Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Ah long zalim!

Written By JOM JALAN on 28/05/09 | Khamis, Mei 28, 2009


KEKEJAMAN AH LONG,sangat mengejutkan apabila menyaksikan foto dua lelaki ini dengan leher dan kaki mereka dirantai gara-gara berhutang. Mereka sebenarnya adalah mangsa ceti haram atau ah long yang dikurung di dalam sebuah lokap buatan sendiri di sebuah bangunan rumah kedai lima tingkat di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Selangor, semalam. Gambar ini dirakamkan selepas serbuan polis ke atas tempat kurungan mereka itu yang membawa kepada penahanan dua lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatan kejam itu.– UTUSAN/Zulhafiz Abu Hanafiah

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
uma.ramayah@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 27 Mei – Zalim! Hanya kerana gagal membayar hutang, tiga lelaki diperlakukan seperti binatang apabila leher dan kaki mereka dirantai serta dikurung dalam ‘lokap’ buatan ah long.

Lebih kejam, mangsa hanya dibekalkan dengan sebuku roti untuk setiap dua minggu dan terpaksa minum air paip dalam bilik kecil yang dilengkapi tandas itu.

Malah, mereka turut dijadikan seperti hamba apabila dirotan jika cuba merayu, membuat bising atau meninggikan suara.

Wang yang dipinjam pula bukanlah banyak mana, cuma di antara RM1,500 dan RM4,000 sahaja.

Kegiatan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar apabila polis menahan dua lelaki dipercayai ah long hasil maklumat awam, di sebuah bank di Desa Jaya, Kepong, dekat sini kira-kira pukul 11 pagi ini.

Ketika ditahan suspek yang berusia 30 dan 33 tahun itu sedang membuat urusan pembayaran hutang.

Susulan daripada penahanan tersebut, polis menyerbu sebuah bangunan rumah kedai lima tingkat di Jalan PBS 14/2, Taman Perindustrian Bukit Serdang di sini, kira-kira pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, dalam serbuan di aras bawah itu, polis menyelamatkan tiga lelaki berusia 25 hingga 49 tahun yang dijadikan tahanan.

Katanya, ketiga-tiga mereka ditempatkan dalam dua bilik yang diubahsuai seolah-olah seperti lokap polis.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap mangsa turut menemui kesan-kesan lebam di seluruh badan, dipercayai menjadi mangsa dera ah long.

‘‘Berdasarkan keterangan mangsa, kita mendapati mereka dikurung antara 17 hari hingga dua bulan,’’ katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Tambah beliau, polis terpaksa meminta bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat dari Seri Kembangan untuk memecahkan mangga pada ‘lokap’ berkenaan dan rantai yang dipasang pada mangsa.

Abdul Rahim menyifatkan tindakan ah long itu sebagai binatang dan tidak berperikemanusiaan kerana tergamak ‘memuatkan’ mangsa dalam bilik sempit seluas 1.2 meter X 1.2 meter tanpa aliran udara.

‘‘Kami yakin dengan penahanan kedua-dua lelaki pagi ini, kumpulan ah long itu yang juga terlibat dalam beberapa kes di Lembah Klang telah ditumpaskan,’’ ujarnya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu ialah dengan mengurung mangsa sekiranya gagal membayar hutang sehinggalah ahli keluarga mereka melunaskannya.

Ditanya sama ada ahli keluarga mangsa ada membuat laporan polis mengenai kejadian itu, beliau memberitahu, kesemua mangsa dilaporkan hilang oleh keluarga mereka di Gombak, Kajang dan Segamat.

‘‘Kami terima tiga laporan berhubung kehilangan mangsa-mangsa. Dalam laporan itu mereka mendakwa mangsa dilarikan ah long namun tiada sebarang maklumat mengenai mereka,’’ ujar beliau.

Kes itu katanya, kini disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Khamis, Mei 28, 2009 | 0 ulasan

Hancurnya Harimau Tamil

Written By JOM JALAN on 19/05/09 | Selasa, Mei 19, 2009

Ketua LTTE terbunuh


TV Derana merakamkan mayat, Charles Anthony, anak lelaki pemimpin LTTE, Vellupillai Prabhakaran yang terbunuh dalam serangan tentera Sri Lanka, semalam. – REUTERS

COLOMBO 18 Mei – Pemimpin tertinggi pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Velupillai Prabhakaran ditembak mati hari ini ketika cuba melarikan diri daripada kepungan askar kerajaan Sri Lanka.

Prabhakaran cuba meninggalkan kawasan yang dikepung dengan menaiki sebuah ambulans bersama-sama dua pembantu kanan sebelum subuh hari ini, tetapi kesemua mereka terbunuh apabila kenderaan itu diserang hendap, kata seorang pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

“Dia terbunuh bersama-sama dua orang lain di dalam ambulans itu. Pengumuman rasmi akan dibuat kemudian,” katanya.

