamis, Mei 31, 2007 | 0 ulasan