Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Allah untuk Islam – Sultan

Written By JOM JALAN on 12/01/10 | Selasa, Januari 12, 2010

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my


SHAH ALAM 11 Jan. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak di negeri ini berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan pengunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa hari ini memberitahu, titah itu dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan baginda pada 5 Januari lalu.

Katanya, turut menghadap baginda ekoran isu pengunaan kalimah Allah oleh akhbar Herald-The Catholic Weekly ialah Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid; Ahli MAIS, Datuk Salehuddin Saidin; Setiausaha MAIS, Abdul Halem Hapiz Salihin serta Penasihat Undang-undang MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin di Istana Mestika di sini.

Menurut beliau, baginda memaklumkan pendiriannya mengenai perkara itu bertujuan memelihara akidah umat Islam serta menjaga keharmonian beragama setiap rakyat di Selangor.

“Dalam pertemuan itu, baginda menitahkan supaya isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dibincangkan dengan teliti oleh ahli-ahli MAIS.

“Sebagai Ketua Agama Islam negeri, baginda mahu semua peringkat berpegang teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat dan perbincangan dengan 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di masjid negeri di sini hari ini.

Mohamad Adzib berkata, Sultan Selangor turut meminta MAIS memaklumkan kepada rakyat tentang wujudnya undang-undang menghalang pengunaan kalimah Allah dalam agama bukan Islam.

Menurutnya, larangan itu termaktub dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan sejak 1988.

Malah, jelas beliau, larangan juga diputuskan Jawatankuasa Fatwa negeri pada 10 Jun 2008 yang memutuskan kalimah Allah khusus untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan atau dimasukkan dalam agama lain.

Ekoran keputusan jawatankuasa itu serta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang memutuskan larangan tersebut pada Mei 2008, beliau menegaskan, MAIS membuat 14 ketetapan berhubung isu tersebut.

Menurutnya, antara ketetapan itu ialah istilah Allah bermaksud Tuhan Yang Maha Esa dan berlainan dengan maksud God dalam agama Kristian yang berkonsepkan Triniti (tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus).

“Jika kalimah Allah dibenar digunakan dalam ajaran Kristian, ia mendatangkan pelbagai implikasi membahayakan umat Islam pada masa depan kerana ia mengelirukan,” katanya.

Selain itu, Mohamad Adzib berkata, MAIS berpendirian keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan menetapkan Islam agama rasmi Persekutuan dan keputusan itu juga bertentangan dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang digubal berasaskan Perkara 11(4) Perlembagaan negara, katanya.

Beliau menegaskan, penggunaan kalimah Allah bagi merujuk agama bukan Islam tidak wajar dibicarakan di mahkamah kerana institusi itu bukan forum sesuai membincangkannya memandangkan ia perkara ‘non-justiciable’ di bawah bidang kuasa raja-raja Melayu.

Beliau turut memohon campur tangan Majlis Raja-raja selaku Ketua Agama Islam negeri-negeri selaras sumpah raja-raja Melayu untuk mempertahankan Islam pada setiap masa.

“Selain itu ialah mendesak Kerajaan Persekutuan menetapkan kes-kes berkaitan agama Islam tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Sivil terutama melibatkan Hakim bukan Islam,” katanya.

Sumber: Utusan untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.
Selasa, Januari 12, 2010 | 0 ulasan

Penggunaan kalimah Allah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


SEMINGGU dua ini, negara amnya dan masyarakat Islam khasnya hangat membicarakan tentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama selain Islam. Ruangan ini turut terpanggil untuk cuba menjernihkan fahaman dalam isu ini.

Terutama apabila ada juga tokoh dan individu Islam yang mengeluarkan pandangan mempertahankan keputusan mahkamah tinggi baru-baru ini yang membenarkan satu penerbitan Kristian Katholik untuk menggunakan kalimah Allah.

Apabila menimbangkan boleh atau tidak sesuatu itu dilakukan di sisi Islam, kaedah syarak menuntut kita mengenal-pasti hukum asal perkara tersebut serta turut memahami realiti sebenar atau situasi yang melatari sesuatu perbuatan atau isu.

Dalam ruang yang terbatas ini, kami akan membentangkan beberapa hujah di sebalik pandangan yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama-agama selain Islam.

