Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Empat menteri, 10 timbalan tewas

Written By SEUZ on 10/03/08 | Isnin, Mac 10, 2008






KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon adalah antara pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) yang tewas selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 diumumkan setakat jam 3 pagi ini.

Selain Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya; Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin; Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, juga kalah.

Samy Vellu gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput yang diwakilinya sejak 1974 apabila tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr D Jeyakumar dengan majoriti 1,821 undi. Samy Vellu mendapat 14,637 undi berbanding Jeyakumar, 16,458.

Aziz tewas di Shah Alam apabila meraih 24.042 undi berbanding lawannya, Khalid Abdul Samad daripada PKR yang mendapat 33,356 undi manakala Shahrizat yang mendapat 18,833 undi, kalah di Lembah Pantai kepada calon PKR, Nurul Izzah Anwar yang mendapat 21,728 undi.

Zainudin yang beralih dari kerusi Parlimen Merbok ke Sungai Petani dalam pilihan raya kali ini tewas 9,381 undi kepada calon PKR, Johari Abdul. Zainudin mendapat 24,441 undi berbanding Johari, 33,822 undi.

Dr Koh, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang pertama kali bertanding kerusi Parlimen pula, tewas di Batu Kawan kepada calon DAP yang juga bekas pensyarah, Dr P Ramasamy. Beliau hanya meraih 13,582 undi berbanding Ramasamy 23,067.

Turut tewas, 10 timbalan menteri termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas; Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mah Siew Keong.

Tan gagal mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang disandangnya sejak tiga penggal lalu apabila tewas kepada calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Tan mendapat 25,608 undi berbanding Abdul Khalid yang juga Setiausaha Agung PKR, 28,123 undi.

Kayveas yang juga Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) tewas di Taiping dengan majoriti 11,298 undi apabila mendapat 16,800 undi berbanding lawannya daripada DAP, Nga Kor Ming yang mendapat 28,098 undi.

Mah yang juga Ketua Pemuda Gerakan, gagal mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan yang disandangnya apabila tewas dengan majoriti 1,470 undi kepada calon DAP, M Manogaran. Mah mendapat 17,016 undi berbanding Manogaran, 18,486 undi.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman tewas di kerusi Parlimen Nibong Tebal dengan majoriti 3,087 undi apabila mendapat 17,123 undi berbanding pencabarnya daripada PKR, Tan Tee Beng yang meraih 20,210 undi.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin tewas di kerusi Parlimen Bachok dengan majoriti 2,901 undi apabila mendapat 25,934 undi berbanding pencabarnya, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang meraih 28,835.

Beliau yang turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perupok, tewas dengan majoriti 1,270 undi kepada calon Pas, Datuk Omar Mohamad. Awang Adek mendapat 8,235 undi berbanding Omar yang meraih 9,505 undi.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk G Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, tewas 198 undi di kerusi Parlimen Hulu Selangor kepada calon PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. Palanivel memperoleh 22,979 undi berbanding Zainal Abidin, 23,177.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow yang juga penyandang kerusi Parlimen Kuantan pula kalah dengan majoriti 1,826 undi kepada calon PKR, Fuziah Salleh. Fu mendapat 16,572 undi berbanding Fuziah, 18,398.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Seri Chia Kwang Chye, kalah dengan majoriti 16,122 undi di Parlimen Bukit Bendera kepada pencabarnya, Liew Chin Tong daripada DAP. Chia yang juga Setiausaha Agung Gerakan, mendapat 15,131 undi berbanding Liew, 31,243.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S Sothinathan kalah dengan majoriti 2.804 undi di Teluk Kemang kepada calon PKR, Kamarul Bahrin Abbas. Sothinathan yang juga Naib Presiden MIC, mendapat 20,544 undi berbanding Kamarul Bahrin, 23,348.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin, kalah dengan majoriti 3,413 di Bagan Serai kepada calon PKR, Mohsin Fadzli Samsuri. Zainal Abidin mendapat 18,943 undi manakala Mohsin Fadzli, 18,943.

Exco Pemuda Umno, Datuk Pirdaus Ismail sekali lagi gagal untuk merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh daripada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila tewas dengan majoriti 13,388 undi.

Sumber: Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, ArticleCentral dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, Jason Tan, dan lain-lain.

Isnin, Mac 10, 2008 | 0 ulasan

Interpol bantu jejaki Mas Selamat

Written By SEUZ on 1/03/08 | Sabtu, Mac 01, 2008

SINGAPURA 29 Feb. - Interpol hari ini mengeluarkan amaran berjaga-jaga di seluruh dunia terhadap ketua cawangan Jemaah Islamiah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari, hampir 48 jam selepas dia memboloskan diri dari sebuah pusat tahanan di republik ini.

