Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Cemas, sedih, kejutan minggu pertama

Written By JOM JALAN on 26/06/07 | Selasa, Jun 26, 2007

Oleh: AMIRUDDIN HARUN

KES bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor dianggap satu lagi kes berprofil tinggi, membabitkan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dan dua anggota polis.

Sejak hari pertama pada Isnin lalu, perbicaraan tersebut diwarnai dengan pelbagai isu sama ada membabitkan barisan pendakwaan, pembelaan, saksi-saksi, ahli keluarga tertuduh mahupun mangsa, pihak media sehinggalah kepada orang ramai yang mengunjungi bangunan mahkamah semata-mata untuk menyaksikan sendiri kes itu.

Seperti dijangkakan, hari pertama menyaksikan pintu bilik Mahkamah Tinggi 3 Shah Alam menjadi ‘pintu gerbang’ utama wartawan tempatan mahupun agensi berita asing yang sanggup menunggu seawal pukul 5.30 pagi lagi.

Namun seawal mana pun tiba, tiada gunanya kerana anggota polis dari Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman yang mengawal mahkamah tersebut menggunakan sistem pas masuk tanpa mengambil kira siapa yang datang awal sehingga menimbulkan kemarahan wartawan pertama yang tiba.

Mencuri tumpuan pagi itu sudah tentunya ahli keluarga Abdul Razak. Dengan berpakaian kemeja T putih dengan perkataan di hadapan dan belakangnya sebagai tanda sokongan kepada tertuduh ketiga itu.

‘Mrs Razak Baginda’, ‘Roweena Abdul Razak’, ‘Razak’s Brother’ dan ‘Razak’s Sister’ tertera di bahagian depan kemeja T manakala di belakangnya ditulis ‘And Proud of It’ dipakai oleh isteri, anak, abang dan kakak Abdul Razak.

Itu di luar mahkamah, dalam mahkamah lain pula ceritanya. Paling ditunggu ucapan pembuka tirai pendakwaan yang mengaitkan Abdul Razak sebagai orang yang bersubahat merancang dan memberi arahan kepada dua anggota polis terbabit agar dihapuskan wanita Mongolia berusia 28 tahun itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, pihaknya akan membuktikan menerusi keterangan saksi pada malam Altantuya dibawa dari rumah Abdul Razak, rakaman televisyen litar tutup (CCTV) dan komunikasi melalui telefon.

Di samping itu, keterangan juga akan menunjukkan tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, sendiri yang menunjukkan tempat kejadian Altantuya diletupkan dan keterangan bahawa Azilah bersama rakan setugasnya di Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar, 36, adalah orang terakhir yang dilihat bersama Altantuya.

‘‘Beberapa barang milik mangsa juga telah dirampas oleh polis dari rumah Sirul Azhar. Akan dibuktikan juga sepasang selipar yang terdapat kesan percikan darah Altantuya yang dijumpai dalam kereta Sirul Azhar,’’ kata Tun Abdul Majid.

Darah itu disahkan milik mangsa hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Hubungan Abdul Razak, 47, dengan Altantuya turut menjadi inti pati ucapan pembukaan tersebut dengan menyatakan pertemuan mereka berdua sering diatur sejak mereka mula berkenalan pada tahun 2004.

Sepanjang menjalin hubungan, Abdul Razak selalu memberikan bantuan kewangan kepada Altantuya, ibu kepada dua orang anak kecil apabila diminta oleh wanita itu.

Walaupun hubungan mereka terputus pada Ogos 2005 namun pendakwaan mempunyai bukti bahawa penganalisis politik itu masih memberi wang kepada Altantuya apabila dituntut olehnya.

Hari pertama juga menyaksikan usaha peguam pemerhati kepada keluarga Altantuya, Karpal Singh supaya Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin menarik diri daripada mendengar kes itu ditolak kerana merupakan tiga pupu kepada arwah isteri peguam bela Azilah, Hazman Ahmad.

Turut ditolak ialah permohonan peguam veteran itu untuk terlibat secara aktif dalam perbicaraan berkenaan termasuk menyoal dan membuat penggulungan hujah.