Di dalam al-Quran sendiri terdapat beberapa ayat yang membawa larangan dan peringatan tentang menyalah-gunakan nama Allah.

Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadanya. Adakah engkau mengetahui sesiapa pun yang senama dan sebanding dengan-Nya? (Maryam: 65)

Ayat ini ditafsirkan oleh para ulama dengan beberapa tafsiran:

lDi dalam kitab Tafsir Hadaiq al Rauh wa al Raihan H: 187 ayat ini ditafsirkan dengan maksud: Adakah kamu mengetahui, wahai Muhammad! Bagi Tuhan Yang Maha Suci ada perkongsian pada namaNya (pada menamakan-Nya dengan lafaz al Jalalah atau dengan Tuhan tujuh petala langit dan bumi. Ayat istifham (soalan) ini didatangkan dengan tujuan ingkar, iaitu maknanya: Sesungguhnya Allah itu tidak ada baginya misal atau bandingan sehingga Dia boleh disekutukan dalam ibadah dan dari sini akan melazimkan nama ini tidak khusus bagi Allah. Apabila ternafinya sekutu bagi Allah, maka layaklah Allah itu di-Esakan dalam ibadah dan dikhususkan baginya.

lPendapat kedua mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui seseorang yang dinamakan dengan Allah selain Allah. Atau, nama yang lain dari nama yang Allah sendiri namakan bagi diri-Nya.

lPendapat ketiga mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui seseorang yang layak dengan kesempurnaan nama-nama dan sifat-sifat yang layak bagi Allah.

lPendapat keempat mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui nama yang lebih agung daripada nama yang unggul ini. Atau, nama-Nya diterbitkan dari sesuatu seperti nama-nama makhluk-Nya.

Sesungguhnya Allah itu tiada satu pun yang menyerupai-Nya. Ia adalah nama yang hanya menunjukkan kepada Zat Tuhan yang tertegak pada-Nya sifat-sifat.

Sama seperti isim alam yang lain yang menunjukkan kepada apa yang dinamakan tanpa diambil daripada mana-mana nama. Ia adalah nama yang diungguli oleh Allah, yang dikhususkan bagi diri-Nya dan disifatkan bagi Zat-Nya.

Ia didahulukan dari nama-nama-Nya yang lain dan nama-nama-Nya yang lain bersandar kepada nama ini dan semua nama yang datang selepasnya adalah sifat bagi-Nya dan bersangkutan dengannya.

Nama-nama Allah

Nama-nama Allah SWT yang lain disifatkan sebagai nama-nama Allah SWT yang lain dan kebiasaannya hanya dikenali dengan disandarkan kepadanya (Allah).

Oleh itu disebut, ia adalah nama-nama Allah dan tidak disebut ia adalah nama-nama al Sabur, al Ghafur, al Jabbar dan sebagainya.

Demikian juga keIslaman seseorang itu tidak akan sempurna melainkan dengan menyebut nama yang satu ini. Ia tidak menerima sebarang gantian dan tidak disebut nama gantiannya yang lain.

Misalnya dengan mengucapkan dalam syahadah dengan kalimah, "Tiada Tuhan melainkan al Ghaffar, atau al Rahim atau al Jabbar dan sebagainya.

Hanya yang digunakan dan disebut adalah, "Tiada Tuhan melainkan Allah". Inilah juga yang disebut oleh al-Quran dan hadis kerana ia adalah nama yang paling menunjukkan kepada hakikat makna Ilahiyyah dan dikhususkan baginya.

Ia juga adalah nama yang tidak memerlukan kepada nama-nama yang lain untuk diperkenalkan tetapi nama-nama yang lain itu dikenali dengan disandarkan kepadanya.

Perkataan Allah itu sudah mencukupi bagi pertuturan dan zikir (sebutan) tanpa perlu disifatkan dan di takhalluq (disifatkan manusia dengan sifat-Nya).

Allah telah menegaskan di dalam Kitabnya yang mulia: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan. (al-A'raaf: 180)

Berdasarkan ayat di atas, terdapat beberapa pendapat ulama tentang maksud mulhid:

Berkata Mujahid: Mulhid ialah orang yang menamakan Allah sebagai bapa dan berhala-berhala mereka sebagai tuhan-tuhan dan seumpamanya.

Berkata Ibnu Abbas makna (Yulhidun) ialah mendustai.

