Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Muhammad Said Yan - Ulama yang berdikari

Written By SEUZ on 21/09/04 | Selasa, September 21, 2004

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


NAMA lengkapnya, Haji Muhammad Said bin Penghulu Muhammad Thaiyib Yan, Kedah. Lahir di Kampung Anak Bukit, Alor Setar, Kedah pada 1294 Hijrah/1877 Masihi, meninggal di Titi Bakong, Yan, Kedah, 1382 Hijrah/ 1962 Masihi.

PENDIDIKAN

Muhammad Said mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Mat Tamin, Kampung Anak Bukit. Ada juga diriwayatkan bahawa beliau sempat belajar kepada Syeikh Jarum. Diriwayatkan juga bahawa selain mendapat pendidikan pondok, beliau juga pernah memasuki Sekolah Agama al-Hamidiah di Limbong Kapal, Alor Setar, Kedah. Walau bagaimanapun mengenai Muhammad Said pernah memasuki sekolah tersebut penulis sangat meraguinya, kerana sekolah tersebut didirikan pada tahun 1916 Masihi oleh Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq. Sedangkan selisih umur antara Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq dengan Muhammad Said hanya lebih kurang tiga tahun. Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq lahir pada 1291 Hijrah/1874 Masihi, sedangkan Muhammad Said lahir 1294 Hijrah/1877 Masihi.

* Sekiranya benar Muhammad Said pernah memasuki Sekolah Agama al-Hamidiah di Limbong Kapal, bererti pada tahun 1916 Masihi itu beliau berusia sekitar 20tahun. Pada usia seperti demikian itu, memasuki sekolah rendah jarang berlaku. Lain halnya dengan sistem pendidikan pondok yang tidak terikat dengan umur seseorang. Kemungkinan Muhammad Said memang benar murid Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq, tetapi adalah menurut sistem pondok bukan sistem persekolahan. Dalam karyanya Anak Kunci, Muhammad Said menyebut bahawa beliau murid Syeikh Sulaiman. Tidak jelas Syeikh Sulaiman mana yang dimaksudkan kerana penulisan nama tidak lengkap.

Penulis lebih meyakini bahawa Muhammad Said setelah melalui jalur pendidikan pondok di Kedah, kemungkinan juga di Patani, lalu berangkat ke Mekah. Antara gurunya di Mekah ialah Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Ali al-Maliki dan ramai lagi.

AKTIVITI

Aktiviti Muhammad Said dapat dibahagikan kepada empat kelompok: 1. Guru Agama, 2. Kadi 3. Pengarang 4. Tabib. Sebagai seorang ulama, MuhammadSaid membuka pengajian sistem pondok dan penadahan pelbagai kitab di rumahnya di Titi Bakong, Yan, Kedah. Ramai orang berkunjung ke rumahnya setiaphari, siang dan malam. Murid-muridnya selain daripada Titi Bakong juga datang dari tempat-tempat lainnya. Bahkan ada yang datang dari Sumatera Utara terutama dari Mandailing.

Kemungkinan Muhammad Said dilantik menjadi kadi adalah atas kehendak Syeikh Wan Sulaiman. Isteri Muhammad Said yang pertama bernama Che' Dun adalah anak saudara Syeikh Wan Sulaiman. Muhammad Said pernah menjadi kadi di beberapa daerah, antaranya di Kuala Nerang, Kuala Muda dan Yan. Nampaknya Muhammad Said lebih yakin kehidupan wira swasta atau berdikari daripada bekerja sebagai kadi. Oleh itu beliau mohon berhentidaripada pekerjaan itu.

Manfaat

Pada zaman Muhammad Said, perubatan melalui doktor moden belumlah banyak seperti sekarang. Oleh itu ilmu tabib tradisional Islam dan Melayu dimanfaatkan oleh beliau untuk hidup berwira swasta. Muhammad Said mampu mengubati pelbagai penyakit dengan menggunakan tumbuh-tumbuhan yang berkhasiat, akar kayu, daun kayu, pembuatan minyak untuk disapu, makjun dan lain-lain. Wirid-wirid yang termaktub dalam al-Quran dan doa-doa juga digunakan. Ramai orang yang mengidap penyakit berhasil disembuhkannya. Ada juga yang tidak sembuh, yang demikian sama saja antara perubatan tradisional dengan perubatan moden. Akidah Islam mengajarkan kita bahawa ketentuan sembuh atau tidak adalah dengan izin Allah belaka, bukan manusia yang menentukannya.

