Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Ah long zalim!

Written By SEUZ on 28/05/09 | Khamis, Mei 28, 2009


KEKEJAMAN AH LONG,sangat mengejutkan apabila menyaksikan foto dua lelaki ini dengan leher dan kaki mereka dirantai gara-gara berhutang. Mereka sebenarnya adalah mangsa ceti haram atau ah long yang dikurung di dalam sebuah lokap buatan sendiri di sebuah bangunan rumah kedai lima tingkat di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Selangor, semalam. Gambar ini dirakamkan selepas serbuan polis ke atas tempat kurungan mereka itu yang membawa kepada penahanan dua lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatan kejam itu.– UTUSAN/Zulhafiz Abu Hanafiah

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
uma.ramayah@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 27 Mei – Zalim! Hanya kerana gagal membayar hutang, tiga lelaki diperlakukan seperti binatang apabila leher dan kaki mereka dirantai serta dikurung dalam ‘lokap’ buatan ah long.

Lebih kejam, mangsa hanya dibekalkan dengan sebuku roti untuk setiap dua minggu dan terpaksa minum air paip dalam bilik kecil yang dilengkapi tandas itu.

Malah, mereka turut dijadikan seperti hamba apabila dirotan jika cuba merayu, membuat bising atau meninggikan suara.

Wang yang dipinjam pula bukanlah banyak mana, cuma di antara RM1,500 dan RM4,000 sahaja.

Kegiatan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar apabila polis menahan dua lelaki dipercayai ah long hasil maklumat awam, di sebuah bank di Desa Jaya, Kepong, dekat sini kira-kira pukul 11 pagi ini.

Ketika ditahan suspek yang berusia 30 dan 33 tahun itu sedang membuat urusan pembayaran hutang.

Susulan daripada penahanan tersebut, polis menyerbu sebuah bangunan rumah kedai lima tingkat di Jalan PBS 14/2, Taman Perindustrian Bukit Serdang di sini, kira-kira pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, dalam serbuan di aras bawah itu, polis menyelamatkan tiga lelaki berusia 25 hingga 49 tahun yang dijadikan tahanan.

Katanya, ketiga-tiga mereka ditempatkan dalam dua bilik yang diubahsuai seolah-olah seperti lokap polis.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap mangsa turut menemui kesan-kesan lebam di seluruh badan, dipercayai menjadi mangsa dera ah long.

‘‘Berdasarkan keterangan mangsa, kita mendapati mereka dikurung antara 17 hari hingga dua bulan,’’ katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Tambah beliau, polis terpaksa meminta bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat dari Seri Kembangan untuk memecahkan mangga pada ‘lokap’ berkenaan dan rantai yang dipasang pada mangsa.

Abdul Rahim menyifatkan tindakan ah long itu sebagai binatang dan tidak berperikemanusiaan kerana tergamak ‘memuatkan’ mangsa dalam bilik sempit seluas 1.2 meter X 1.2 meter tanpa aliran udara.

‘‘Kami yakin dengan penahanan kedua-dua lelaki pagi ini, kumpulan ah long itu yang juga terlibat dalam beberapa kes di Lembah Klang telah ditumpaskan,’’ ujarnya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu ialah dengan mengurung mangsa sekiranya gagal membayar hutang sehinggalah ahli keluarga mereka melunaskannya.

Ditanya sama ada ahli keluarga mangsa ada membuat laporan polis mengenai kejadian itu, beliau memberitahu, kesemua mangsa dilaporkan hilang oleh keluarga mereka di Gombak, Kajang dan Segamat.

‘‘Kami terima tiga laporan berhubung kehilangan mangsa-mangsa. Dalam laporan itu mereka mendakwa mangsa dilarikan ah long namun tiada sebarang maklumat mengenai mereka,’’ ujar beliau.

Kes itu katanya, kini disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Khamis, Mei 28, 2009 | 0 ulasan

Hancurnya Harimau Tamil

Written By SEUZ on 19/05/09 | Selasa, Mei 19, 2009

Ketua LTTE terbunuh


TV Derana merakamkan mayat, Charles Anthony, anak lelaki pemimpin LTTE, Vellupillai Prabhakaran yang terbunuh dalam serangan tentera Sri Lanka, semalam. – REUTERS

COLOMBO 18 Mei – Pemimpin tertinggi pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Velupillai Prabhakaran ditembak mati hari ini ketika cuba melarikan diri daripada kepungan askar kerajaan Sri Lanka.