Saksi pendakwa pertama merupakan penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang diupah oleh Abdul Razak bagi menghalang wanita Mongolia itu daripada mengganggunya di pejabatnya di bangunan Lembaga Getah Asli Malaysia (LGAM), Jalan Ampang dan rumahnya di Jalan Setiajaya, Damansara Heights.

‘‘Saya diberitahu (oleh Abdul Razak), perempuan Mongolia itu mengugutnya untuk mendapatkan wang,” kata saksi tersebut yang dibayar RM7,000 untuk menjalankan tugas-tugasnya.

Balasubramaniam kemudiannya mendedahkan, Altantuya meminta AS$500,000 (RM1.73 juta) dan tiga tiket penerbangan ke Mongolia semasa mereka berbincang di luar Balai Polis Brickfields.

Mereka berdua dan penyiasat persendirian yang diupah oleh Altantuya, Ang Chong Beng berbincang di situ setelah wanita Mongolia itu membuat bising di hadapan rumah Abdul Razak pada malam 17 Oktober lalu sehingga menyebabkan Balasubramaniam menelefon polis.

Sebelum kehilangan Altantuya pada 19 Oktober pula, saksi itu sempat memberitahu mahkamah mengenai kisah sedih yang diceritakan oleh Altantuya kepadanya.

Menurut Balasubramaniam, Altantuya datang ke Malaysia selepas diarahkan oleh abangnya supaya meminta wang daripada Abdul Razak bagi menebus semula sebuah apartmen di Mongolia yang telah dipertaruhkan saudaranya itu yang kalah dalam perjudian.

Altantuya juga memberitahu saksi itu, bapanya telah meninggal dunia dan ibunya menghidap barah.

Berikutan keterangan itu, Abdul Razak sempat melontarkan kata-kata bahawa Shaariibuu Setev (bapa Altantuya yang datang ke Malaysia sejak 4 Jun lalu semasa perbicaraan ditangguhkan kepada 18 Jun) adalah ‘hantu’.

Kisah tragedi Altantuya bermula pada malam itu apabila dia dibawa pergi dari hadapan rumah Abdul Razak oleh tiga anggota polis yang tidak berpakaian seragam dengan sebuah kereta Proton Wira merah. Pemandu kereta itu disahkan oleh saksi itu sebagai Azilah.

Detik inilah bermulanya kehilangan Altantuya dari alam maya.

Kehilangan Altantuya sudah pasti amat dirasai oleh keluarganya terutama bapanya. Perasaan seorang bapa yang buat pertama kali menyambut Hari Bapa tahun ini tanpa anak kesayangan dan terpaksa menyambutnya di negara orang sudah tentu meluluhkan hati bapa Altantuya, Shaariibuu, 57.

Sebab itu, sememangnya dapat dirasai kepiluan Shaariibuu apabila dia tidak dapat menahan sebak lalu menitiskan air mata semasa ditunjukkan gambar Altantuya semasa dia memberi keterangan sebagai saksi pendakwa kedua.

Dalam keterangannya sebelum itu, beliau memberitahu mahkamah bahawa anaknya kerap datang ke Malaysia kerana ingin menemui seseorang yang bernama ‘Baginda’.

Bercakap dalam bahasa Mongol dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Shaariibuu memberitahu, anak perempuan sulung daripada dua beradik itu mempunyai dua anak walaupun tidak pernah berkahwin.

Saksi pendakwa seterusnya ialah saudara dua pupu Altantuya, Namiraa Gerelmaa, 23, yang menemani wanita itu berkunjung ke Malaysia bersama seorang lagi rakannya, Gal- Ochir Uuriintuya pada 8 Oktober tahun lalu.

Namiraa memberitahu, 11 hari kemudian, Altantuya pergi bersendirian ke rumah Abdul Razak dengan menaiki teksi kira-kira pukul 9 malam. Setibanya di hadapan rumah Abdul Razak, katanya, Altantuya ada menelefonnya. Dan itulah panggilan terakhir yang diterima daripada saudara perempuannya itu.