Dua orang kanan Prabhakaran yang turut terbunuh itu dikenal pasti sebagai ketua perisikan LTTE, Pottu Amman dan ketua tentera lautnya, Soosai.

Tentera Sri Lanka sebelum itu mengumumkan, mereka telah membunuh tiga pemimpin kanan LTTE dan menemui mayat anak lelaki Prabhakaran dalam operasi pembersihan berikutan kekalahan pemberontak tersebut.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, salah seorang pemimpin LTTE yang terbunuh itu ialah ketua sayap politiknya, B. Nadesan.

Sehari selepas mengumumkan mereka menghentikan pertempuran, saki baki gerila LTTE kini terperangkap di sebuah kawasan hutan kecil di timur laut Sri Lanka.

Jurucakap tentera, Brigadier Udaya Nanayakkara berkata, sebilangan pemberontak terus memberikan tentangan sewaktu askar menjalankan ‘operasi pembersihan’ di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan keselamatan turut menemui mayat anak lelaki Prabhakaran, Charles Anthony, 24, semasa operasi tersebut.

Selain Nadesan, pemimpin kanan lain LTTE yang terbunuh ialah ketua sekretariat perdamaian Harimau, S. Puleedevan; dan pemimpin mereka di wilayah timur, S. Ramesh, menurut Kementerian Pertahanan.

Nanayakkara berkata, nasib Prabhakaran tidak diketahui kerana “kami belum menemuinya, sama ada hidup atau mati, tetapi kami mengetahui apa yang perlu kami lakukan apabila kami menangkapnya.” – AFP



Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Selasa, Mei 19, 2009 | 0 ulasan

Khurafat di Pulau Besar, Melaka

JAIM serbu Pulau Besar

Oleh ROSLI HASSAN
rosli@kosmo.com.my



PEGAWAI dan kakitangan JAIM dan AADK memeriksa pasport pasangan warga Singapura yang bermalam di Pulau Besar, Melaka kelmarin. KIRI: KERATAN Kosmo! 9, 10, 14 Mei.

MELAKA – “Saja datang jalan-jalan.”
Itulah antara alasan yang diberi oleh pengunjung Pulau Besar ketika disoal oleh anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika menyerbu pulau berkenaan malam kelmarin.

Namun alasan yang diberikan itu agak meragukan kerana ketika ditemui ada di kalangan mereka berada di Makam Sultan Al-Arifin walaupun ketika itu sudah pukul 9.30 malam.

Seorang wanita berumur 55 tahun dari India dilihat memegang tasbih sambil berzikir di hadapan sebuah makam di situ manakala seorang lelaki bangsa India dari Kuala Lumpur turut berada di hadapan makam berkenaan dan terdapat sekotak colok berhampiran makan tersebut yang kemudian menafikan itu miliknya.

Serbuan itu dilakukan ekoran pendedahan bersiri Kosmo! bermula 9 Mei lalu mengenai kegiatan khurafat di pulau tersebut seperti bertapa, berzikir dan memuja makam. Bagaimanapun timbul persoalan mengapa ia diadakan pada malam hari dan pada hari Ahad sedangkan tumpuan pengunjung adalah pada Jumaat dan Sabtu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, serbuan pada pukul 8 malam itu melibatkan 11 anggota penguat kuasa JAIM dan enam anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Lilin, colok dan tembakau di kubur-kubur lama telah dimusnahkan dan sembilan pengunjung Pulau Besar termasuk tiga warga asing telah diambil butirannya,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui dalam serbuan itu.

Menurut beliau, ketika serbuan dijalankan tiada pengunjung ditemui melakukan amalan khurafat di kubur-kubur lama di pulau berkenaan walaupun kebanyakan kubur lama di situ dipenuhi colok, lilin dan tembakau.


Sumber: Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Selasa, Mei 19, 2009 | 0 ulasan

Anjing Hutan Mengganas: Angkara Pembalakan?



Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my

Dendam dipercayai menjadi punca sekumpulan anjing hutan mengganas dengan membaham haiwan ternakan di Felda Tenang, Besut, Terengganu baru-baru ini. Mengapakah haiwan itu semakin ‘dekat’ dengan manusia.

ISU melibatkan segerombolan anjing hutan yang mengganas lalu membaham lebih daripada 230 ekor lembu milik peneroka Felda Tenang, di Besut, Terengganu baru-baru ini begitu menggemparkan.

Kebimbangan yang dirasai penduduk bertambah apabila haiwan liar itu bergerak memasuki ladang pada waktu malam dengan sasarannya ternakan lembu milik peneroka.

Lebih aneh, bukan bahagian badan kambing atau ayam yang dimakannya, tetapi hati dan limpa lembu sahaja yang dibahamnya.