Selain aktiviti yang tersebut di atas, Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura pernah menyenaraikan dalam beberapa buah buku terbitannya bahawa Muhammad Said bin Penghulu Muhammad Thaiyib, Alor Bakong, Yan, Kedah termasuk salah seorang agen penjual buku- buku terbitan syarikat itu. Dari sini dapat diambil kesimpulan bahawa beliau adalah seorang yang aktif dalam keseluruhan aspek yang ada hubungannya dengan penulisan dan penerbitan.

PENULISAN

1. Anak Kunci, diselesaikan 5 Zulhijjah 1332 Hijrah. Kandungan pelajaran adab untuk kanak-kanak. Muhammad Said telah membaca karya tersebut di hadapan Syeikh Muhammad Khaiyat, Syeikh al-Islam Kedah pada zaman itu, dan ulama besar bangsa Arab itu memuji karya tersebut. Cetakan ulangan dimuat secara keseluruhan dalam Ath-Thabib, juzuk yang pertama, cetakan pertama Tian Tek Printers, Alor Setar, Kedah, 1374 Hijrah, halaman 10 - 14.

2. Buah Putik Bagi Kanak-Kanak Pada Permulaan Tumbuhnya. Judul ini beliau sebut dalam karyanya Ath-Thabib, juzuk yang pertama, katanya ``... peringatan kemudian daripada hamba telah tulis dan sudah cap kepada Anak Kunci yang tersebut itu, kemudian hamba pun karangkan pula sambungannya, hamba namakan dia Buah Putik Bagi Kanak-Kanak Pada Permulaan Tumbuhnya. Dan sudahlah hamba cap akan dia kali yang pertama banyaknya seribu naskhah. Sekarang ini sudah habis ...''

3. Adabul Katib, juzuk yang pertama, tahun 1335 Hijrah/1917 Masihi. Pada halaman depan dinyatakan kandungannya bahawa pada menyatakan adab menulis dan rencana surat-surat kirim syair- syair. Pada halaman pertama dan kedua terdapat taqriz atau pujian-pujian daripada Muhammad Ihsan bin Haji Abdul Mannan, ulama Surabaya dan Haji Muhammad bin Muhammad Ali, ulama Sambas. Kata-kata pemberi semangat da-ripada ulama Sambas itu termaktub, ``Mudah-mudahan dengan sebab kerajinan dan jasa Tuan pada mengadakan beberapa karangan bertimbunan pula kelak beberapa laki-laki Melayu berusaha bagi mengadakan karangan- karangan supaya memberi faedah dan jadi pengenalan bagi roh kanak-kanak bangsa benih Islam.'' Pada mukadimah Muhammad Said, perhatian diberikan terhadap bahasa Melayu yang sudah mulai diabaikan daripada ucapan dan penulisan yang betul. The Critarian Press Limited, Pulau Pinang, 1335 Hijrah/1917 Masihi.

4. Punca Kesukaan, juzuk yang pertama, diselesaikan 1336 Hijrah/1918 Masihi. Pada halaman depan dinyatakan kandungannya bahawa ``pada bicara khutbah nikah dengan bahasa Jawi, dan kaedah surat panggilan, dan nasihat pengajaran.'' Pada halaman akhir terdapat dua bait syair bahasa Arab oleh Haji Abdullah Pak Him. Cetakan pertama The Critarian Press Limited, Pulau Pinang, 1336 Hijrah/1918 Masihi.

5. An-Nashihah Asy-Syabaniyah, diselesaikan 1343 Hijrah/1921 Masihi. Kandungannya membicarakan wirid malam Jumaat. Cetakan pertama The Teruna Kuala Pilah, Negeri Sembilan, 1355 Hijrah.

6. Majalah Nun, diselesaikan pada hari Selasa, 11 Syaaban 1344 Hijrah/23 Februari 1926 Masihi. Majalah ini hanya mampu bertahan hingga bulan November 1932 Masihi.

7. Ath-Thabib, juzuk yang pertama, diselesaikan pada bulan Muharam 1374 Hijrah. Kandungannya dimulai dengan mukadimah oleh pengarangnya dengan disambung kata pujian daripada Haji Abdullah Pak Him. Sekali gus Muhammad Said menjelaskan identiti Haji Abdullah Fahim, katanya, ``Ini sepucuk surat pujian daripada Tuan Guru Besar al-Fadhil Tuan Haji Abdullah Pak Him al-Makki yang jadi guru Mursyid ath-Thalibin di dalam Madrasah al-Ulya al-Idrisiah as-Sultaniah yang didirikan di dalam benua Kuala Kangsar, di Bukit Candan ...'' Ia mencerminkan hubungan kekeluargaan dan kemesraan Haji Abdullah Fahim memanggil Muhammad Said dengan `adinda' dan sebaliknya Muhammad Said memanggil Haji Abdullah Fahim dengan `kekanda'. MuhammadSaid menterjemahkan tulisan Haji Abdullah Fahim daripada bahasa Arab ke Melayu, katanya, ``... telah saya lihat dan baca kepada makna-makna perkataan yang ada tersebut di dalam ini majalah yang mengeluar akan dia oleh satu orang yang mempunyai ghairah cemburu di atas jenis bangsanya ...'' Pandangan Haji Abdullah Fahim pula, ``Maka sangatlah dukacita sekiranya tiada menaruh sudi pada menerima ini majalah oleh anak watan bangsa tanah air kita. Dan Tuhanlah juga kiranya memberi hidayah petunjuk kepada sebetul-betul jalan.'' Cetakan pertama Tian Tek Printers, Alor Setar, Kedah, 1374 Hijrah.