Prabhakaran cuba meninggalkan kawasan yang dikepung dengan menaiki sebuah ambulans bersama-sama dua pembantu kanan sebelum subuh hari ini, tetapi kesemua mereka terbunuh apabila kenderaan itu diserang hendap, kata seorang pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

“Dia terbunuh bersama-sama dua orang lain di dalam ambulans itu. Pengumuman rasmi akan dibuat kemudian,” katanya.

Dua orang kanan Prabhakaran yang turut terbunuh itu dikenal pasti sebagai ketua perisikan LTTE, Pottu Amman dan ketua tentera lautnya, Soosai.

Tentera Sri Lanka sebelum itu mengumumkan, mereka telah membunuh tiga pemimpin kanan LTTE dan menemui mayat anak lelaki Prabhakaran dalam operasi pembersihan berikutan kekalahan pemberontak tersebut.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, salah seorang pemimpin LTTE yang terbunuh itu ialah ketua sayap politiknya, B. Nadesan.

Sehari selepas mengumumkan mereka menghentikan pertempuran, saki baki gerila LTTE kini terperangkap di sebuah kawasan hutan kecil di timur laut Sri Lanka.

Jurucakap tentera, Brigadier Udaya Nanayakkara berkata, sebilangan pemberontak terus memberikan tentangan sewaktu askar menjalankan ‘operasi pembersihan’ di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan keselamatan turut menemui mayat anak lelaki Prabhakaran, Charles Anthony, 24, semasa operasi tersebut.

Selain Nadesan, pemimpin kanan lain LTTE yang terbunuh ialah ketua sekretariat perdamaian Harimau, S. Puleedevan; dan pemimpin mereka di wilayah timur, S. Ramesh, menurut Kementerian Pertahanan.

Nanayakkara berkata, nasib Prabhakaran tidak diketahui kerana “kami belum menemuinya, sama ada hidup atau mati, tetapi kami mengetahui apa yang perlu kami lakukan apabila kami menangkapnya.” – AFP



Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Selasa, Mei 19, 2009 | 0 ulasan

Khurafat di Pulau Besar, Melaka

JAIM serbu Pulau Besar

Oleh ROSLI HASSAN
rosli@kosmo.com.my



PEGAWAI dan kakitangan JAIM dan AADK memeriksa pasport pasangan warga Singapura yang bermalam di Pulau Besar, Melaka kelmarin. KIRI: KERATAN Kosmo! 9, 10, 14 Mei.

MELAKA – “Saja datang jalan-jalan.”
Itulah antara alasan yang diberi oleh pengunjung Pulau Besar ketika disoal oleh anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika menyerbu pulau berkenaan malam kelmarin.

Namun alasan yang diberikan itu agak meragukan kerana ketika ditemui ada di kalangan mereka berada di Makam Sultan Al-Arifin walaupun ketika itu sudah pukul 9.30 malam.

Seorang wanita berumur 55 tahun dari India dilihat memegang tasbih sambil berzikir di hadapan sebuah makam di situ manakala seorang lelaki bangsa India dari Kuala Lumpur turut berada di hadapan makam berkenaan dan terdapat sekotak colok berhampiran makan tersebut yang kemudian menafikan itu miliknya.

Serbuan itu dilakukan ekoran pendedahan bersiri Kosmo! bermula 9 Mei lalu mengenai kegiatan khurafat di pulau tersebut seperti bertapa, berzikir dan memuja makam. Bagaimanapun timbul persoalan mengapa ia diadakan pada malam hari dan pada hari Ahad sedangkan tumpuan pengunjung adalah pada Jumaat dan Sabtu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, serbuan pada pukul 8 malam itu melibatkan 11 anggota penguat kuasa JAIM dan enam anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Lilin, colok dan tembakau di kubur-kubur lama telah dimusnahkan dan sembilan pengunjung Pulau Besar termasuk tiga warga asing telah diambil butirannya,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui dalam serbuan itu.

Menurut beliau, ketika serbuan dijalankan tiada pengunjung ditemui melakukan amalan khurafat di kubur-kubur lama di pulau berkenaan walaupun kebanyakan kubur lama di situ dipenuhi colok, lilin dan tembakau.


Sumber: Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Selasa, Mei 19, 2009 | 0 ulasan