Berkata Qatadah: Maknanya mensyirikkan Allah.

Berkata al Khattabi: Salah dalam menamakan Allah dan menyimpang dari nama-Nya yang sebenar adalah Mulhid. (Al Bahr al Muhit fi al Tafsir jld 5 H: 232)

Maksud ayat ini, Allah Yang Maha Suci, bukan yang lain-Nya, mempunyai nama-nama yang sebaik-baiknya dan seagung-agungnya bagi menunjukkan kepada sebaik-baik dan semulia-mulia nama-Nya.

Merujuk kepada ayat-ayat di atas, kita boleh menyimpulkan bahawa nama-nama Allah, apatah lagi kalimah Allah itu sendiri sebagai nama yang khusus bagi Allah SWT bukanlah boleh digunakan sewenang-wenangnya dan tanpa batasan.

Pelbagai hujah lain yang mendokong larangan penggunaan kalimah Allah ini datangnya dari pelbagai sudut termasuk bahasa, falsafah dan seumpamanya.

Oleh kerana kesuntukan ruang, kami mengesyorkan dua tulisan yang memuatkan hujah-hujah ini secara lebih panjang.

Ia boleh didapati dengan mudah di Internet iaitu makalah bertajuk 'Antara Nama dan Hakikat' oleh Md. Asham Ahmad serta makalah 'Hujah Menolak Penggunaan Kalimah Allah oleh Kristian' oleh Mohd. Aizam Mas'od.

'Bermain'

'Bermain' hujah dan dalil berkaitan isu ini sebenarnya bukanlah urusan orang awam dan mereka yang bukan berkeahlian.

Oleh itu kita harus bersyukur kerana sebenarnya sudah ada suatu keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam isu ini yang bertarikh 7 Mei 2008.

Keputusan fatwa ini jelas mengkhususkan penggunaan kalimah Allah bagi orang Islam. Kami dimaklumkan bahawa hanya empat negeri sahaja yang belum mewartakan keputusan fatwa ini sebagai fatwa rasmi negeri.

Perlu juga diingat bahawa terdapat beberapa keputusan Kabinet mengenai larangan yang sama.

Dari segi undang-undang perlembagaan dan sivil pula, Perkara 11(4) telah membolehkan negeri-negeri di Malaysia meluluskan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama di kalangan orang Islam.

Undang-undang yang telah diluluskan di 10 negeri ini jelas melarang penggunaan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain oleh agama selain Islam.

Kita tidak menafikan bahawa mungkin masih ada perbezaan pandangan di kalangan segelintir para ulama dan ilmuwan Islam tentang hal ini.

Namun bukankah hujah-hujah yang melarangnya seperti yang sebahagiannya kami nukilkan di sini menuntut kita lebih berhati-hati dan berwaspada dalam isu ini?

Apatah lagi jika diinsafi bahawa kita sekarang bukannya membicarakan isu-isu cabangan dalam agama yang lebih rendah kedudukannya.

Isu yang kita bahaskan ini melibatkan adab kita dengan Allah Rabbul Jalil.

Jika kita tidak berhati-hati kita boleh tergelincir hingga berlaku kurang beradab dan hormat kepada Allah, Tuhan sekelian alam.

Rasulullah SAW ada berpesan dalam suatu hadis yang dianggap antara hadis-hadis induk dalam Islam bahawa, Perkara yang Halal itu jelas dan perkara yang haram itu jelas. Dan di antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang Syubhah yang tidak diketahui hakikatnya oleh kebanyakan manusia. Dan sesiapa yang menjauhi perkara Syubhah maka dia telah benar-benar menjaga kesucian agamanya dan maruahnya. Seumpama pengembala yang membawa ternaknya ke sempadan kawasan larangan. Sangat dibimbangi akan termasuk ke dalamnya. (riwayat Imam Bukhari dan selainnya serta termasuk dalam himpunan Hadis 40 oleh Imam al-Nawawi)

Lalu kita ingin tanyakan, bukankah dalam isu ini yang melibatkan hak dan adab dengan Allah SWT kita lebih-lebih wajar menjauhi batas-batas syubhat kalaupun ada di kalangan kita tidak meyakini pengharamannya secara pasti?