KEKELUARGAAN

Diriwayatkan bahawa Muhammad Said sepanjang hayatnya pernah berkahwin enam kali. Perkahwinan pertama dengan Che' Dun, anak saudara Syeikh Wan Sulaiman. Daripada perkahwinan ini beliau memperoleh enam orang anak. Perkahwinan kedua dengan Hajah Aisyah binti Haji Kecik, memperoleh seorang anak lelaki, Haji Ismail. Perkahwinan ketiga kalinya di Kuala Muda dengan Che' Lin, memperoleh seorang anak perempuan. Perkahwinan keempat di Pulau Pinang dengan Che' Aisyah, tidak memperoleh anak. Perkahwinan kelima dengan Hajah Aisyah berasal dari Kampung Tok Keling, Alor Setar, tidak memperoleh anak. Perkahwinan keenam dengan Hajah Latifah, berasal dari Tandop, Alor Setar. Sewaktu Muhammad Said meninggal dunia, yang masih bersamanya hanyalah isteri yang keenam ini. Ada pun isteri-isteri yang lain ada yang meninggal dunia mendahului beliau dan ada juga yang bercerai ketika beliau masih hidup.

Muhammad Said adalah seorang yang teguh mengikut ajaran Islam. Oleh itu dalam lingkungan keluarga, bersama isteri, anak-anak dan cucu-cucunyasangat ditekankan melakukan sembahyang berjemaah bersama beliau. Diriwayatkan bahawa Muhammad Said adalah seorang yang warak. Setiap kali selesai mengerjakan sembahyang beliau membaca wirid yang banyak, doa yang panjang dengan penuh khusyuk dan syahdu serta bercucuran air mata membasahi mukanya.

Penulis berkesimpulan bahawa Muhammad Said Yan, Kedah adalah seorang ulama yang berjaya mengatasi cabaran hidup duniawi secara wira swasta, kuat berusaha dan kuat beramal. Gabungan daripada kedua-duanya adalah satu rahsia memperoleh keredhaan dan berkat daripada pada Allah s.w.t. Wirid yang panjang tidak menghalang memperoleh kejayaan dunia tetapi di dalamnya ada satu rahsia tersembunyi yang jarang diketahui oleh kebanyakan orang. Antara rahsia wirid, doa, selawat dan sejenisnya, ialah pekerjaan yang sukar menjadi mudah, yang berat menjadi ringan, yang tersembunyi menjadi nyata dan banyak lagi.
Selasa, September 21, 2004 | 0 ulasan

Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin Raja Mempawah terakhir

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


Dua siri keluaran yang terdahulu telah diceritakan dua orang keturunan Upu Daeng Celak, iaitu Sultan Alauddin Sulaiman Syah, Selangor dan Raja Ali Kelana Riau. Keluaran kali ini diperkenalkan pula keturunan Upu Daeng Menambon. Nama lengkapnya ialah Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin bin Gusti Ibrahim, raja terakhir yang memerintah Mempawah (yang ke-13).Upu Daeng Celak dan Upu Daeng Menambon adalah adik beradik. Dalam penulisan sejarah yang dilakukan oleh Raja Ali Haji dan penulis-penulis lain pada masa dulu, selalu menyebut hubungan kekeluargaan antara Mempawah dan negeri-negeri Melayu di Riau, Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan lain-lain. Oleh itu tulisan ini mengingatkan kembali hubungan kekeluargaan yang pernah wujud pada masa silam itu.

