Date: Friday, April 08 @ 17:04:00 MYT Topic: khabar dari bangi
Kiriman:
Zil KamalOleh Dr Shafie Abu Bakar
1. Pendahuluan
KEJUTAN yang dicetuskan oleh Aminah Wadud menjadi khatib dan Imam sembahyang Jumaat yang diikuti makmun dari kalangan lelaki dan perempuan berjumlah dalam lingkungan 100 jamaah di sebuah Gereja di Universiti Commanwealth di New York membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
Tokoh-tokoh seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi, Mufti Abdul Aziz al Sheik dari Arab Saudi, ulama-ulama Azhar dan lain-lain mengecam tindakan Amina sebagai bersalahan dengan tuntutan Islam yang mewajibkan sembahyang Jumaat hanya ke atas lelaki dengan syarat-syarat tertentu dan perempuan hanya boleh sembahyang berjamaah dan menjadi imam hanya sesama perempuan.
Apakah tindakan Aminah ini sebagai mencari publisiti yang jika demikian hajatnya memang tercapai ataukah ianya merupakan satu manifestasi gerakan tertentu dari konspirasi terancang yang teratur dari belakang?
Ianya sebenarnya merupakan letusan dari faham sekular, liberal dan moden yang antaranya termanifestasi dalam tuntutan persamaan hak antara lelaki dan perempuan. Ianya terbina menjadi satu faham yang dikenali dengan `feminisme` atau `emansipasi wanita`.
Faham ini menganjurkan penentangan terhadap aturan-aturan yang dikenakan terhadap wanita sebagai sesuatu yang tidak adil. Ianya tidak terbatas di dalam bidang politik, perundangan, pekerjaan dan sebagainya, tetapi faham ini dijadikan pendekatan di dalam kajian sosial termasuklah juga sastera. Apakah itu feminisme atau faham emansipasi wanita itu ?
``Emansipasi merupakan konsep penemuan sarana; individu dan kelompok sosial berusaha membebas diri dari ketidakmampuan, ketidakadilan, penindasan-penindasan atau eksploitasi yang dialami oleh dirinya. ..emansipasi merupakan juga usaha untuk melepaskan diri dari kekuatan-kekuatan transendal yang dampaknya seakan tak terjinakkan.`` Ianya juga dihuraikan sebagai, ``Usaha membebaskan diri dari kekuatan alam dan kekuatan transendal sebagai usaha menghapuskan semua ikatan perbudakan, ketergantungan dan penindasan, sehingga pada mereka diberikan hak-hak manusiawi.`` (Dewan Sastera, Jun, 1995: 27 - 28).
Maka yang komited dengan perjuangan emansipasi wanita ini lazimnya bersifat yang dianggap agresif, menentang, progresif, moden, maju dan bertamadun khususnya di dalam membela wanita, terutama bagi mereka yang dianggap tertindas dan teraniaya.
Sememangnya tuntutan persamaan hak ini di dalam kehidupan moden ketara. Oleh kerana masing-masing maukan kebebasan, maka kehidupan berumahtangga menjadi longgar. Kerana mengelak dari keterikatan, tanggungjawab dan beban berumahtangga mereka memilih pasangan secara hidup bebas tanpa ikatan pernikahan dan fenomena anak luar nikah menjadi perkara biasa, walaupun ianya menjadi beban sosial.
2. Emansipasi wanita sebagai alat
Walaupun emansipasi wanita ini merupakan sebagai faham terbuka yang boleh diaplikasikan ke dalam politik, ekonomi dan sosial, tetapi ianya juga boleh digunakan di dalam bidang agama.
Seorang ahli akademik misalnya boleh mengkaji `Emansipasi Wanita Dalam Novel-Novel Hemingway, A. Samad Said dan Shahnon Ahmad umpamanya, maka faham sedemikian boleh juga dijadikan pendekatan di dalam bidang agama. Lebih jauh dari itu oleh kerana pendekatan ini ada baik dan buruknya, maka ada yang sedar dan sengaja mengatur pendekatan yang sedemikian bagi tujuan yang negatif atau mungkin ada yang tidak sengaja dan tidak sedar akhirnya terbawa kepada yang bersifat negatif tersebut.
Syed Azman Syed Ahmad di dalam tulisannya yang berjudul, Konspirasi terhadap Islam, mengatakan terdapat dua pendekatan barat di dalam menghadapi kebangkitan Islam, iaitu secara lembut dan keras (Pemikir, April-Jun 1988: 79).
