KUALA LUMPUR 12 Sept. – Pada saat umat Islam membuat persiapan menyambut kedatangan 1 Ramadan, penduduk di sekitar rantau Asia Tenggara dan Lautan Hindi digemparkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter di Bengkulu, Sumatera Selatan, Indonesia malam ini.
Gempa bumi pada pukul 7.10 malam yang berpusat di Kepulauan Mentawai di selatan Sumatera itu menggegarkan kebanyakan negara di rantau ini termasuk Malaysia, Singapura dan Thailand sehingga menyebabkan penduduk yang tinggal berhampiran pantai di negara-negara itu cemas melarikan diri ke tempat selamat.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan gegaran yang berlaku pada pukul 6.10 petang waktu Indonesia itu berpusat pada kedalaman 15.6 kilometer di bawah dasar laut Kepulauan Mentawai yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Bengkulu.
Kekuatan gempa tersebut direkodkan sebagai 8.2 pada skala Richter USGS dan Agensi Meteorologi Jepun, tetapi hanya 7.9 pada skala alat pengesan gempa pihak berkuasa Indonesia.
Amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi itu bagi negara-negara di kawasan Lautan Hindi, bagaimanapun, ditarik balik apabila ombak gergasi yang dikesan di perairan Padang, Sumatera tidak membahayakan dengan ketinggian yang dicatatkan hanya antara satu hingga tiga meter.
Agensi Meteorologi Indonesia menyatakan ancaman tsunami berakhir selepas dua jam gempa bumi itu berlaku.
Tsunami yang melanda wilayah Aceh, juga di Sumatera, pada Disember 2004 akibat gempa bumi berukuran 9.15 pada skala Richter telah mengorbankan 132,000 nyawa selain 37,000 orang dilaporkan hilang.
Dalam gempa hari ini, antara kawasan yang terjejas teruk ialah wilayah Bengkulu, Sumatera Barat, sebahagian wilayah Riau manakala daerah Lampung terputus bekalan elektrik dan telefon.
Malam ini, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengisytiharkan darurat bagi Bengkulu dan Sumatera Barat.
Sehingga pukul 11 malam ini, tujuh orang dilaporkan terbunuh di Bengkulu manakala beberapa orang lagi turut mengalami nasib yang sama di Padang apabila beberapa buah bangunan termasuk sebuah pusat beli-belah yang padat pengunjung terbakar akibat litar pintas ekoran gempa yang berlaku.
Sehingga kini perhubungan ke kepulauan Mentawai terputus akibat gempa tersebut, menyebabkan berita mengenai jumlah kemalangan jiwa atau kemusnahan harta benda dari kawasan berkenaan tidak dapat diperoleh.
Bagaimanapun, laporan tidak rasmi menyebut bahawa kepulauan berkenaan musnah teruk akibat bencana alam itu dan penduduk yang terselamat melarikan diri ke kawasan tinggi untuk mengelakkan ancaman tsunami.
Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia sedang bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang terperangkap di celah-celah runtuhan bangunan khususnya di kawasan pesisir pantai di empat wilayah berkenaan.
Sebahagian penduduk pula terpaksa menggunakan lilin untuk meneruskan sembahyang tarawih sempena Ramadan yang bermula malam ini.
Selepas gempa di Kepulauan Mentawai, tidak lama kemudian Sumatera sekali lagi digegarkan dengan gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter yang berlaku 113 kilometer di barat daya bandar Jambi dan gempa susulan berukuran 6.6 pada skala Richter di Bengkulu.
Gegaran itu turut dirasai hingga ke Pulau Nias di bahagian barat Sumatera Utara, Bukit Tinggi, Pekan Baru, Palembang dan Jambi serta sebahagian besar Jawa Barat termasuk kota Jakarta dan Bandung.
Dalam pada itu, wakil Utusan Malaysia di Jakarta, Sopha Sulaiman melaporkan beberapa bangunan tinggi di Jakarta yang terletak 600 kilometer dari pusat gempa turut bergoyang selama beberapa minit mengakibatkan orang ramai bergegas menuruni tangga untuk menyelamatkan diri dan berkumpul di tanah lapang.
Stesen-stesen televisyen MetroTV dan SCTV melaporkan, gempa yang berlaku beberapa saat itu menyebabkan beberapa rumah runtuh dan retak.
Suasana kelam kabut itu juga berlaku di beberapa buah hospital hingga para pesakit dibawa keluar dari wad, sementara warga di bandar Bengkulu berkumpul di depan rumah kerana bimbangkan berlaku gempa kali kedua.
Gegaran akibat gempa malam ini dilaporkan tidak sekuat gempa yang berlaku di barat laut Indramayu, bahagian utara Pulau Jawa, yang berukuran 7.5 skala Richter pada 9 Ogos lalu.
Namun demikian penduduk dan pekerja pejabat yang tinggal di bangunan tinggi di Jakarta bergegas turun melalui lif dan tangga kecemasan setelah terasa goyangan yang kuat.
Sementara itu, pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Andalas, Padang memaklumkan mereka berada dalam keadaan selamat dan tidak meninggalkan kediaman masing-masing memandangkan kawasan gempa itu terletak kira-kira 700 kilometer dari Bengkulu.
Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Jakarta, Dr. Junaidi Abu Bakar menjelaskan, beliau telah menghubungi para pelajar perubatan Malaysia di Padang selepas gempa itu berlaku dan meminta mereka berkumpul di hospital yang telah ditetapkan jika perlu.
“Terdapat kira-kira 270 pelajar Malaysia di Padang. Tiada pelajar kita menuntut di Bengkulu,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, pihak Kedutaan Malaysia telah membuat persiapan dan meminta para pelajar itu mengambil langkah-langkah keselamatan sekiranya gempa berlaku.
“Ibu bapa pelajar kita di Malaysia tidak perlu risau kerana kedutaan kita sentiasa menghubungi mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya lagi.
Gempa bumi terakhir berlaku di Jawa Timur pada pukul 1.36 pagi tiga hari lalu yang berukuran 4.9 pada skala Richter. Gegaran itu menyebabkan berpuluh buah rumah mengalami kerosakan dan ranap walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, Perkhidmatan Maklumat Lautan Kebangsaan India turut mengeluarkan amaran tsunami untuk Pulau Andaman dan Nicobar tetapi tiada sebarang amaran dikeluarkan untuk tanah besar. []