Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Gusi berkuman serang jantung

Written By SEUZ on 24/06/09 | Rabu, Jun 24, 2009


Bakteria di dalam mulut menyumbang kepada penyakit jantung dan kencing manis.

Tahukah anda, penyakit gusi yang menjadi penyebab utama orang dewasa kehilangan gigi sebenarnya berkait rapat dengan penyakit jantung dan kencing manis yang merupakan antara pembunuh utama di dunia.

Menurut Pakar Periodontal dan Bedah Gigi, Dr. Yong Hui Ping, kira-kira 90 peratus rakyat Malaysia berdepan dengan masalah gusi dengan lebih 30 peratus berada di tahap serius.

“Penyakit gusi bermula dengan pengumpulan plak bakteria yang sentiasa terbentuk di dalam mulut.

“Ia akan menyebabkan gusi mengalami radang lalu bertukar merah dan teksturnya lembik. Gusi terasa pedih kerana membengkak dan mudah berdarah semasa menggosok gigi, makan mahupun ketika menelan air liur.

“Jika keadaan ini berterusan tanpa rawatan, bakteria di dalam mulut akan memakan sisa makanan kemudian merembeskan toksik yang akan menyebabkan gusi lekang daripada gigi, seterusnya membentuk lekuk antara gigi dan gusi,” katanya.

Tambah Hui Ping, gingivitis yang dibiarkan untuk satu tempoh yang lama akan mengundang penyakit gusi yang lebih serius iaitu periodontitis.

“Ramai menganggap warga emas atau orang dewasa sahaja yang mendapat penyakit ini. Tanggapan itu salah sama sekali kerana plak dan bakteria yang dibiarkan membiak dalam mulut selama bertahun-tahun mampu menyerang gusi tanpa mengira faktor usia. Ramai juga remaja yang menghidap periodontitis,” katanya.

Bakteria ikut saluran darah

Pada tahap serius, jangkitan kuman di bahagian gusi boleh memusnahkan ligamen dan merosakkan tisu serta tulang penyokong gigi. Malah, gusi boleh bercerai daripada gigi dan paras tulang gigi merosot.

“Periodontitis yang teruk menjadikan gigi kelihatan lebih panjang dan kedudukannya berubah. Ia menimbulkan rasa tidak serasi apabila pesakit menggigit makanan.

“Gusi menjadi lebih sensitif serta sakit ketika mengunyah. Nafas pesakit pula berbau busuk dan sukar dihilangkan.


“Jika pesakit mengalami simptom tersebut tetapi tidak mendapatkan rawatan pakar, nanah mudah terbentuk dan kehilangan tulang gigi semakin kerap terjadi. Akhirnya, gigi kekal mula longgar dan mudah tertanggal,” jelas Hui Ping.

Kurang bersenam, pengambilan makanan tidak seimbang, merokok, tekanan darah tinggi dan kencing manis sering menjadi punca penyakit jantung.

Namun, beberapa kajian mendapati faktor tersebut belum dapat dikaitkan sepenuhnya dengan pembentukan arteroskelorosis iaitu pengumpulan plak lemak ke dalam salur darah yang menyebabkan serangan jantung.

Penemuan ini mendorong ramai penyelidik lebih memberi tumpuan kepada kaitan antara penyakit periodontitis dengan penyakit koronari jantung.

Berdasarkan kajian oleh pasukan penyelidik yang diketuai Dr. Arne Schaefer dari Universiti Kiel, Jerman, didapati wujud persamaan antara kuman yang ditemui pada rongga mulut dengan kuman yang ada di plak-plak koronari jantung.

“Kita temui gen yang menghubungkan dua keadaan itu pada kromosom 9. Hubungan gen tersebut dengan serangan jantung sebelumnya memang telah diketahui. Namun, dalam kajian kali ini, gen tersebut ditemui pada pesakit yang mengalami periodontitis tahap awal.

“Ini bermakna kuman di dalam gusi bermasalah akan memasuki saluran darah. Ditambah dengan faktor lain, plak lemak akan terbentuk dan menyekat saluran tersebut,” kata Schaefer.

Penghidap periodontis lebih berisiko mendapat serangan jantung kerana bakteria daripada mulut boleh menjangkiti kawasan lain dalam badan dan menyebabkan tindak balas keradangan.

“Sistem imun badan akan mengesan kehadiran bakteria ini dan bertindak balas untuk menghapuskannya.

“Tindak balas ini menyebabkan pelbagai kesan keradangan, terutama pada sistem kardiovaskular dengan menebalkan dinding saluran darah.