Anjing hutan atau nama saintifiknya Dhole (Canis Alpinus) lebih dikenali sebagai Asiatic Wild Dog, Red Dog atau Dhole.

Mempunyai bentuk fizikal yang lebih menyerupai anjing hutan Afrika dan anjing Bush, beratnya boleh mencecah sehingga 12 hingga 20 kilogram, manakala tingginya antara 43 hingga 55 sentimeter dengan panjang lebih satu meter.

Mamalia karnivor itu mempunyai tengkorak berbentuk kubah, pendek dan muncung yang luas. Tulang dahi dan rahang atasnya bersaiz besar. Begitu juga, saiz telinga yang besar dan bulat serta memiliki bentuk mata bertukup dengan iris matanya berwarna coklat gelap.


ANJING hutan tidak pandai mengepung atau membaham mangsa secara berkumpulan.

Bagi mamalia seperti serigala atau nama saintifiknya Canis Lupus, secara umumnya ia mempunyai ketinggian 60 hingga 80 sentimeter dan berat antara 23 hingga 59 kilogram. Terdapat juga spesies anjing yang memiliki bentuk fizikal mirip serigala, misalnya anjing Siberian Husky dan Samoyed. Mamalia itu juga adalah haiwan liar paling besar dalam keluarga Canidae.

Menjadi persoalan, adakah tabiat anjing hutan menyerupai serigala sewaktu membaham dan menyerang mangsanya?

"Asal usul anjing hutan adalah daripada serigala kelabu atau Grey Wolf. Dari segi kepintaran, serigala lebih cerdik berbanding anjing hutan, memandangkan saiz otaknya lebih besar daripada saiz otak anjing hutan.

"Serigala adalah sejenis haiwan yang cerdik dan mempunyai strategi untuk mengepung mangsa dalam satu kumpulan spesies yang sama.

"Anjing hutan tidak pandai untuk mengepung atau membaham secara berkumpulan. Haiwan itu akan menyerang mangsa secara bersendirian mahupun berkumpulan tanpa perlu melakukan strategi, sekiranya terlalu lapar," jelas Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah ketika ditemui Kosmo! di Hulu Kelang, Ampang.


PEMBALAK yang menjadikan anjing sebagai penjaga kawasan dan kemudian melepaskannya antara faktor yang mendesak anjing mengancam ternakan penduduk kampung. - Gambar hiasan




DR. MOHAMAD NGAH

Selangor baru-baru ini. Kini, terdapat lebih daripada 400 spesies anjing di dunia. Spesies anjing domestik seperti German Shephard, Dalmatian, Bull Dog dan Doberman, manakala anjing hutan seperti Himalayan Wolf, Dhole, Indian Wolf dan Canis Sumatraensis.

Menyentuh mengenai apakah yang dimakan oleh anjing hutan dan serigala, Dr. Mohamad berkata, ia bergantung pada kekuatan gigi dan usia haiwan tersebut.

"Jangka hayat haiwan bergantung pada gigi. Sekiranya ia sudah lanjut usia, tidak mungkin ia akan memilih daging-daging yang keras, sebab tiada kemampuan untuk menggigit. Sebab itulah, ia lebih gemar memilih organ-organ dalam seperti limpa dan hati yang lebih lembut.

"Bagi haiwan yang masih muda dan bertenaga, mereka akan membaham secara berkumpulan dan biasanya, serangan yang dilakukan adalah menerkam dari kepala, perut dan kaki," katanya sambil memberitahu, haiwan yang masih bertenaga itu mampu meratah daging mangsa sehingga ke tulang.

Berdasarkan kajian, katanya, serigala tidak boleh dijinakkan walaupun telah dikacuk sejak kecil kerana tabiat dan unsur-unsur keganasan semula jadinya masih ada dalam diri.



TINDAKAN anjing hutan menyerang ternakan penduduk kampung berkemungkinan disebabkan sikap manusia itu sendiri.





DR. MOHAMMAD DANIAL FELIX

Berbeza pula dengan anjing, ia boleh dijadikan kawan dan dilatih untuk kegunaan manusia.

"Perasaan dendam? Memandangkan semua haiwan memiliki memori yang kuat, ia berupaya mengingati apa yang telah manusia lakukan terhadapnya.

"Walaupun sudah berjaya dijinakkan, lama-kelamaan perasaan lamanya itu akan timbul semula," katanya beza anjing hutan dan anjing liar ialah tempat tinggalnya. Anjing hutan tinggal di dalam hutan manakala anjing liar berasal daripada anjing belaan yang terbiar dan akhirnya menjadi liar.

Berbicara mengenai serangan anjing hutan yang mengganggu penduduk di Terengganu, seorang veterinar di Zoo Negara, Dr. Mohammad Danial Felix, berkata, semua spesies haiwan menyimpan perasaan takut terhadap manusia.