Esok, perbicaraan bersambung dengan pemeriksaan balas terhadap Namiraa oleh pihak peguam bela.

Selasa, Jun 26, 2007 | 0 ulasan

28 web pelaburan Internet ditutup

Written By JOM JALAN on 22/06/07 | Jumaat, Jun 22, 2007

Oleh ZULKIFLI MANZOR

KUALA LUMPUR 21 Jun – Sehingga kini 28 laman web pelaburan cepat kaya tempatan yang dikesan menjalankan aktiviti pasaran modal dan sekuriti tanpa kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak lagi boleh diakses di Internet.

Difahamkan, kesemua laman web itu yang tersenarai dalam Senarai Amaran SC berkemungkinan besar ditutup sendiri oleh penganjur skim cepat kaya berkenaan kerana gerun dengan tindakan agresif pihak berkuasa.

Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan agresif SC menyekat akses kepada enam laman web seumpamanya sebelum ini selain tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) dan polis menggeledah salah satu pejabat pengendali skim itu baru-baru ini.

Bagaimanapun, 16 lagi laman web skim pelaburan Internet dalam Senarai Amaran SC (www.sc.com.my) itu masih aktif dan boleh diakses.

Siasatan Utusan Malaysia selama tiga hari berturut-turut berdasarkan senarai dikeluarkan SC mendapati, antara laman web yang tidak lagi boleh diakses ialah www.fical.net; www.winlifund.com; www.al-arabic.com; www.buyebarrel.com; www.eukgold.com; www.solidinvestment.com. dan www.smartcash.com.

Selain itu, skim pelaburan Internet terawal di Malaysia, SwissCash yang mendakwa diterbitkan oleh Swiss Mutual Fund juga berdepan masalah sama.

Laman webnya sebelum ini, www.swisscash.biz telah ditutup manakala laman web terbarunya, www.swisscash.net juga sudah tidak boleh diakses.

SwissCash sebelum ini dilaporkan mempunyai 50,000 pelabur dengan jumlah pelaburan melebihi RM200 juta.

Pada 12 Jun lalu, SC mengambil langkah drastik menyekat akses kepada enam laman web yang dipercayai menawarkan skim pelaburan haram kepada orang ramai.

Enam laman web terbabit ialah www.abbfund.com atau abfund.us, www.cfventure.com, www. swedenfund.com, www.uebond.com, www. esuissefund.com atau www.efmf. com.pa dan www.ecashfinance.com dan tindakan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan.

Pada hari sama, BNM dan polis menyerbu pejabat pengendali skim itu yang disyaki menjalankan pengambilan deposit tanpa lesen dan membuat pelaburan haram.

Dengan kerjasama SC, BNM dan polis menggeledah pejabat AB Fund yang beroperasi di ibu negara, iaitu salah satu skim cepat kaya Internet yang popular di kalangan pelakon dan penyanyi terkenal di negara ini.

Pada 31 Mei lalu, SC memberi amaran kepada semua pelabur skim yang tidak sah melalui Internet supaya mengeluarkan wang pelaburan sebelum 11 Jun 2007 kerana selepas itu akses ke laman-laman web yang mempromosikan skim sedemikian akan disekat.

Ini bermakna pelabur yang tidak mengeluarkan wang masing-masing bukan saja tidak dapat lagi mengakses laman web itu malah tidak dapat memasuki akaun mereka bagi melakukan sebarang urus niaga.

Pada 12 April lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan membuat ketetapan bahawa semua pelaburan di Internet, termasuk SwissCash yang menjanjikan faedah atau pulangan tetap sebagai haram kerana berunsur riba.

Keputusan majlis itu memberi kesan kepada aktiviti pelaburan melibatkan tidak kurang 500,000 orang Islam termasuk golongan kenamaan dan profesional berpangkat Tan Sri dan Datuk.

Orang ramai boleh melayari laman web SC di www.sc.com.my bagi mendapat perkembangan lanjut berhubung perkara tersebut. [Utusan]

Jumaat, Jun 22, 2007 | 0 ulasan