Sebelum melanjutkan kisah yang termaktub pada judul di atas, terlebih dulu dirasakan perlu menyebut nama raja-raja yang memerintah Mempawah dari awal hingga ditutup dengan Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin (Raja yang ke-13). Raja yang pertama ialah Raja Dayak, iaitu Patih Gumantar pada tahun 1380 Masihi. Raja kedua, iaitu Kerajaan Mempawah Hulu yang berpusat di Pukan Raja ialah Raja yang bernama Penembahan Kudung dengan isterinya, Puteri Burkalim pada tahun 1610 Masihi-1680 Masihi. Raja ketiga pada tahun 1680 Masihi, Penembahan Sepauk/Senggauk memerintah kerajaan di Sepauk di Perhuluan Mempawah. Semua raja yang tersebut belum menganut sesuatu agama (animisme)

Raja keempat, Upu Daeng Menambon, iaitu raja Islam yang pertama di Mempawah pada tahun 1740, berasal dari negeri Bugis. Raja kelima, putera kepada Gusti Jamiril bergelar Penembahan Adiwijaya Kesuma yang terkenal anti penjajah Belanda. Baginda adalah saudara sepupu dengan Raja Ali Haji (Riau), Raja Lumu (Selangor) dan lain-lain. Raja keenam pada tahun 1804, Gusti Jati yang bergelar Sultan Muhammad Zainal Abidin Putera Mahkota. Raja ketujuh pada tahun 1831, Gusti Amin. Raja kelapan pada tahun 1839, Penembahan Mu'min. Raja kesembilan pada tahun 1855 yang terkenal dengan gelaran Penembahan Mahmud. Raja kesepuluh pada tahun 1858, Gusti Utsman. Raja kesebelas, Gusti Ibrahim yang bergelar Penembahan Ibrahim Saifuddin pada tahun 1872. Raja kedua belas iaitu Puteri Raja Gusti Intan dengan gelaran Ratu Permaisuri pada tahun 1887. Raja ketiga belas yang diriwayatkan ini, ialah Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, lahir pada tahun 1288 Hijrah/1871 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1944 Masihi. Beliau memerintah Mempawah pada tahun 1322 Hijrah/1904 Masihi - 1363 Hijrah/1944 Masihi.

ULAMA DI MEMPAWAH

Mulai pemerintahan Upu Daeng Menambon di Mempawah, beliau mendatangkan seorang ulama berbangsa Arab, Sayid Husein bin Sayid Ahmad al-Qadri. Putera Upu Daeng Menambon yang bernama Gusti Jamiril mendapat pendidikan daripada ulama ini dan dilanjutkan dengan Syeikh Ali bin Faqih yang datang dari Patani. Diriwayatkan bahawa Gusti Jamiril mendapat pendidikan Islam yang mendalam daripada kedua-dua ulama Arab dan Patani itu.

Pendatang

Sampai pada zaman pemerintahan Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, tradisi menampung ulama pendatang di Mempawah berjalan terus. Ulama yang datang dari Semenanjung ke Mempawah ketika baginda memerintah antaranya ialah Syeikh Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah, Haji Abdur Rahman bin Husein berasal dari Kelantan dan Haji Muhammad Saleh Sarawak. Ulama yang datang dari Patani ialah Haji Wan Nik al-Fathani dan Syeikh Abdul Lathif al-Fathani. Selain ituada juga dari Arab seperti Syeikh Yusuf al-Manshuri. Dari Banjar Haji Abdul Qadir bin Ahmad al-Banjari.

Antara guru Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin dalam bidang agama yang dapat dikesan ialah Haji Abdul Fattah, Haji Wan Nik al-Fathani dan Syeikh Abdul Lathif al-Fathani, Haji Ali bin Sulaiman dan ramai lagi. Daripada data ini dapatlah diketahui latar pendidikan Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, bahawa beliau memperoleh pendidikan Islam seimbang dengan pendidikan kenegaraan yang diperoleh dalam lingkungan Istana Kerajaan Mempawah sendiri.

Ulama yang berkhidmat dalam masa pemerintahan Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin yang paling akhir meninggal dunia ialah Haji Ahmad dan Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani. Haji Ahmad berasal daripada keturunan Pulau Pinang. Jawatan yang disandangnya ialah Maharaja Imam Mempawah. Sementara Haji Abdur Rahman Kelantan pula, jawatan yang disandangnya ialah Maharaja Imam Mempawah. Penulis sempat mewawancara kedua-dua ulama tersebut pada tahun 1968 -1970.

Penulis mempunyai beberapa buah kitab bahasa Arab bekas milik Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin. Sungguh mengkagumkan kerana beberapa judul, antaranya adalah kitab yang besar berjilid-jilid. Ada pula yang tidak diterbitkan lagi dan sukar mendapatkannya. Kitab yang besar antaranya ialah Fathul Bari, iaitu kitab syarah Shahih Bukhari yang terkenal oleh Syeikh Ibnu Hajar al-Asqalani. Memperhatikan kitab-kitab yang ditinggalkan dandirujuk dalam dua buah karangannya yang telah dijumpai, dapatlah diyakini bahawa Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin adalah seorang raja Melayu yang mampu memahami kitab-kitab bahasa Arab yang tinggi dan mendalam huraiannya.