Katanya, kebiasaannya haiwan tidak mahu bertembung dengan manusia dan berusaha mengelaknya.

"Tindakan anjing hutan menyerang mangsa kemungkinan besar disebabkan sikap manusia itu sendiri," katanya.

Beliau memberi contoh bahawa kontraktor perumahan dan pembalak haram sering menjadikan anjing sebagai penjaga kawasan dan menganggap, menerusi salakan, musuh akan takut.

"Sebelum projek siap dijalankan, mereka tidak pernah gagal memberi anjing tersebut makanan.

"Tetapi setelah projek siap sepenuhnya, biasanya mereka melepaskan anjing tersebut tanpa pengawal dan penjagaan yang sepatutnya. Ini menyebabkan anjing berkenaan terbiar dan akhirnya menjadi liar.

"Ketika itulah, anjing-anjing tersebut terpaksa mencari sendiri makanan termasuk menjadikan haiwan ternakan penduduk kampung sebagai mangsa," jelasnya yang melihat ia sebagai satu situasi desakan hidup haiwan itu.



FAKTOR usia dan kekuatan gigi anjing hutan mempengaruhi jenis organ mangsa yang dilapahnya.

Justeru, katanya, setiap pihak sepatutnya memiliki kesedaran dan didikan yang sewajarnya dalam memastikan haiwan-haiwan tidak terbiar.

"Jangan terlalu mementingkan diri sendiri, akibatnya orang lain yang ditimpa padah," nasihatnya.

Pada satu perkembangan lain, Prof. Dr. Mohd. Hair Bejo dari Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam satu laporan Kosmo! pada 5 Mei lalu berpendapat, kejadian sekumpulan anjing hutan yang semakin buas menyerang haiwan ternakan mungkin ada kaitan dengan penyakit anjing gila atau rabies.

Katanya, kumpulan anjing hutan itu mungkin dijangkiti penyakit tersebut sehingga menyebabkan ia bertindak di luar kawalan dan lebih agresif.

"Disebabkan jangkitan itu, haiwan tersebut bukan sahaja mengancam ternakan tetapi juga manusia.

"Jika mangsa digigit, mereka boleh mengalami gangguan sistem saraf," katanya.

Beliau berkata, walaupun anjing hutan bersifat ganas, kes di Felda Tenang itu agak ganjil kerana haiwan terlibat sangat agresif sehingga kerap membaham haiwan ternakan.

[ru_01_8.jpg]

Sumber: Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Selasa, Mei 19, 2009 | 0 ulasan

WHO henti gunakan nama selesema babi

Written By JOM JALAN on 4/05/09 | Isnin, Mei 04, 2009

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak akan menggunakan nama “selesema babi” bagi mengelakkan kekeliruan mengenai bahaya yang berpunca daripada babi. 

Jurucakap WHO, Dick Thompson berkata perubahan nama itu timbul selepas kementerian pertanian dan agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan kebimbangan bahawa nama “selesema babi” mengelirukan pelanggan mereka. 

Katanya, WHO akan menggunakan nama saintifiknya “H1N1 influenza A”.

WHO meningkatkan amaran penyakit itu kepada tahap 5 kelmarin, satu langkah saja daripada tahap paling tinggi yang menandakan wabak global. Ketua WHO, Keiji Fukuda berkata setakat ini belum ada keperluan untuk meningkatkan lagi tahap amaran itu. - AP


Sumber:  Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Isnin, Mei 04, 2009 | 0 ulasan

6 langkah cegah penularan virus selesema babi

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengambil enam langkah bagi mencegah penularan selesema babi, yang kini merebak ke banyak negara selain Mexico dan mengorbankan ramai rakyatnya. 

Langkah berkenaan adalah:

  • Mengaktifkan Pusat Kawalan Penyakit di JPV, Putrajaya dan semua pejabat JPV negeri. 

  • Mengaktifkan Pasukan Pengurusan Amaran (Alert Management Team) bagi mengurus dan menyelaras kegiatan pengawalan seluruh negara.
  • Menggerakkan kegiatan pengawasan bagi mengesan dan memantau kewujudan penyakit selesema membabitkan ternakan babi di semua 797 ladang babi di seluruh negara. 

  • Pemantauan babi di semua rumah sembelih. 

  • Pemantauan bangkai dan organ babi di pasar basah.

  • Menggerakkan Pasukan Tindakan Pantas (RAT) di lokasi atau ladang berisiko tinggi.

Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin dalam kenyataannya berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan klinikal kesihatan terhadap ternakan babi yang dijangkiti selesema dan mengambil sampel cecair dari hidung serta darah ternakan di semua ladang babi. 

Selain itu, katanya, JPV juga memberi khidmat nasihat kepada pemilik dan pekerja ladang ternakan itu mengenai langkah keselamatan perlu diambil. 