Berasaskan semangat ini dan berbekalkan fatwa, undang-undang dan keputusan yang sedia ada marilah kita sekalian umat Islam di Malaysia mempersatukan saf dalam mengambil pendirian dalam hal ini.

Maslahah ummah amat jelas memerlukan sikap ini sedangkan maslahah untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi agama yang lain dalam konteks Malaysia sangatlah kabur dan rapuh.

Umat Islam yang cintakan kesepaduan dan kekuatan ummah seharusnya mengenepikan perbezaan pandangan yang terlalu akademik dalam isu ini dan mengutamakan perkiraan maslahah ini.

Semoga Allah SWT membuka jalan penyelesaian dan keselamatan bagi kita semua dalam menghadapi persoalan ini. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Sumber: Utusan untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.
Selasa, Januari 12, 2010 | 0 ulasan

Mantapkan penghujahan isu kalimah Allah



serius... ahli panel menyampaikan hujah masing-masing di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, baru-baru ini.


Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia ada hak dalam Perlembagaan pada 31 Disember 2009 mencetuskan kemarahan masyarakat Islam.
Sebabnya, keputusan itu dilihat akan mengelirukan masyarakat majmuk seperti Malaysia. Apatah lagi, kalimah Allah itu telah sekian lama hanya digunakan oleh umat Islam.
Antara alasan paling kuat mengapa keputusan itu ditentang adalah para penganut agama lain perlu menghormati penggunaan kalimah Allah yang merupakan lafaz jalalah iaitu gelaran tertinggi dan paling mulia yang digunakan umat Islam untuk merujuk kepada Allah.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke 82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 turut memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
Sememangnya umat Islam membantah keputusan itu tetapi bantahan sahaja tidak menyelesaikan masalah. Ia perlu disusuli dengan tindakan perundangan supaya isu ini diselesaikan sekali dan selama-lamanya.
Namun, dalam undang-undang hujah dari segi agama tidak mendapat perhatian hakim kerana keputusan penghakiman dibuat tertumpu kepada alasan-alasan perundangan.
Demikian ditegaskan oleh Fellow Kanan Jabatan Syariah dan Undang-undang Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob.
Katanya, walaupun keputusan hakim itu menimbulkan rasa kurang senang dan bantahan majoriti umat Islam, Mahkamah Sivil tidak terikat dengan apa-apa fatwa.
Menurut beliau, mahkamah juga tidak menimbangkan apa dukacita akibat keputusan penghakimannya yang dibuat.
"Ia hanya terikat dengan penghakiman mahkamah yang lebih tinggi daripadanya. Dalam kes sivil ini pula, Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa menafsirkan Perlembagaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Ilmiah 'Isu Kalimah Allah' di Galeri Ilmu API, UM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dua lagi ahli panel ialah pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan APIUM, Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin dan pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam (JSTI) APIUM, Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Ibrahim.
Forum anjuran JSTI APIUM itu mendapat sambutan hangat apabila ramai yang terpaksa berdiri selepas kira-kira 200 ruang kerusi yang disediakan penuh.
Hadir sama ialah Pengarah APIUM, Prof. Dr. Ahmad Hidayat Buang dan Ketua JSTI, Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor.
Menurut Monir, apa yang perlu dilakukan kini adalah mempersiapkan hujah-hujah yang kukuh apabila di Mahkamah Rayuan kelak.
Katanya, para peguam yang berkenaan perlu mengemukakan hujah sejauh mana boleh berlaku kesilapan hakim dalam kes ini.
"Yang penting dalam mahkamah adalah kekuatan hujah bukannya siapa yang menjadi hakim. Sebabnya institusi kehakiman itu perlu adil," jelas beliau.
Sementara itu, Ab. Aziz berkata, memang golongan bukan Islam pernah mengguna kalimah Allah sebagai mana dinyatakan dalam al-Quran.
Antaranya dalam ayat 73 surah al-Maaidah yang bermaksud: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah adalah salah satu daripada tiga tuhan, padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan tuhan yang Maha Esa.
Demikian juga dalam ayat 18 surah al-Maaidah yang bermaksud: Orang Yahudi dan Nasrani berkata: Kami adalah anak-anak Allah dan sangat-sangat disayangi-Nya...
Namun, tegas beliau, penggunaan nama Allah oleh golongan kafir itu terbahagi kepada dua tempat.
"Pertama, mengiktiraf dengan sifat Allah dan kedua, membuat tuduhan atau salah percaya terhadap Allah.
"Kebimbangan kita adalah penggunaan kalimah Allah ini hanya untuk tempat kedua iaitu fahaman yang silap terhadap Allah," katanya.
Ab. Aziz turut mempersoalkan tujuan akhbar tersebut menggunakan kalimah Allah kerana yang nyata ia mudah mengelirukan umat Islam yang baru mengenali agama suci ini.
Katanya, apabila kalimah Allah itu sama diguna pakai oleh kristian, jadi ia tidak terasa asing atau pelik.
"Jadi ia mudah diterima dan mungkin juga agenda tersembunyi untuk mengelabui mata umat Islam.
"Kalimah ini disukai kerana ia ada tarikan dan akan memerangkap golongan yang lemah pengetahuan Islam mereka," jelasnya.
Pada masa yang sama, kata Ab. Aziz, apa yang berlaku sekarang memberi peluang kepada para pendakwah berperanan lebih besar memberi penjelasan tentang isu tersebut.
"Masyarakat Islam juga perlu diberi perhatian supaya kelemahan penghayatan boleh diatasi," kata beliau.
Seorang lagi ahli panel, Ahmad Zaki berkata, isu tersebut perlu dilihat daripada sudut negatif dan positifnya.
Katanya, walaupun bukan Islam sudah menggunakan perkataan Allah sebelum ini tetapi yang selalu digunakan adalah Rabb (tuhan).
Menurut beliau, penggunaan kalimah Allah oleh orang Arab musyrik pula adalah dalam bacaan sembahyang mereka.
"Cuma kalau keputusan Mahkamah Rayuan kelak tidak memihak kepada kita, tindakan balas kita adalah penting.
"Kita perlu membuat persediaan termasuk dalam kurikulum di sekolah supaya anak-anak Muslim tidak mudah terpesong atau dikelirukan dengan penggunaan kalimah ini," tegasnya.