Kita melihat kedua-dua pendekatan ini diaplikasikan oleh Barat. Dari segi penggunaan kekerasan jelas sebagaimana yang berlaku di Afghanistan dan Iraq. Manakala pendekatan secara lembut, ialah proses panjang dan berterusan. Ianya menggunakan berbagai kegiatan terutamanya melalui kegiatan akademik termasuklah kegiatan orientalis. Kajian orientalis ini melibatkan soal-soal ketimuran, termasuklah berhubung dengan Islam. Umpamnya sarjana-sarjana Barat amat meminati mengkaji persoalan yang berhubung dengan tasawuf Islam.
Di sebalik dari kedalaman kajian, mereka juga menanamkan racun yang bertujuan untuk merosakkan Islam dari dalam. Misalnya dengan mengaitkan elemen-elemen ketasawwufan Islam dengan Yahudi, Kristian, Hindu dan sebagainya. Mereka juga bergiat di dalam mengkaji al-Qur`an yang menjadi sumber utama Islam. Umumnya kajian mereka terhadap al-Qur`an tidak bersifat ikhlas, bahkan bertujuan untuk merosakkan Islam secara halus dan lembut melalui kajian , kononnya bersifat akademik bagi merosakkan Islam dari dalam.
3. Tiga tahap usaha musuh merosakkan Islam
Terdapat sekurang-kurangnya tiga tahap orientalis mengelirukan terhadap al-Qur`an yang bertujuan untuk merosakkan Islam. Bagi tahap pertama terdapat tiga cara tuduhan. Di bawah ini dipetik Kata Pengantar bagi buku Al-Qur`an Dan Orientalisme karangan Muhammad Khalifa (Terjemahan Zakaria Stapa dan Mohamad Asin Dollah dari Fakulti Islam UKM):
``Terjemahan al-Quran yang pertama ke dalam bahasa Barat misalnya didapati telah diusahakan sejak pertengahan abad ke 12 Masehi. Kemudian, pada pertengahan abad ke-16 terjemahan al-Qur`an dalam bahasa Barat telah muncul dalam bentuk buku bercetak. Dan selewat-lewatnya dalam pertengahan pertama abad ke-17, perancangan untuk menyangkal kebenaran dan kesucian al-Quran sudah boleh dikesan, terutamanya apabila kita dapati bahawa pemegang pertama Kursi Bahasa Arab di Universiti Cambridge - yang diasaskan pada tahun 1636M. - telah menjadikan matlamat penyangkalan kebenaran al-Quran sebagai satu daripada tugas utama beliau. (Al-Quran Dan Orientalisme, 1993: VII).
Mereka berusaha membuktikan kononnya al-Qur`an adalah karangan Nabi Muhammad. Antara mereka yang berniat jahat yang mengatakan al-Qur`an karangan Muhammad ialah seperti George Sale menerusi tulisan beliau yang berjudul, The Preliminary Discourse to the Koran. Manakala cara kedua dengan mengatakan diedit Nabi Muhammad dan menerima tambahan seperti W.M.Watt di dalam tulisannya, Muhammad: Prophet and Stateman. Cara ketiga dengan cuba mengelirukan bahawa al-Quran diedit oleh para pengumpul al-Qur`an seperti E.W. Lane dan L.M.Rodwell. (Ibid.). Buku Al-Qur`an Dan Orientalisme menghurai secara detail dan ilmiah al-Quran adalah wahyu dari Allah dan bukan karangan Nabi Muhammad dan menolak tuduhan-tuduhan al-Qur`an diedit atau ditambah.
Usaha tahap kedua, ialah mempersoalkan terhadap kandungan al-Qur`an terutama dari segi hukum hakamnya. Adalah menjadi sesuatu yang nyata pihak yang mempersoalkan hukum hudud, mempersoalkan tentang pembahagian harta pesaka yang membezakan antara lelaki perempuan, hak bagi lelaki untuk berkahwin lebih dari seorang isteri jika berkemampuan. Mereka bukan saja merasa tidak puas hati terhadap hukum-hukum yang ditentukan oleh Allah melalui al-Qur`an, bahkan menuduh ulama dari kaum lelaki sejak dahulu bias di dalam memberi tafsiran-tafsiran terhadap al-Qur`an yang selalunya berpihak kepada kaum lelaki dan kaum perempuan kononnya selalunya menjadi mangsa ketidakadilan.