Antara langkah disaran ialah:
  • Pekerja memakai topeng menutup mulut dan mata 

  • Memakai pakaian menutup seluruh badan dan memakai kasut boot.

  • Melaksanakan kerja cuci hama dua kali seminggu 

  • Mewajibkan penternak melaporkan kepada pihak berkuasa veterinar jika ada tanda babi sakit seperti murung, berhingus, batuk atau demam.

Sumber:  Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Isnin, Mei 04, 2009 | 0 ulasan

Cegah risiko ternak babi secara moden

PF atasi masalah wabak berkaitan pencemaran alam

KUALA LUMPUR: Pengusaha ternakan babi digesa melaksanakan konsep perladangan babi moden (MPF) dengan segera bagi meminimumkan pencemaran alam sekitar dan menghalang daripada jangkitan sebarang penyakit yang berpunca daripada ternakan itu. 

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Abdul Aziz Jamaludin, berkata pada masa ini selain MPF, penternak juga dicadangkan mengguna pakai kaedah pembangunan perladangan babi (PFA).

Bagaimanapun, sehingga kini, hanya tiga negeri yang bersedia melaksanakan PFA iaitu Sabah, Sarawak dan Negeri Sembilan manakala lain-lain negeri masih mengekalkan penternakan babi secara setempat dengan teknologi moden. 

Dr Abdul Aziz berkata, MPF lebih sesuai berbanding PFA kerana ia tidak memerlukan kawasan tanah yang besar selain masih mementingkan ciri bio keselamatan dalam penyelenggaraannya, katanya kepada Berita Minggu semalam. 

Beliau juga berkata, MPF berupaya mengurangkan risiko wabak penyakit berkaitan penternakan babi selain meminimumkan kadar pencemaran terhadap alam sekitar.

Penternakan babi mengikut konsep MPF memastikan babi diternak di ladang tertutup, pengolahan sisa buangan sifar, pembangunan prasarana baik dan mencukupi selain mengenakan kuota terhadap pengeluaran babi. 

Pada masa ini terdapat 870 ladang babi di seluruh Malaysia dengan sejumlah 1,865,820 juta babi diternak. Perak adalah negeri paling besar menternak babi dengan 152 ladang dan 489,092 ekor babi. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Datin Dr Che Ilina Che Isahak, berkata babi diketahui berpotensi menyebabkan wabak penyakit kerana reseptor dalam tubuh babi bersifat sebagai 'mixing vessel' menyebabkan ia mudah berpindah kepada manusia dan berpotensi menjadi wabak.


Sumber:  Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Isnin, Mei 04, 2009 | 0 ulasan

Kematian pertama akibat selsema babi di AS

WASHINGTON: Pegawai kerajaan hari ini mengesahkan kematian pertama di Amerika Syarika (AS) akibat virus baru H1N1 atau selesema babi. 

Mangsa pertama selesema babi di AS itu ialah kanak-kanak berusia 23 bulan yang meninggal dunia di Texas. 

Ia adalah kematian pertama yang dilaporkan di luar Mexico, negara yang paling teruk dilanda wabak selesema babi.

Tiada butiran lanjut diberikan tetapi pegawai kerajaan mengesahkan 65 kes selesema babi. - Reuters 

Sumber:  Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Isnin, Mei 04, 2009 | 0 ulasan

Selesema babi: kematian di Mexico meningkat 22 kes

BANDAR MEXICO: Kadar kematian di Mexico akibat daripada virus influenza A (H1N1) meningkat kepada 22 mangsa daripada 568 kes jangkitan yang dikesan sehingga kini, kata Menteri Kesihatan Mexico, Jose Angel Cordova, lewat semalam. 

Kadar kematian sebelum ini, iaitu semalam adalah 19 kematian daripada 487 kes jangkitan yang dikesan. 

“Terdapat 590 kes positif, di mana 568 orang masih hidup dan 22 lagi malangnya meninggal dunia,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, angka yang dicatatkan itu adalah hasil daripada ujian makmal terhadap 1,523 kes yang disyaki sejak merebaknya selesema babi itu. 

Katanya, kira-kira 15 kematian yang dicatatkan adalah wanita dan tujuh lelaki, di mana semuanya mati di bandar Mexico. 

Tambahnya lagi, kadar pesakit yang dimasukkan ke hospital berkurangan dan kes terbabit kurang serius.

Awal semalam, Menteri Kesihatan negara itu berkata, epidemik sudah sampai ke kemuncaknya antara 23 hingga 28 April dan kini berada pada penurunan fasa itu, dan menggesa orang ramai untuk sentiasa memerhatikan larangan bagi mengehadkan pembiakan virus terbabit. 