Sumber: Utusan untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.
Selasa, Januari 12, 2010 | 0 ulasan

Tiga penjahat ganas Indonesia ditembak mati




ZULKIFLI (dua dari kiri) memberitahu sidang akhbar mengenai kejayaan polis menembak mati tiga penjenayah warga Indonesia di Taman Farmasi, Seri Iskandar kelmarin.


IPOH - Tiga daripada empat penjenayah warga Indonesia mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan di Taman Farmasi, Seri Iskandar dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 7.15 petang itu, tiga penjenayah yang bersenjatakan pistol dan parang mati di tempat kejadian manakala seorang lagi dapat menghilangkan diri.
Sebelum kejadian, pasukan polis yang membuat rondaan di sekitar Seri Iskandar terserempak dengan sebuah kereta Honda Civic yang dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.
"Apabila polis menahan kereta itu, kenderaan tersebut bukan sahaja tidak berhenti malah bertindak melanggar dua buah kereta peronda polis sehingga rosak teruk," kata Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah di sini semalam.

Sumber: Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.
Selasa, Januari 12, 2010 | 0 ulasan

Bantah guna kalimah Allah

Written By JOM JALAN on 2/01/10 | Sabtu, Januari 02, 2010

Sekumpulan ahli daripada 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di hadapan Masjid Wilayah Persekutuan hari ini bagi membantah keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Mereka berkumpul selepas solat Jumaat dengan membawa sepanduk yang menentang keputusan berkenaan.

Antara NGO yang mengambil bahagian adalah Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Negeri Perlis, Selangor dan Perak, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dan Alumni UMNO Luar Negara.

Yang Dipertua Perkasa Negeri Perlis, Ameir Hassan berkata, sebagai orang Melayu beragama Islam yang sekian lama menggunakan kalimah Allah, mereka berasa tercabar dengan keputusan itu.

Sumber: Utusan untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.
Sabtu, Januari 02, 2010 | 0 ulasan

Majlis fatwa perlu segera bertindak

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Majlis Fatwa Kebangsaan digesa segera bermesyuarat bagi memutuskan kekeliruan berhubung keputusan mahkamah membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, fatwa khusus perlu segera diwartakan bertujuan menghalang pihak tertentu mengeluarkan pendapat berbeza tanpa mengira sensitiviti agama Islam.