PENULISAN

Nasihat Kepada Anak Buah Kerajaan Mempawah Yang Beragama Islam, diselesaikan pada 25 Syawal 1351 Hijrah/21 Februari 1933 Masihi. Kandungannya merupakan nasihat seorang raja kepada rakyatnya supaya hidup menurut panduan Islam dan menghindari hidup yang bermegah-megah dengan kemewahan. Tidak terdapat nama pencetak. Dalam koleksi ini terdapat tanda tangan Pangeran Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Penembahan Kerajaan Mempawah lengkap dengan cop mohornya. Naskhah ini diperoleh dari dalam Istana Kerajaan Mempawah.

Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin memulakan nasihatnya dengan kalimat, ``Waktu sekarang dikatakan orang musim Malaise, iaitu segala harga barang tanaman seperti kelapa, getah dan lainnya ada terlalu amat turun harganya. Ialah tiada menurut seperti harga penjualan pada tahun yang telah lalu. Oleh sebab demikian semua orang yang hidup daripada hasil berkebun kelapa, getah, dan lain tanaman ada berasa amat berkurang menerima keuntungan daripada hasil harga kebunnya itu. Sebab biasanya orang itu menerima banyak dari pendapatan hasil kebunnya tetapi pada waktu sekarang ia cuma menerima hasil yang terlalu sedikit.'' Istilah ``Malaise'' yang digunakan oleh beliau barangkali boleh kita samakan dengan `kemelesetan ekonomi' iaitu sama ada disukai atau pun tidak, diundang atau datang dengan sendirinya, senantiasa datang dan pergi dalam sesuatu pemerintahan atau pun dunia secara keseluruhannya.

Insaf

Daripada mukadimah nasihat di atas dapat kita ketahui bahawa Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Raja Mempawah, adalah seorang raja yang faham keadaan ekonomi dan mengambil perhatian terhadap rakyat yang diperintahnya. Dapat dibuktikan pula dengan nasihat beliau, katanya, ``Maka sepatutnya orang yang pemboros itu waktu sekarang banyak menaruh insaf akan dirinya kerana waktu Malaise ini ialah menjadi satu pengajaran kepadanya. Maka hendaklah ia membanyakkan berhemat, jangan lagi suka membuang-buang harta jikalau tiada amat fardu ...''

Baginda menganjurkan berusaha supaya wang dapat digandakan, baginda menyambung kalimat di atas, ``Jika sekiranya mereka itu ada kelebihan daripada nafkah yang wajib baginya pada masa ini lebih baik diperbanyakkan berusaha menuntut jalan kemajuan bagi dunia dan akhirat atau pun apa sahaja yang mendatangkan keuntungan baginya. Jauhkan sifat pemboros yang mengecewakan hidup kita ...''

Sikap Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin tidak terikat dengan sesuatu adat kuno, tetapi beliau lebih mengutamakan ajaran yang berlandaskan kepada ajaran Islam. Mengenainya dapat kita pelajari daripada kalimat, ``Maka kerana demikian terasalah pada fikiran, hati kita, akan memberi nasihat kepada bangsa Islam anak buah kerajaan Mempawah supaya mengubah adat kuno itu (adat zaman dahulu) yang kiranya pada fikiran kita tiada sekali merosakkan pada hukum agama Islam...'' Yang dimaksudkan dengan kalimat ini ialah pembaziran kewangan dalam upacara perkahwinan, berkhatan dan lain-lain. Menurut baginda dalam masa krisis ekonomi cukuplah dikerjakan hal-hal yang diwajibkan oleh syarak saja.

Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Raja Mempawah, ketika menyusun nasihatnya, baginda menyebut beberapa kitab rujukannya dalam bahasa Arab iaitu I'anatut Thalibin oleh Saiyid Bakri Syatha. Rujukan dalam bahasa Melayu ialah Sabilul Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

KETURUNAN

Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Raja Mempawah yang terakhir ini meninggal dunia akibat korban pembunuhan kejam tentera Jepun sewaktu perang dunia kedua. Hingga sekarang tidak diketahui di manakah tempat pembunuhan itu sebenarnya terjadi. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1944 Masihi.