Cordova berkata, semalam kerajaan sudah membentuk senarai saranan awam, khususnya bagi restoran, pengangkutan awam dan tempat lain yang dilampirkan, untuk dipatuhi bagi memastikan standard anti-selesema dilaksanakan. 

“Ia adalah instrumen untuk semua penduduk, bagi memastikan diri sendiri sentiasa sihat,” katanya dengan menambah ia akan sentiasa dikaji semula dalam laman web kementerian berkenaan. - AFP


Sumber: Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Isnin, Mei 04, 2009 | 0 ulasan

Babi di Kanada dijangkiti virus H1N1

VANCOUVER 3 Mei - Jangkitan influenza A (H1N1) kini berlaku pada ternakan babi di wilayah Alberta, namun ia tidak menjadi ancaman kepada bekalan makanan. Pegawai kesihatan Kanada mendapati jangkitan tersebut semalam.

Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada dalam kenyataannya berkata, ternakan di wilayah barat Kanada itu mendapat jangkitan daripada seorang individu yang baru pulang dari Mexico, baru-baru ini.

Mexico adalah negara utama yang dilanda wabak selesema babi yang merebak ke 18 negara dan mungkin telah membunuh lebih 100 orang, hampir kesemuanya di negara itu.

Ia adalah kes pertama jangkitan selesema babi dari manusia kepada babi di Kanada.

Agensi itu berkata, ternakan yang dijangkiti telah dikuarantin untuk ujian lanjut, namun 'peluang kes jangkitan virus H1N1 daripada babi kepada manusia amat jarang berlaku.'

"Keselamatan bekalan makanan tidak terjejas dan ternakan babi di Kanada adalah selamat untuk dimakan," demikian menurut kenyataan itu.

Tambahnya, kesemua babi yang dijangkiti telah pulih atau sedang melalui proses pemulihan.

Kanada mencatat lebih 70 kes yang disahkan sebagai jangkitan influenza A pada manusia, namun kesemuanya tidak teruk dan melibatkan mereka yang baru pulang dari Mexico atau orang yang bersentuhan dengan individu yang pernah ke negara Amerika Latin itu.

Menteri Pertanian, Gerry Ritz berkata, Kanada sedang berbincang dengan rakan dagangnya yang lain dan Setiausaha Pertanian Amerika Syarikat (AS), Tom Vilsack meyakinkan beliau bahawa pasaran AS masih terbuka. - Reuters


Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Isnin, Mei 04, 2009 | 0 ulasan

H1N1: 3 lagi kes dikesan

PRESIDEN Mexico, Felipe Calderon (kanan) melawat Hospital Tentera Laut di Mexico City, kelmarin. – AFP
MEXICO CITY 3 Mei – Sebanyak tiga kes kematian akibat virus influenza A (H1N1) dikesan di Mexico semalam, menjadikan jumlah mangsa korban di negara ini kini meningkat daripada 16 kepada 19 orang, dengan menyaksikan wabak tersebut tersebar merentasi benua Asia dan Eropah.

Setiausaha Kesihatan, Jose Angel Cordova berkata, kes jangkitan selesema babi di seluruh negara ini kini terus melonjak kepada 473 kes dengan 19 kematian.

Sementara itu, jumlah kematian akibat virus H1N1 di seluruh dunia pula bertambah kepada 20 orang termasuk kanak-kanak rakyat Mexico, yang mati di Texas dua hari lalu.

Kata Cordova, 11 daripada kes yang disyaki penghidap virus itu sebelum ini telah disahkan mati dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Laporan terbaru ini menjadikan Mexico semakin gawat dengan wabak selesema babi.

Peningkatan kes baru selesema babi di luar Mexico juga terus dikesan.

Kerajaan di negara-negara terbabit telahpun mengambil tindakan dengan mengantung penerbangan dan bersedia dengan langkah untuk kuarantin mereka yang disyaki.

Virus H1N1 bukan hanya tertumpu kepada manusia, tetapi mula tersebar kepada haiwan di mana ternakan babi di wilayah Alberta, Kanada kini turut dikuarantin.

Para pegawai Kanada berkata, ia berpunca daripada virus H1N1 yang dibawa oleh salah seorang pekerja ladang ternakan babi yang baru pulang dari Mexico.

Pekerja berkenaan dikesan menghidap simptom penyakit bawaan virus H1N1 hari ini.

Para pegawai itu memberitahu pemberita di Ottawa bahawa ternakan babi di ladang berkenaan selamat untuk dimakan dan tidak terjejas dengan jangkitan wabak tersebut.

“Semua masih dalam keadaan yang terkawal dan belum ada babi dikesan mati akibat virus H1N1,” kata para pegawai tersebut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga bertindak meningkatkan amaran wabak H1N1 secara global dan mengarahkan agar masyarakat lebih berhati-hati, kata Pengarah Amaran dan Maklum Balas Global WHO, Dr. Mike Ryan.