Dalam notis di laman webnya, badan polis antarabangsa itu menyatakan, pihaknya mengeluarkan amaran Notis Oren berikutan permintaan daripada Singapura.

Notis Oren boleh dikeluarkan oleh Sekretariat Am Interpol di Lyon, Perancis untuk sebarang kejadian yang menimbulkan risiko terhadap keselamatan penduduk di seluruh dunia.

"Singapura ternyata mengambil segala langkah pada peringkat kebangsaan untuk mencari orang buruan berkenaan dan menerusi pengeluaran Notis Oren ini, Interpol dan semua negara anggotanya dapat membantu usaha tersebut di peringkat antarabangsa," kata Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Polis, JeanMichel Louboutin.

Gambar dan cap jari Mas Selamat akan dihantar kesemua 186 negara anggota Interpol, menurut badan itu.

Kementerian Dalam Negeri Singapura menyatakan, operasi memburu diteruskan dengan kerahan besar-besaran anggota polis, tentera dan pasukan keselamatan lain.

"Operasi mencari masih dijalankan," kata seorang jurucakap.

Mas Selamat yang dituduh merancang untuk merampas sebuah pesawat dan merempuh Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini memboloskan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road kelmarin.

Menurut Kementerian itu, Mas Selamat yang dilahirkan pada 1961 berjalan tempang dan diketahui tidak membawa senjata.

Lelaki rakyat Singapura itu ditangkap di Pulau Bintan, Indonesia pada 2003 dan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh mahkamah di sana.

Dia dibebaskan kemudian tetapi ditangkap semula oleh pihak berkuasa Indonesia pada Januari 2006 sebelum diserahkan kepada Singapura yang menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Penganalisis percaya Mas Selamat akan cuba memasuki Indonesia.

- AFP

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, ArticleCentral dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, Jason Tan, dan lain-lain.

Sabtu, Mac 01, 2008 | 0 ulasan

Bantahan terbesar paksa Arroyo undur

MANILA 29 Feb. - Berpuluh-puluh ribu rakyat Filipina mendesak Presiden Gloria Macapagal Arroyo meletak jawatan dalam satu perhimpunan bantahan terbesar yang diadakan secara mengejut di Manila, hari ini.

Penganalisis politik dari Pusat Penilaian dan Strategi Pasifik, Mark Condon berpendapat, desakan rakyat seperti ini boleh menyebabkan penyokong dan pengikut Arroyo dalam Kabinet dan tentera memikirkan semula kedudukan mereka.

"Gerakan seperti ini tentunya menarik perhatian mereka walaupun pada masa ini Arroyo sedang berusaha keras menafikan penglibatan beliau dalam sebarang jenayah rasuah," katanya.

Begitupun sehingga kini penyokong Arroyo yang mempunyai penggal pentadbirannya sehingga 2010, masih tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berpaling tadah.

Pemerhati bebas pula berkata, antara 30,000 hingga 50,000 rakyat Filipina berhimpun di daerah perniagaan utama Makati dengan membawa sepanduk, berdoa dan melaungkan bantahan terhadap Arroyo yang disifatkan sebagai satu jumlah bantahan terbesar yang di luar jangkaan.

Bekas Presiden Corazon Aquino dan Joseph Estrada turut kelihatan bersama-sama di sebuah pentas yang dikerumuni ramai penunjuk perasaan.

"Gloria, cukuplah sudah, anda patut bersara!

"Masa sudah tiba dan kita mesti bersatu bagi mengakhirkan penipuan (Arroyo) dan kebenaran akan muncul juga!" kata Aquino dalam perhimpunan itu yang menjadi lambang kepada amalan demokrasi di negara ini.

Polis mendakwa hanya 15,000 penduduk sahaja yang melakukan bantahan itu.

Bagaimanapun, pihak pembangkang menganggarkan seramai 75,000 rakyat telah berkumpul berbanding 40,000 yang dijangkakan mereka sebelum ini.

Walaupun semakin tidak popular di kalangan rakyat, namun Arroyo masih dalam kedudukan yang selamat kerana mendapat sokongan tentera.

Walaupun telah ada dua cubaan untuk menggulingkan Arroyo, rakyat Filipina masih sinikal sama ada percubaan ketiga kali ini akan berjaya menjatuhkan pemimpin berkenaan.

- Reuters

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, ArticleCentral dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, Jason Tan, dan lain-lain.

Sabtu, Mac 01, 2008 | 0 ulasan