Sewaktu pembunuhan terjadi, Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin meninggalkan tiga orang putera dan seorang puteri, iaitu Pangeran Muhammad yang kemudian dikenali dengan nama Drs. Jimmy Ibrahim, seorang tokoh yang terkenal dalam pemerintahan Propinsi Kalimantan Barat. Putera-puteri beliau yang lain ialah Pangeran Faishal, Pangeran Taufiqiyah dan Pangeran Abdullah.

Kesimpulan dan penutup artikel ini, penulis berpendapat bahawa hubungan Mempawah dan negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Brunei sejak Upu Daeng Menambon telah terjalin kekeluargaan yang sangat erat. Oleh itu masa kini hubungan silaturahim perlu diikat dan dijalin kembali. Mengenai hal ini dirasakan perlu diikatkan dengan penelitian sejarah, kebudayaan, pelancongan, kerjasama ekonomi dan lain-lain yang dirasakan perlu. Mempawah dan Kalimantan Barat khususnya atau Kalimantan/Borneo umumnya adalah berpotensi untuk kekukuhan ekonomi rakyat Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam pada masa-masa yang akan datang. Rakyat mengharapkan mudah-mudahan para pemimpin tiga negara yang memerintah Kalimantan/Borneo sekarang mengambil berat untuk menangani perkara-perkara yang tersebut di atas.
Selasa, September 21, 2004 | 0 ulasan

Ismail al-Kalantani - Mufti Kerajaan Pontianak

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


ULAMA yang berasal dari Kelantan ini pernah penulis riwayatnya di dalam Majalah Pengasuh yang diperlengkapkan oleh Ismail Awang. Selanjutnya dimuat dalam buku Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (jilid 1), yang diselenggarakan oleh Ismail Che Daud dan diterbitkan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, cetakan pertama, 1988. Beberapa tahun kemudian penulis menemui data-data baru mengenai ulama Kelantan yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak di Kalimantan Barat ini, oleh itu riwayat mengenainya ditulis kembali di dalam ruangan Agama, Utusan Malaysia ini.

Nama lengkapnya ialah Ismail bin Haji Abdul Majid bin Haji Abdul Qadir al-Kalantani. Lahir di Kampung Labok, Macang, Kelantan. Mengenai tahun lahir dan wafatnya masih perlu dikaji kembali. Pendapat awal menyebut bahawa Ismail Kelantan lahir pada tahun 1293 Hijrah/1876 Masihi. Ismail Che' Daud menjelaskan pada notanya bahawa ulama tersebut lahir pada awal tahun 1300 Hijrah/1882 Masihi. Demikian tentang wafatnya bahawa pendapat awal menyebut tahun 1365 Hijrah/1946 Masihi, Ismail Che' Daud menyebut kemungkinan pada tahun 1370 Hijrah/1951 Masihi atau terkemudian lagi.

PENDIDIKAN

Ismail dan abangnya Muhammad Nuh (yang kemudian dikenali sebagai Haji Nuh Kaya) setelah memperoleh pendidikan asas di Kelantan, dihantar belajar ke Mekah. Di Mekah, Ismail sempat mengikuti majlis pengajian Syeikh Ahmad al-Fathani, sama ada di rumah mahu pun di Masjid al-Haram. Ada orang meriwayatkan bahawa Ismail Kelantan pulang ke Kelantan sesudah haji pada tahun 1325 Hijrah/1908 Masihi, iaitu tahun kewafatan Syeikh Ahmad al-Fathani (wafat 11 Zulhijjah 1325 Hijrah/18 Januari 1908 Masihi). Riwayat lain menyebut bahawa setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia, Ismail Kelantan meneruskan pengajiannya kepada beberapa orang ulama besar Mekah, antaranya Saiyid Abdullah az-Zawawi (lahir 1266 Hijrah/1850 Masihi, wafat 1343 Hijrah/1924 Masihi), Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi dan ramai lagi. Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi berasal dari Termas (Jawa) adalah seorang ulama besar Mazhab Syafie dan ahli dalam ilmu hadis. Beliau mempunyai beberapa karangan yang besar, antaranya Muhibah Zawin Nazhar yang tebalnya empat jilid.

Hubungan mesra antara Ismail Kelantan dengan Saiyid Abdullah az-Zawawi sejak beliau belajar di Mekah lagi, yang ketika itu Saiyid Abdullah az-Zawawi adalah seorang Mufti Mazhab Syafie di Mekah. Ketika pergolakan Wahhabi di Mekah, beberapa orang ulama tidak aman tinggal di Mekah, termasuklah Saiyid Abdullah az-Zawawi. Haji Ismail Kelantan mengikut gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi itu berhijrah dari Mekah ke Riau dan selanjutnya ke Pontianak. Sewaktu Saiyid Abdullah az-Zawawi menjadi Mufti Pontianak, Ismail Kelantan terus bersama gurunya itu, belajar pelbagai bidang ilmu tiada henti-hentinya walau pun ilmu yang dikuasainya cukup banyak dan memadai. Riwayat lain menyebut bahawa Ismail Kelantan pulang ke Kelantan lebih awal (1325 Hijrah/1908 Masihi), dan selanjutnya pergi ke Cam/Kemboja.