“Ia adalah virus mutat yang tidak akan berubah tetapi akan terus merebak dan menjangkiti bersama virus-virus lain dengan meluas tanpa mengira genetik mangsa,” kata Ryan.

“Jadi ia bukanlah langkah bijak jika kita memandang remeh pada setiap kes, walaupun ia melibatkan jumlah kematian yang kecil,” katanya.

Penyebaran virus H1N1 di seluruh dunia kini telah mencecah 800 kes dengan majoriti adalah di Mexico, diikuti Amerika Syarikat dan Kanada.

Costa Rica turut mengesahkan kes pertama wabak H1N1 setakat ini iaitu kes pertama di Amerika Latin selepas Mexico. – AP

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Isnin, Mei 04, 2009 | 0 ulasan

Ancaman virus selesema babi

Written By JOM JALAN on 1/05/09 | Jumaat, Mei 01, 2009

Kajian sampel mengenal pasti jenis virus selesema yang dijalankan di Makmal Kesihatan awam di California, Amerika Syarikat.
Oleh LAUPA JUNUS

Selepas dikejutkan dengan Japanese Encephalitis (JE) dan virus Nipah yang disebarkan daripada babi, demamCoxsackie, Sistem Pernafasan Akut Teruk (SARS), kini selesema babi menjadi ancaman terbaru penduduk negara ini.

Kemunculan virus selesema babi H1N1 di dalam babi dan juga manusia di Mexico baru-baru ini yang berupaya menyebabkan jangkitan yang membawa maut menunjukkan sejarah mungkin berulang kerana pandemik virus selesema Sepanyol 1918 (1918 Spanish flu virus) juga disebabkan oleh virus selesema H1N1.

Tetapi yang uniknya, virus selesema babi H1N1 Mexico muncul dari campuran virus selesema yang asalnya daripada unggas, babi dan juga manusia.

Berdasarkan laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang beribu pejabat di Geneva dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika, virus selesema babi H1N1 yang ditemui di Mexico baru-baru ini dan di beberapa negeri di Amerika Syarikat, Kanada dan Sepanyol merupakan virus selesema babi H1N1 yang baru, yang belum pernah ditemui sebelum ini.

Virus babi H1N1 ini mempunyai profil genetik (campuran gen) yang unik yang belum pernah ditemui dalam mana-mana haiwan atau manusia sebelum ini.

Ini dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Omar. Menurut beliau, pada lazimnya, virus selesema babi H1N1 yang ditemui sebelum ini hanya mampu menyebabkan jangkitan yang ringan hingga sederhana pada salur pernafasan dan/atau paru-paru babi yang dijangkiti.

''Bagaimanapun virus tersebut (H1N1) berupaya menyebabkan kadar jangkitan tinggi yang boleh mencecah 100 peratus, meskipun kadar kematiannya adalah rendah," katanya.

Beliau berkata, manusia terutamanya pekerja di ladang babi yang dijangkiti dengan virus H1N1 boleh dijangkiti dengan virus ini, namun jangkitannya tidak berbahaya sekiranya tiada komplikasi.

Tanda klinikal yang kerap berlaku ekoran jangkitan virus selesema babi H1N1 pada manusia adalah demam, selesema, sakit tekak dan batuk selama beberapa hari.

Oleh kerana keupayaan tinggi virus selesema melakukan proses mutasi dan campuran genetik, langkah berjaga-jaga perlu diambil supaya ternakan seperti babi, ayam, itik dan spesies burung lain tidak dipelihara bersama.

Ini kerana ia boleh membawa kepada pembentukan virus selesema bersifat pandemik kepada manusia dan virus highly pathogenic avian influenza (HPAI) yang boleh menjangkiti ayam dan juga manusia.

Di samping itu, babi merupakan perumah unik yang boleh berfungsi sebagai mixing vessel bagi kemunculan virus selesema yang berupaya menyebabkan pandemik selesema manusia.

''Ini adalah kerana saluran pernafasan babi mempunyai reseptor bagi menyokong proses replikasi virus selesema dari babi, burung dan juga manusia," kata Dr Abdul Rahman.

Katanya, epidemik selesema dikenal pasti apabila berlakunya peningkatan kematian akibat daripada penyakit selesema dan juga kes radang paru-paru (pneumonia) secara mendadak.

Virus selesema pandemik manusia muncul apabila gen virus selesema haiwan sama ada daripada burung atau babi, yang sebelum ini tidak dijumpai pada manusia secara umum, bercantum dengan virus selesema manusia dalam cantuman genetik yang membolehkan virus campuran berupaya merebak dengan efisien dari manusia ke manusia.

Berdasarkan sejarah, virus selesema yang merebak ke seluruh dunia (pandemik) dan menyebabkan kematian yang tinggi berlaku sebanyak tiga kali (sekali setiap abad) sejak 1700 lagi.