“Keadaan ini kerap berlaku pada pesakit jantung. Individu yang menghadapi masalah periodontitis mempunyai risiko 24 peratus lebih tinggi mendapat penyakit jantung koronari,” ujar Hui Ping.

Kajian yang dijalankan mendapati bakteria serta kimia yang dihasilkannya boleh memasuki salur darah secara langsung dan akhirnya sampai ke bahagian lain yang jauh ke dalam seperti sel endotelium pada salur darah,” tambah beliau.



Sumber: Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Rabu, Jun 24, 2009 | 0 ulasan

Panoram bumi dari bulan



PANORAMA yang menunjukkan Bumi dirakamkan oleh kapal angkasa penyiasat Kaguya milik Jepun.TOKYO - Agensi Angkasa Jepun menyiarkan gambar terbaru permukaan bulan yang dirakamkan oleh kapal angkasa penyiasat kecil iaitu Kaguya beberapa minit sebelum ia terhempas, lapor sebuah akhbar semalam.

Gambar-gambar itu sempat dirakamkan menerusi kamera berdefinisi tinggi sebelum kapal penyiasat itu terhempas pada 11 Jun lalu.

Imej permukaan bulan yang tandus dan beralun-alun itu semakin jelas sebelum Kaguya terhempas. Bayang-bayang panjang turut kelihatan pada permukaan bulan kerana kapal tersebut mendarat ketika matahari terbenam.

Rakaman akhir pendaratan itu gelap kerana kapal itu memasuki kawasan bayang yang tidak mempunyai cahaya sekali gus tiada impak mendarat dapat dirakam.

Proses mendarat yang dikawal itu menyempurnakan misi pemerhatian bulan Kaguya yang dilancarkan pada 14 September 2007 dengan kos £353 juta (RM2 bilion).

Kaguya melakukan kerja-kerja pemetaan, meninjau permukaan bulan dan mengkaji medan magnetik dalam tempoh dua tahun. - Agensi



Sumber: Kosmo untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Rabu, Jun 24, 2009 | 0 ulasan

Anak Sultan Brunei adakab parti mewah

Written By SEUZ on 22/06/09 | Isnin, Jun 22, 2009


GAMBAR menunjukkan Putera Azim (kiri) bersama adiknya, Puteri Fadzillah, Puteri Azemah dan Putera Mateen.

LONDON - Putera Azim iaitu anak pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menganjurkan parti mewah yang dihadiri bintang-bintang Hollywood dan selebriti, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut penjual bunga tempatan, bil untuk pelbagai jenis bunga yang dihantar ke parti itu adalah sebanyak £70,000 (RM410,766).

Bagaimanapun, beberapa selebriti kelas A menghadiri parti itu yang diadakan di Hotel Stapleford Park House di Leicestershire yang dimiliki oleh ibu Putera Azim, Mariam Aziz iaitu bekas isteri Sultan Hassanal Bolkiah.

Antara selebriti yang dipercayai hadir dalam parti itu ialah Sophia Loren, Faye Dunaway, Ursula Andress dan Joan Collins.

Tetamu lain termasuk Jerry Hall, Mariah Carey dan Janet Jackson.

Parti itu yang diadakan baru-baru ini dihadiri oleh 230 tetamu.

Penyanyi yang melakukan persembahan ialah Chaka Khan dan kumpulan muzik jaz iaitu Incognito.

Menurut pihak pengurusan kedai bunga Vass, sebanyak 12 kakitangan diperlukan untuk menyediakan dan menghantar sejumlah bunga dengan kos £70,000.

Namun, jurucakap Putera Azim iaitu Jeff Allen menafikan harga bunga itu mencecah sehingga £70,000 dan menganggapnya sebagai tidak tepat.

Jurucakap itu turut menafikan bahawa sebahagian selebriti dibayar untuk menghadiri parti tersebut.

Bagaimanapun, Allen mengesahkan beberapa tetamu diberikan tiket penerbangan percuma tetapi tidak kelas pertama.

Turut hadir dalam parti itu ialah adik Putera Azim iaitu Putera Mateen, Puteri Azemah dan Puteri Fadzillah.

Jurucakap itu menganggap majlis itu merupakan parti keluarga dan menafikan ia sebagai satu pembaziran.

Allen enggan menyatakan kos parti itu tetapi berkata: "Ia merupakan parti yang hebat dan setiap orang berasa gembira." - Agensi



Sumber: Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Isnin, Jun 22, 2009 | 0 ulasan