Menurut beliau, kerajaan juga perlu segera menggubal dan melaksanakan Akta Sekatan Pengembangan dan Dakyah Agama Lain ke atas orang Islam di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak kerana negeri-negeri lain sudah lama melaksanakannya.

"Mengapa empat negeri ini masih belum melaksanakannya? Sekiranya akta tersebut wujud, sudah tentu keadaan akan berbeza kerana akan menjadi suatu kesalahan jenayah jika menggunakan perkataan Allah untuk tujuan selain Islam sebagaimana yang diperuntukkan di negeri-negeri lain.

"Sistem perundangan kita juga perlu dikaji semula terutama dalam isu-isu yang membabitkan hal ehwal Islam termasuk perundangan dan syariatnya perlu dirujuk dan dibicarakan di Mahkamah Syariah," katanya dalam blog zul4kulim.blogspot.com di sini hari ini.

Tambah Zulkifli, kes itu seperti mengulang kes Natrah apabila kewibawaan dan kemuliaan agama Islam dicabar dan pada masa itu alasannya adalah kerana negara diperintah oleh British.

"Tapi apakah alasan sama kita boleh gunakan sekarang. Dalam keadaan kita memerintah, dalam keadaan umat Islam menguasai 135 kerusi Parlimen yang walaupun bukan dua pertiga tetapi merupakan majoriti mutlak.

"Ia sepatutnya membolehkan kita menentukan hala tuju agama Islam dan membela serta mempertahankan maruah agama kita," katanya.

Sumber: Utusan untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.
Sabtu, Januari 02, 2010 | 0 ulasan

Segera buat rayuan terhadap keputusan mahkamah

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Puteri UMNO menggesa pihak bertanggungjawab supaya segera merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (gambar) berkata, ia perlu dilakukan bagi mengelakkan insiden-insiden yang boleh mengguris hati dan perasaan umat Islam berulang.

"Kita memang sedih dengan apa yang berlaku. Ini membuktikan bahawa begitu mudah agama dan nama tuhan kita diperlekeh dan dipermainkan oleh pihak tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Kembali Ke Sekolah (Back To School) anjuran Puteri UMNO di sini hari ini.

Rosnah diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi itu yang dibuat berdasarkan alasan Gereja Katholik selaku pemohon mempunyai hak berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata, lebih banyak insiden sedemikian dikhuatiri akan berlaku sekiranya tiada sebarang tindakan untuk mempertahankan Islam dilakukan.

"Selepas ini mungkin pihak lain pula yang akan mencetuskan insiden yang mampu mencabul agama Islam itu sendiri jika tiada tindakan dibuat," katanya.

Menurutnya, Puteri UMNO juga akan mengkaji dan melihat usaha-usaha yang boleh diambil bagi membantu mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut.

Sumber: Utusan untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.
Sabtu, Januari 02, 2010 | 0 ulasan

Rujuk hal ehwal Islam kepada raja Melayu

PUTRAJAYA 1 Jan. - Umat Islam dikhuatiri sudah tiada tempat berlindung jika kuasa menteri dan raja-raja Melayu yang menjaga hal ehwal berkaitan Islam boleh dicabar sewenang-wenangnya di mahkamah.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia, Mohd. Jurit Ramli berkata, sepatutnya isu-isu yang melibatkan agama Islam harus dirujuk terus kepada raja-raja Melayu kerana ia melibatkan maruah dan kesucian Islam.

Tegasnya, jika ini tidak dilakukan sekarang, kemungkinan akan ada lagi isu-isu berbangkit pada masa akan datang melibatkan Islam sebagai agama rasmi negara.

''Gabungan NGO Malaysia menghormati keputusan mahkamah semalam berhubung dengan penggunaan perkataan Allah dalam institusi gereja di Malaysia.

''Namun pihak kami mengharapkan rayuan dibuat segera bagi mengelakkan tanggapan negatif masyarakat Islam terhadap isu ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam perlembagaan.

Mohd. Jurit berkata, penjelasan tepat harus dibuat bahawa perkataan Allah begitu tinggi di sisi Islam serta tidak boleh dibuat bahan jenaka dan diputar belit sehingga mengelirukan orang Islam dan bukan Islam.