Kata Dr. Abdul Rahman, dalam abad kedua puluh ini, sebanyak tiga virus selesema pandemik telah muncul dan menyebabkan pandemik besar iaitu virus selesema Sepanyol 1918 (1918 Spanish flu virus) yang disebabkan oleh virus H1N1, virus selesema Asia 1957 yang disebabkan oleh virus H2N2 dan virus selesema Hong Kong 1968 yang disebabkan oleh virus H3N2.

Pandemik selesema yang disebabkan oleh virus selesema Sepanyol yang berlaku pada tahun 1918 menyebabkan 50 juta manusia di seluruh dunia mati.

''Manakala, wabak pandemik kemudian yang dikesan pada 1957 jenis H2N2 dan pada 1968 jenis H3N2 telah membunuh lebih daripada satu juta manusia," kata beliau.

Strain (jenis) virus yang menyebabkan pandemik selesema pada tahun 1957 dan 1968 merupakan virus yang mula-mula muncul di Asia melalui proses campuran (reassorted) gen-gen di antara virus unggas (avian), babi dan virus selesema manusia.

Virus selesema yang menyebabkan pandemik selesema Sepanyol pada tahun 1918 muncul menerusi proses campuran virus selesema manusia H1N1 dan babi H1N1 serta kehadiran proses mutasi yang kerap ditemui dalam virus selesema burung.

Menurut beliau lagi, pencirian awal ke atas genom lengkap virus tersebut menunjukkan kemungkinan virus babi H1N1 strain baru ini mempunyai campuran genetik dari virus selesema yang berasal daripada unggas, babi dan juga manusia.

Jujukan nukleotida mengesahkan gen neuramidase (NA) dan matrik (M) virus selesema babi H1N1 ini berasal daripada virus selesema Eurasian manakala jujukan hemagglutinin (HA) berasal daripada virus babi Amerika Utara.

Dengan penemuan yang lebih banyak mengenai virus babi H1N1, penjujukkan genom virus tersebut serta kajian ke atas tahap jangkitan dan sebaran virus selesema tersebut di dalam babi dan manusia, lebih banyak maklumat akan diketahui berhubung dengan virus babi H1N1 yang sedang menular di beberapa negara di dunia.

WHO mengesahkan bahawa dadah anti-virus lama seperti amantadine dan rimantadine tidak berkesan untuk membunuh virus babi H1N1 tetapi ia berkesan terhadap dadah anti-viral baru seperti oseltamivir dan zanamivir.

Dijangkakan juga vaksin bermusim selesema yang ada sekarang tidak berupaya memberi pelindungan terhadap virus selesema babi H1N1. Ini adalah kerana virus selesema babi H1N1 yang ditemui ini mempunyai ciri-ciri genetik dan antigenik yang berlainan dengan vaksin selesema yang sedia ada.

Virus selesema babi H1N1 ini telah diasingkan dari pesakit di Mexico, Kanada, Sepanyol dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Beberapa negara lain seperti New Zealand, Perancis dan Israel telah mengesyaki kehadiran virus ini.

Dijangkakan juga lebih banyak negara akan mengesahkan kehadiran virus selesema H1N1 kerana virus ini berupaya merebak dari manusia ke manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyifatkan wabak selesema babi H1N1 yang sedang merebak ini boleh membawa kepada berlakunya ancaman kesihatan awam yang membimbangkan masyarakat antarabangsa.

Virus selesema babi H1N1 yang pertama diasingkan (dipencilkan) dari babi pada tahun 1930.

Sejak dari itu lebih daripada 100 virus selesema babi H1N1 telah dikenal pasti. Walaupun terdapat perbezaan genetik terhadap virus H1N1 tersebut, ia tidak menyebabkan jangkitan berbahaya yang boleh membunuh babi dan juga manusia seperti apa yang sedang berlaku di Mexico.

Di Malaysia, kehadiran virus H1N1 ini pernah dikesan secara tidak langsung menerusi kehadiran antibodi spesifik terhadap virus tersebut.

Kehadiran virus H1N1 tersebut dikesan menerusi suatu kajian pemantauan yang dijalankan menerusi projek kerjasama antara UPM dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada tahun 2005-2007.

Kajian tersebut mengambil lebih daripada 700 sampel sera dan cecair kerongkong telah di ambil daripada babi yang diternak secara komersial di Semenanjung Malaysia.

Menurut Dr. Abdul Rahman, hasil kajian menunjukkan sebanyak 12 peratus daripada babi tersebut didapati positif bagi antibodi terhadap virus H1N1.

Namun, ujian pengasingan virus dari sampel cecair kerongkong gagal mengenal pasti kehadiran virus babi H1N1.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Jumaat, Mei 01, 2009 | 0 ulasan

Blog Archives