Ilmu falak

Ismail Kelantan tidak sempat menamatkan ilmu falak yang dipelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani. Oleh itu setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia, beliau meneruskan pendidikan khusus tentang ilmu falak itu daripada Syeikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail al-Fathani. Ketika mempelajari ilmu falak daripada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, beliau bersama Syeikh Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar.

Mengenai ketokohan Ismail Kelantan dalam ilmu falak dapat dibuktikan dalam karyanya Pedoman Kesempurnaan Manusia. Menurut cerita Ustaz Abdur Rani Mahmud (ketika masih hidup sebagai Ketua Majlis Ulama Kalimantan Barat), bahawa Ismail Kelantan adalah orang pertama yang menyebarluaskan ilmu falak di Pontianak, khususnya atau Kalimantan Barat umumnya.

KE PONTIANAK SEBAGAI MUFTI

Selain bersama gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi di Pontianak, Ismail Kelantan pernah menziarahi Syeikh Muhammad Yasin, seorang ulama yang berasal dari Kedah, yang tinggal di Kuala Secapah, Mempawah. Pada tahun kedatangan Ismail Kelantan ke Kuala Secapah, Mempawah itulah Syeikh Muhammad Yasin Kedah meninggal dunia. Ismail Kelantan juga menziarahi Wan Nik, seorang ulama sufi yang berasal dari Patani. Beliau tinggal dalam bandar Mempawah.

Dalam waktu yang relatif singkat, kealiman Ismail Kelantan tersebar di sekitar Mempawah dan Pontianak. Oleh sebab itu Adam, seorang hartawan Bugis di Sungai Itik, Pontianak, iaitu seorang yang sangat haus dengan ilmu pengetahuan, menjemput Ismail Kelantan mengajar di rumahnya. Bukan itu saja, atas kehendak Adam dan Mu'minah binti Haji Muhammad Thahir, mereka menjodohkan anak perempuannya dengan Ismail Kelantan. Perkahwinan dengan anak Adam itu merupakan perkahwinan Ismail Kelantan yang pertama di Pontianak. Detik-detik terakhir akan kepulangannya ke Kelantan, Ismail berkahwin lagi dengan Jamaliah yang berasal dari Tasik Malaya, Jawa Barat. Perkahwinan kedua ini adalah atas kehendak dan perintah Sultan Muhammad, Sultan Pontianak.

Daripada sepucuk surat Ismail Kelantan kepada Syarif Muhammad bin Syarif Yusuf, Sultan Pontianak, tarikh Pontianak: 28 Februari 1924, dapatlah diketahui bahawa mula-mula beliau dilantik sebagai Naib Hakim di Rad Agama Pontianak mulai tarikh 12 Ogos 1920 Masihi. Pada tarikh penulisan surat 28 Februari 1924, kedudukan Ismail Kelantan adalah sebagai Mufti di Kerajaan Pontianak.

Sewaktu Ismail Kelantan menjadi Mufti Pontianak, ada tiga orang ulama yang bernama Ismail. Dua orang lagi ialah Ismail bin Abdul Lathif (lebih dikenali dengan Ismail Jabal) dan Ismail bin Abdul Karim (lebih dikenali sebagai Ismail Mundu). Ismail bin Abdul Lathif berpangkat Adviseur Penasihat Rad Agama Kerajaan Pontianak. Ismail bin Abdul Karim (wafat pada hari Khamis, 15 Jamadilakhir 1376 Hijrah/16 Januari 1957 Masihi) pula adalah Mufti Kerajaan Kubu, sebuah kerajaan kecil di bawah naungan Kerajaan Pontianak. Ketiga-tiga ulama tersebut sangat terkenal di dalam Kerajaan Pontianak. Bahkan kerajaan-kerajaan lain di seluruh Kalimantan/Borneo.

PULANG KE KELANTAN

Ismail Kelantan pulang ke Kelantan sekitar tahun 1937. Di Kota Bharubeliau menjadi guru di Jami' Merbau yang berstatus sebagai pendidikan tinggi Islam ketika itu. Murid-murid yang diterima di Jami' Merbau adalah orang-orang yang telah mendapat pendidikan yang cukup memadai, yang datang dari seluruh Semenanjung dan Patani.