Usaha tahap ketiga melihat al-Qur`an dan Islam seolah-olah ketinggalan dan tidak mampu untuk memacu kemajuan bagi mencapai ketamadunan, sebab itu ianya perlu ditokok tambah dengan elemen baru yang tambahan juga dilakukan terhadap Islam itu. Konsep Islam Hadhari adalah sebahagian dari ini. Menurut Dato` Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang:
``Seorang penulis Islam yang terkenal, Ustaz Anwar al-Jundi (dari Mesir) di dalam sebuah bukunya yang diterbitkan pada tahun 1980 telah mendedahkan bahawa Islam Hadhari adalah program freemason dan kuffar untuk menentang Islam.``
Menurutnya, di dalam buku itu mendedahkan bahawa musuh menggunakan Islam Hadhari bagi menghalang dikembalikan semula Negara Islam setelah mereka menjatuhkan kerajaan Othmaniah di Turki. (Harakahdaily, 3.4.2005).
4. Di mana Kedudukan Aminawadudisme
Dr Aminah Wadud adalah berlatarbelakangkan pendidikan liberal dan sekular. Walaupun bidang pengajian dan kajian berhubung dengan Islam dan menghasilkan buku `Qur`an And Woman`` dia dipengaruhi pandangan sekular dan mempersoalkan tentang hukum hakam yang ditafsirkan oleh ulama terhadap al-Qur`an dan juga Sunnah. Beliau seolah-olah menganjurkan penentengan, bahkan pemberontakan terhadap apa yang disifatkan ketidakadilan terhadap wanita.
Amina yang memegang ijazah Ph. D di dalam kajian al-Quran ini berpeluang mendapat tapak permulaan menyebarkan faham liberalnya terhadap Islam apabila berpeluang menjadi tenaga pengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) - 1989-1991 yang mengajar di Jabatan Revealed Knowledge and Heritage di universiti tersebut.
Oleh kerana pemikirannya yang bersifat kontroversi mengenai masalah-masalah Islam, khidmatnya hanya sepenggal selama tiga tahun dan tidak disambung kontraknya.
Pemikirannya sudah tentulah disebarkan di kalangan pelajar-pelajarnya yang mengkuiti kursusnya sebagai Profesor di dalam Pengajian Islam di Commonwealth University di Virginia, di New York.
Sikap Amina yang tidak menyenangkan khalayak berhubung dengan persoalan Islam dapat dinilai dari peristiwa di mana beliau dijemput kepersidangan mengenai HIV/AIDS pada bulan Mei 2003 di Kuala Lumpur membentangkan kertaskerja di samping kertas-kertas kerja perwakilan peringkat antarabangsa termasuk dari Afrika mengenai bagaimana Islam seharusnya menangani masalah HIV/AIDS.
Keceluparan Amina yang menyentuh soal akidah membuat 20 perwakilan, kebanyakannya dari Afrika, termasuklah dari Malaysia dan United Kingdom menentang kertas kerja Aminah dan mendesak pengerusi menolak kertas kerja Amina bahkan menolak Aminah dari menyertai persidangan.
Mereka mahu namanya dipadam dari rekod Persidangan selama lima hari Second International Muslim Leader`s Consultation On HIV/AIDS. Sembahyang Jumaat berkhatib dan berimamkan wanita dengan makmun dari kalangan lelaki dan perempuan sebagaimana diperkatakan di atas memperlihat betapa Amina jauh menyimpang mempersoalkan hukum hakam Islam yang dianggap tidak adil terhadap wanita dan menurut pandangannya diletakkan sebagai kelas dua.
5. Hadhari di Malaysia
Islam Hadhari bukanlah satu konsep yang mula tercipta di Malaysia. Di atas telah disebutkan bahawa konsep ini telah mula dibicarakan seawal 1980 oleh penulis terkenal Anwar Jundi di Mesir.
Bahkan ianya mendedahkan sebagai program Freemason untuk mencelarukan umat Islam dan melemahkannya dari dalam. Dalam ini adalah salah pendapat Dr Abdullah Md. Zin dalam satu wawancara dengan beliau yang antara pertanyaan dikemukakan:
``Is the Islam Hadhari approach used anywhere else? Abdullah menjawab, ``There have been discussion about this but we are the first to implement it``. (NST August 1, 2004: 4).