Tegas beliau: ''Apa yang akan berlaku jika selepas ini perkataan Allah dicetak di kasut, tandas dan pada tempat-tempat hiburan serta lain-lain yang kami sendiri tidak mampu terangkan lagi?

''Bagaimana jika dilarang, tiba-tiba mereka bawa isu itu ke mahkamah?"

Sumber: Utusan untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.
Sabtu, Januari 02, 2010 | 0 ulasan

Kalimah Allah eksklusif untuk Islam - PUM

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Penggunaan kalimah Allah adalah eksklusif untuk agama Islam sahaja kerana ia sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Quran dan langsung tidak terdapat dalam kitab agama lain.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, keputusan mahkamah membenarkan kalimah itu digunakan oleh agama lain adalah satu tragedi dan hadiah paling tidak berharga kepada umat Islam sempena tahun baru.

Tegasnya, kalimah Allah bukan sesuatu yang boleh dipermainkan tambahan pula jika digunakan oleh penganut agama lain kerana boleh menyentuh sensitiviti umat Islam bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.

''Walaupun terpaksa menerima keputusan mahkamah dengan berat hati tetapi kami menyifatkannya sebagai tragedi.

"Kalimah Allah merupakan sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Quran yang pada setiap masa tanpa sebarang kompromi tidak boleh dikongsi oleh mana-mana pihak selain penganut Islam.

''Ia tiada dalam 'kamus' agama lain dan jika masih ingin digunakan, ia membawa maksud untuk mempermain-mainkan kesucian kalimah ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sheikh Abdul Halim turut mempertikaikan tindakan KDN sebelum ini yang membenarkan penggunaan perkataan Allah itu tanpa terlebih dahulu merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam dalam membuat keputusan.

Sehubungan itu katanya, PUM mendesak kerajaan supaya menjernihkan perkara itu kerana sensitiviti agama bukannya hak persatuan itu sahaja tetapi turut membabitkan kepentingan umat Islam di negara ini yang merupakan kumpulan majoriti.

Sementara itu, Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid menegaskan masalah itu berpunca daripada sikap umat Islam sendiri.

Katanya, perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini menyebabkan penganut agama lain secara terang-terangan berani mengambil kesempatan daripada kelemahan itu.

"Jika pemimpin politik yang berkuasa dan mempunyai pengaruh masih lagi tidak sedar dan insaf, kebarangkalian pada masa akan datang penganut agama lain untuk terus mengambil kesempatan adalah terlalu besar.

"Tidak mustahil akan ada lagi beberapa kejutan besar dan semuanya berpunca daripada kelemahan kita sendiri yang terlalu sibuk berpolitik. Fikir, renung dan muhasabah diri sendiri jangan sampai maruah agama terus tergadai," katanya.

Mahmood Zuhdi seterusnya menggesa kerajaan supaya menggunakan peruntukan kuasa-kuasa pentadbiran legislatif dan eksekutif bagi merungkai ketegangan ini.

Ini kerana katanya, jika dibiarkan berlanjutan ia dikhuatiri boleh mengundang musibah yang akhirnya sukar untuk ditangani apabila isu tersebut menjadi terlalu serius.

"Pandangan saya ini bukan bermakna umat Islam tidak menghormati keputusan mahkamah, kita terima dan akur sebagai menghormati keluhuran undang-undang tetapi dengan perasaan penuh dukacita dan sedih," katanya.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula dalam satu kenyataan membantah keputusan mahkamah itu dan menggesa KDN supaya segera memfailkan rayuan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Ma'amor Osman berkata, pihaknya bimbang keputusan itu boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara akibat sentimen beragama umat Islam yang amat sensitif terhadap perkara yang menyentuh soal kepercayaan mereka.

"PPIM hairan mengapa kini baru ditimbulkan soal merujuk tuhan agama Kristian sebagai Allah. Selama ini tuhan yang mereka sembah itu hanya dirujuk di dalam kitab suci mereka sebagai Lord sahaja.

"Kita percaya penerbitan itu mempunyai agenda tertentu apabila mahu menggunakan kalimah Allah dan sudah tentu ia bukan sesuatu yang baik untuk semua pihak termasuk penganut agama Kristian kerana tiada siapa yang beruntung jika rusuhan agama berlaku," ujarnya

Sumber: Utusan untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.
Sabtu, Januari 02, 2010 | 0 ulasan