Semangat

Selain mengajar di Jami' Merbau, Ismail Kelantan juga menjadi guru dan imam di Istana Sultan Kelantan. Ismail Kelantan adalah hafiz al-Quran tiga puluh juzuk, fasih ketika berpidato dan berkhutbah di atas mimbar. Kelebihannya pula dapat mempengaruhi dan membakar semangat pendengar. Dalam satu peristiwa pergaduhan yang didalangi Bintang Tiga yang terjadi di Kota Bharu, Ismail Kelantan telah berpidato sehingga menaikkan semangat juang orang Melayu


PENULISAN

1. Fatwa Daripada as-Saiyid Abdullah Ibnu Almarhum as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi Jawab Soal Dari Tanah Jawa, diselesaikan pada 25 Syawal 1330 Hijrah. Kandungannya mengenai ayat-ayat al-Quran dalam piring hitam. Diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu daripada karya asalnya yang ditulis dalam bahasa Arab, Rejab tahun 1326 Hijrah. Dicetak dengan kehendak as-Saiyid Ja'far bin Pangeran Syarif Abdur Rahman al-Qadri Pontianak. Dicetak di Mathba' Haji Muhammad Sa'id bin al-Marhum Haji Arsyad, No. 82 Arab Street Singapura, pada 25 Syawal 1330 Hijrah oleh Muhammad bin Haji Muhammad Sa'id, Basrah Street, No. 49 Singapura.

2. Risalah Pada Bicara Jum'at dan Sembahyang Zhuhur Mu'adah, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Tarikh salinan 3 Rabiulawal 1345 Hijrah. Manuskrip disalin oleh Khathib Peniti Kecil, diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 Hijrah/22 Disember 2001 Masihi. Kandungan perbahasan khilafiah mengenai sembahyang Jumaat dan sembahyang Zuhur atau mu'adah.

3. Pedoman Kemuliaan Manusia, kandungannya membicarakan rampaian berbagai-bagai ilmu, termasuk falakiyah. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Ma'arif, Kota Bharu, Kelantan. Taqriz/pujian: Tuan Guru Ahmad Mahir bin Haji Ismail Kemuning, Kadi Besar Negeri Kelantan (ditulis pada 22 Januari 1938), Tuan Guru Nik Muhammad Adib bin Syeikh Muhammad Daud, Jawatan Tinggi Kadi Pelawat atau Pemeriksa Kadi-kadi Dalam Kelantan (ditulis 22.11.37), Tuan Guru Abdullah Tahir bin Ahmad, Guru Besar Ugama Dalam Kelantan dan Anggota Ulama Dalam Majlis Ugama Islam Kelantan (ditulis 14 Zulkaedah 1356 Hijrah).

KETURUNAN DAN MURID

Sewaktu Ismail Kelantan pulang ke Kota Bharu, Kelantan, tiga orang anaknya dengan isteri pertama telah berumah tangga, ketiga-tiganya tidak ikut pulang ke Kelantan. Anak-anaknya yang pernah ditemui penulis ialah anaknya yang tinggal di Parit Sungai Keluang, Peniti, Kecamatan Siantan, Kabupaten Pontianak. Suaminya bernama Arif. Seorang anak Ismail Kelantan yang perempuan lainnya tinggal di Pontianak. Dipercayai ketiga-tiga anak Ismail Kelantan melahirkan keturunan yang ramai di Pontianak atau pun telah berpindah ke tempat-tempat lainnya.

Antara sekian ramai murid Ismail Kelantan di Pontianak yang sangat rapat dengan penulis ialah Ustaz Abdur Rani Mahmud. Beliau termasuk salah seorang guru penulis. Jawatan terakhir beliau ialah Ketua Majlis Ulama Kalimantan Barat. Beliau adalah tempat rujukan segala kemusykilan mengenai Islam bagi masyarakat umum dan pihak pemerintah di Kalimantan Barat.

Cerita-cerita mengenai kelebihan atau keistimewaan Ismail Kelantan banyak penulis dengar dan catat daripada Abdur Rani Mahmud. Menurut Abdur Rani Mahmud, Ismail Kelantan adalah orang pertama menyebarkan ilmu falak secara meluas di Pontianak. Katanya, ``Kemungkinan Haji Ismail Kelantan hafal Quran tiga puluh juzuk kerana di mana saja beliau duduk, mulutnya sentiasa membaca ayat-ayat al-Quran. Tangannya senantiasa memegang tasbih. Kalau mengajar mata pelajaran apapun yang diajarkannya semuanya secara hafal walau pun kitab ada di depannya.''
Selasa, September 21, 2004 | 0 ulasan