Kita berkeyakinan Islam Hadhari yang diperkatakan di Malaysia dipengaruhi dan mempunyai pertalian yang erat dengan gerakan liberalisme dan emansipasi wanita di Malaysia yang mendukung hadhari lebih awal dari pendekatan hadhari yang dibuat pihak pemimpin Kerajaan Malaysia.
Keadaan ini berlaku semasa Amina Wadud menjadi pensyarah di UIAM beliau meyusupkan idea dan fahamnya kepada sekumpulan wanita yang sealiran dengannya yang merasakan wanita Islam tidak mendapat keadilan dari segi hukum Islam. Contoh hak berpoligami bagi lelaki dan suami berhak memukul isteri yang nusyuz.
Mereka mendakwa sebagai kelas dua dan dinafikan hak. Kumpulan wanita yang tidak puas hati merasa bertuah mendapat seorang mentor yang berjiwa sealiran dengan mereka. Ini terbukti dari ungkapan berikut:
``We were very lucky that we had (Muslim theologian and scholar) Dr Amina Wadud, who had arrived to teach the Quran in UIA (International Islamic University). She was teaching the Quran and she had done her PhD thesis on woman and the Quran. And so she helped us to go through the Qur`an, to go through the words, grammar, vocabulary, world view, the Qur`anic world view. So she helped us develop this methodology and it was a great engagement because she's a scholar. But we bring our activist background.`` (The Sun Weekend, July 17-18, 2004: 10).
Ungkapan di atas adalah dari Zainah Anwar yang dari pengenalan dan pengajian beliau dan rakan-rakan membawa beliau dan Amina Wadud dan kumpulannya menubuhkan Sisters In Islam (SIS) tahun 1990 yang Zainah sendiri menjadi Pengasas dan Ketuanya. Tujuan menubuhkan SIS diterangkan oleh Zainah:
``We are fighting for justice, (for) an Islam that is just, an Islam that upholds the principles of justice, equality, freedom and dignity of the human being, be it man or woman. But certainly, given the experience that we've gone through, our focus is on the rights of Muslim women.`` (Ibid: 11).
Kumpulan SIS ini, walaupun mereka terdiri antaranya dari kalangan professional seperti lawyer, pemberita, pensyarah dan individu tertentu mereka tidak mendapat pendedahan dan mempunyai asas tentang Islam secara murni.
Di tengah-tengah kedahagaan mereka berhubung dengan maklumat keislaman, mereka bertemu dengan watak yang lebih banyak mempersoalakan Islam dari mematuhi Islam.
Keadaan ini terus terbawa-bawa oleh SIS yang mempersoalkan tentang ketidakadilan di dalam menghadapi hukuman di mahkamah syar`iah, hak lelaki berkahwin lebih dari satu (poligami), lelaki boleh memukul isteri yang durhaka, tidak mempercayai Islam sebagai ideology politik yang boleh memerintah Negara, mempercayai agama hanya sebagai nilai yang boleh mengawal politik, tetapi undang-undang dan hukuman bukan keseluruhan dari Islam, menentang hudud, menentang menahan orang yang mau murtad dan hukuman terhadapnya, menentang Negara Islam, menentang penentuan dan pengawalan nilai ke atas masyarakat, Negara tidak seharusnya mengadakan undang-undang atau polisi mengenai sexualiti yang mendiskriminasi dan membezakan dari segi hukuman dan berpegang pada kebebasan beragama (Ibid., 10-13).
6. Kaitan Aminah, SIS dan Hadhari
Aminah dan pengaruhnya di dalam SIS membawa hadhari sebagaimana dijangka oleh Anwar Jundi yang hadhari menggunakan Islam untuk memecah dan memporakperandakan Islam dari dalam. Samada hadhari Amina maupun hadhari pemimpin Umno mereka menggunakan istilah progresif disamping tamadun bagi memaksudkan hadhari. Lihat betapa kata Aminah berhubung dengan hadharinya yang dipetik dari temuramah dengannya yang dibuat di stesyen television PBS, Amerika Syarikat pada bulan Mac 2002:
``There is a very strong articulation among a select body of Muslim intellectuals and activists to literally progress Islam from some of the places where its thinking and its vitality have been throttled from the dynamism that I think is inherent in Islam. I think Islam itself is a progression``. (Petikan Tranungkite, 25.3.2005).
