BN kena utama khidmat berterusan, lebih prihatin pikat semula rakyat
POLITIK negara mencatat sejarah besar selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 diperoleh pagi semalam. Ramai rakyat, walaupun mereka yang inginkan perubahan - terpaku dan bagai tidak percaya apabila keputusan tidak rasmi mula diketahui pada awal malam.
Suara terkejut, gembira, sedih dan wajah tidak percaya bersilih berganti, setiap kali keputusan baru diperoleh, kemudian sehingga berlarutan ke waktu subuh.
Ternyata suara rakyat adalah suara keramat. Pilihan raya kali ini menyaksikan rakyat membuatkan keputusan untuk memilih orang yang mereka percaya boleh menjadi wakil dalam menyuarakan pendapat, keperluan serta rintihan mereka di gelanggang politik, bukannya memilih pemimpin yang gemar disanjung dan ‘dikejar’, sebelum bantuan diberi.
Barisan Nasional (BN) masih disayangi dan dipercayai untuk meneruskan rekod kemajuan pembangunan yang memang cemerlang sejak 50 tahun lalu. Bagaimanapun, rakyat berasa sudah tiba masanya setiap projek dan program pembangunan yang dirancang, polisi yang digariskan diberi perhatian yang lebih telus bagi mencipta ‘check and balance’.
Kuasa besar yang diberi kepada BN sejak negara merdeka 50 tahun lalu, hari ini memulakan anjakan paradigma paling bersejarah untuk membolehkan negara ini berkembang dengan lebih adil dan saksama bagi tempoh 50 tahun akan datang.
Rakyat membuat keputusan untuk memberi kuasa yang lebih sedikit kepada parti pembangkang bagi menjadi kumpulan pemantau lebih serius, dengan harapan arus globalisasi yang semakin menyesakkan kantung ekonomi rakyat terbanyak dapat dilonggarkan dan agihan kekayaan lebih adil dapat dilaksanakan - bukan saja kepada golongan perniagaan dan yang miskin, bahkan turut membabitkan rakyat kelas pertengahan yang kini menjadi majoriti rakyat Malaysia.
Ironinya, parti pembangkang utama iaitu Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini tidak lagi menjadi pembangkang di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor selepas berjaya membentuk kerajaan negeri.
Selama 18 tahun lalu, Kelantan adalah satu-satunya negeri yang dikuasai Pas dan Terengganu turut berada di bawah pentadbiran parti itu selama sepenggal selepas Pilihan Raya Umum 1999.
Pada pilihan raya kali ini, Pas bukan saja terus mendapat mandat rakyat Kelantan, bahkan BN turut kehilangan beberapa negeri.
Dengan kemenangan di 38 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Pas akan terus menguasai Kelantan bagi tempoh lima tahun akan datang, tetapi sama ada jawatan Menteri Besar terus dipegang Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat atau diserah kepada anak didiknya, Datuk Husam Musa yang juga Naib Presiden Pas.
Gandingan Pas, PKR dan DAP di Kedah turut mengubah landskap politik negeri jelapang padi itu kerana kemenangan 21 kerusi DUN memberikan mereka peluang membentuk kerajaan campuran.
Di Kedah, persaingan sengit menyaksikan Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Paduka Abu Bakar Taib, Datuk Mohd Johari Baharum dan Datuk Chor Chee Heung, menyelamatkan maruah BN di negeri itu.
Semalam, Pesuruhjaya Pas Kedah, Azizan Abdul Razak mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru. Pemilihan beliau berdasarkan kedudukan Pas yang memenangi paling banyak kerusi berbanding dua lagi parti pembangkang iaitu DAP dan PKR.
Perang yang diisytihar DAP ke atas Pulau Pinang menggegarkan pemimpin Gerakan. Pemangku Presidennya, Tan Sri Koh Tsu Koon, dilihat sebagai ‘pengecut’ apabila membuat keputusan untuk tidak bertanding pada peringkat DUN, sebaliknya memilih kerusi Parlimen Batu Kawan.
Tindakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang selama 18 tahun itu, bukan saja membawa padah kepada dirinya apabila tewas teruk di tangan calon DAP, Dr P Ramasamy, bahkan Pulau Mutiara turut tergadai ke tangan DAP.
Gandingan DAP dan PKR memberikan pembangkang 29 kerusi DUN, berbanding BN yang hanya menang 11 kerusi. Rakyat meluahkan rasa marah dan tidak percayakan lagi kepada kepemimpinan Gerakan, dengan memberi kemenangan besar kepada pembangkang yang menyapu bersih semua kerusi DUN dan Parlimen yang diwakili calon Gerakan.
Tsunami perubahan di Pulau Pinang tidak berhenti setakat calon Gerakan, bahkan ia turut membabitkan calon BN dari parti MCA dan Umno.
Turut menjadi mangsa kepada gelombang perubahan mendadak ini ialah bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah dan lima bekas Exco kerajaan negeri.
Dengan kemenangan itu, DAP dan PKR membentuk kerajaan campuran dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang menang di DUN Air Putih, menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru.
DAP juga mengetuai kemenangan pakatan pembangkang di Perak dengan memperoleh 18 DUN, PKR (7) dan Pas (6), menjadikan 31 kerusi milik mereka, berbanding BN yang memperoleh 28 kerusi.
Kelebihan empat kerusi bagi pakatan pembangkang, mungkin membolehkan mereka membentuk kerajaan campuran, tetapi bakal menghadapi masa yang sukar setiap kali DUN bersidang bagi tempoh lima tahun akan datang.
Bagi mempamerkan keikhlasan pakatan alternatif ini kepada rakyat, DAP dikatakan bersetuju untuk menyerahkan jawatan Menteri Besar Perak kepada wakil rakyat Pas, Mohamad Nizar Jamaluddin, yang menang di DUN Pasir Panjang.
Selangor turut menjadi mangsa laungan perubahan, apabila 36 kerusi DUN dimenangi PKR, DAP dan Pas, manakala BN pula hanya memperoleh 20 kerusi. Ketiadaan pakatan yang kukuh di kalangan parti pembangkang, menyaksikan keputusan untuk membentuk kerajaan campuran ditangguh sehingga PKR, DAP dan Pas, dapat mencari kata sepakat.
Negeri yang dianggap paling maju itu juga menghadapi perubahan besar dari segi pencapaian kerusi Parlimen, apabila PKR menguasai sembilan daripada 22 kerusi berkenaan, dengan Pas dan DAP masing-masing berkongsi empat kerusi. BN hanya mendapat lima kerusi.
Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dijangka dipilih pakatan pembangkang sebagai Menteri Besar.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima gelombang tsunami paling buruk apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, adalah calon tunggal BN yang menang di ibu negara, manakala 10 kerusi Parlimen lain dikuasai DAP (5), PKR (4) dan Pas (1). Antara yang tersungkur ialah tokoh wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Laungan perubahan rakyat memang mencatat kejutan luar biasa. Ketika ini, rakyat yang marah, kecewa dan tidak puas hati dengan pemerintahan BN mungkin terubat kekecewaan yang dirasakan. Cuma diharap jangan sampai menang sorak, kampung tergadai.
Suara rakyat adalah suara keramat, maka wakil rakyat yang baru menang dalam Pilihan Raya Umum ke-12 ini mesti bermuhasabah diri bahawa mereka adalah wakil rakyat, bukannya ‘tuan’ rakyat.
Sumber: Berita Hatian untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, ArticleCentral dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.