Bandingkan konsep Islam hadhari yang dijawab oleh Dr. Abdullah Mat Zin yang progress adalah elemen Islam hadahrai apabila beliau ditanya:
What Islam Hadhari?Islam Hadhari is about the creation of a progressive view of the religion. It is comprehensive approach of development. Islam Hadhari is about the creation of a progressive, civilized and tolerant society. We believe in the sharing of power and in religious freedom. (NST, August 1, 2004: 4).
Penekanan yang dibuat dalam pendekatan Islam Hadhari mendekati konsep sekular yang didukung oleh para modernis sebagaimana kata Prof. Dr. Syed Naguib al-Attas di dalam bukunya Islam And Secularism:
``The concept secular refers to the condition of the world at this particular time of period or age. Already here we discern the germ of meaning that easily develops itself naturally and logically into the existential context of an ever-changing world in which there occurs the notion of relativity of human values``. (Al-Attas, 1978: 14).
Iaitu pandangan yang menurut perubahan masa yang nilai juga menurut progress perubahan pandangan dan progress perubahan masa tersebut. Tidak ada yang abadi termasuk nilai keakhlakan. Baik dan buruk juga turut berubah dengan perubahan pandangan zaman.
Contoh tercermin dari desakan agar hak dan kebebasan tidak diganggu, walaupun ianya bertentangan dengan nilai akhlak dan norma masyarakat. Juga contoh desakan agar tidak dikenakan kawalan nilai terhadap masyarakat sebagaimana didesak oleh sebahagian dari NGO dan beberapa Menteri dari kalangan UMNO berhubung dengan kes Jaslina.
Ini sesuai dengan konsep Hadhari yang wujudnya konsep tersebut hasil dari keinginan terhadap perubahan terhadap Islam yang dianggap konservatif (walaupun Islam pada hakikatnya lengkap) kepada diubahnya Islam kepada Islam Hadhari yang disifatkan sebagai progresif. Satu ulasan terhadap pelancaran dokumen Islam Hadhari oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi menyatakan:
``Islam Hadhari will require a complete change in outlook. It will demand that every muslim view the religion in a progressive, expansive, and inclusive way.. Civilisational Islam, as the term has been translated, will encourage Muslims to pay as much attention to the here and now, as they do the hereafter``. (New Sunday Times, July 25, 2004: 8).
7. Persamaan Pendirian Dan Tindakan
Sebenarnya perhubungan antara fahaman Amina Wadud, SIS dan Hadhari bukan setakat istilah-istilah dan konsep-konsep tetapi lebih jelas dari segi pendirian dan tindakan yang ternyata banyak persamaan dan mempunyai titik persamaan di dalam antara perkara-perkara berikut:
a) Menganggap Islam sebagai tradisional, mundur dan konservatif sebab itu perlu diubah kepada yang bersifat kini, maju, moden, progresif, tamadun dan hadhari.b) Memperjuangkan kebebasan dari dikenakan aturan nilai dan akhlakc) Menentang hak dan kuasa yang diperuntukkan kepada pihak jabatan agama menangkap pesalah moral dan agamad) Menentang atau tidak menerima hukum hudude) Tidak meyakini Islam dari segi pentadbiran dan politikf) Islam hendaklah terpisah dan terhad kepada agama dan nilai sahajag) Menyokong atau tidak menolak cadangan menubuhkan Majlis Kaunsel Antara agamah) Menuduh ulama menyalahtasfirkan al-Qur`an dan hukum agama dan bias terhadap kaum tertentui) Mendakwa wanita sebagai bertaraf kelas kedua j) Memandang serong terhadap pendidikan agama
8. Penutup
Penyusupan ke dalam Islam bagi merosakkannya dari dalam memang berlaku antaranya apa yang dibawa di dalam Aminawadudisme, Sisters In Islam dan Hadhari. Pendekatan yang tidak bersifat kekerasan ini masuk melalui berbagai-bagai wajah yang mengelirukan terutama terhadap orang awam.
Paling bahaya penyusupan ini tiba pada peringkat yang paling berkuasa yang dipagari oleh penasihat-penasihat, anak-anak yang berkuasa dan telah berkuasa yang sejalan fahaman. Akibatnya kita akan menghabiskan tenaga dalam perbalahan dan perpecahan dan musuh akan berjaya melemahkan kita. Sewajibnya kita kembali kepada Islam yang sebenar.
Wa'allahu'alam.
Bandar Baru Bangi07 April 200527 Safar 1426